MEMAHAMI KONSEP TARBIAH PAS
LATAR BELAKANG
Sistem pentarbiahan PAS selari dengan kewujudan PAS pada peringkat awal. Ketika itu usaha ini dimainkan oleh Tok Guru pondok untuk menerangkan Islam kepada masyarakat. Sehingga pondok menjadi benteng akidah Umat Islam yang gagal dibolos oleh penjajah. Pondok adalah satu institusi yang mendokong fikrah perjuangan PAS, telah banyak membantu untuk memperkukuhkan pengaruh PAS ke dalam masyarakat. Sebab itu di mana ada pondok di situ ada PAS. Keadaan ini berterusan sampai ke hari ini.
Selepas era kepimpinan ulama’, sistem pengukuhan tarbiah dipertingkatkan dengan manhaj tarbiah yang agak tersusun sesuai dengan perkembangan ahli dan tahap pemikiran ahli PAS yang berbagai latar belakang pendidikan dan pendedahan.
MADRASAH RASULULLAH SAW
1. Qudwah Hasanah
Amalan praktikal merupakan asas di dalam tarbiah. Menyuruh orang lain dengan tindakan adalah lebih baik daripada menyuruh dengan perkataan. Rasulullah saw merupakan contoh hidup kepada kesempurnaan akhlak. Firman Allah swt dalam surah Al-Ahzab ayat 21:
لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِمَنْ كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا
Sesungguhnya bagi kamu pada diri Rasulullah saw itu contoh teladan yang baik bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan Hari Akhirat serta banyak mengingati Allah.
حَدَّثَنَا سَعِيدُ بْنُ مَنْصُورٍ قَالَ حَدَّثَنَا عَبْدُ الْعَزِيزِ بْنُ مُحَمَّدٍ عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ عَجْلاَنَ عَنْ الْقَعْقَاعِ بْنِ حَكِيمٍ عَنْ أَبِي صَالِحٍ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّمَا بُعِثْتُ ِلأُتَمِّمَ صَالِحَ الأَخْلاَقِ – مسند أحمد.
Said bin Mansor menceritakan kepada kami dengan katanya, Abdul Aziz bin Muhammad menceritakan dari Muhammad bin Ajlan dari Qa’qa’ bin Hakim dari Abi Soleh dari Abu Hurairah katanya, sabda Rasulullah saw ; sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang baik.
Contoh yang baik sangat penting dalam proses pentarbiahan. Ini kerana ia akan menimbulkan kekaguman orang yang melihatnya, melahirkan kasih saying lantas menerbitkan keinginan untuk mengikutinya.
Maksud qudwah Hasanah adalah individu yang mempunyai keseluruhan atau sebahagian daripada sifat-sifat yang baik.
2. Istiqamah
Rasulullah saw menitikberatkan penerusan, kesinambungan dan istiqamah dalam proses tarbiah. Justeru itu, Rasulullah saw menggesa ibu bapa supaya berterusan mengajar anak-anak mereka sembahyang semenjak kecil. Sabda Rasulullah saw :
حَدَّثَنَا مُؤَمَّلُ بْنُ هِشَامٍ يَعْنِي الْيَشْكُرِيَّ حَدَّثَنَا إِسْمَعِيلُ عَنْ سَوَّارٍ أَبِي حَمْزَةَ قَالَ أَبُو دَاوُد وَهُوَ سَوَّارُ بْنُ دَاوُدَ أَبُو حَمْزَةَ الْمُزَنِيُّ الصَّيْرَ فِيُّ عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مُرُوا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاءُ سَبْعِ سِنِينَ وَاضْرِبُوهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاءُ عَشْرٍ وَفَرِّقُوا بَيْنَهُمْ فِي الْمَضَاجِعِ - رواه ابو داود
Menceritakan kepada kami oleh Muammal bin Hisyam iaitu Al-Yasykuria baha telah menceritakan kepada kami Ismail dari Sawwar Abu Hamzah berkata Abu Daud iaitu Sawwar bin Daud, Abu Hamzah Al-Muzani As-Sairafi dari Amr bin Shuib dari bapanya dari datuknya berkata, Sabda Rasulullah saw, perintahkanlah anak-anak kamu dengan solat, diwaktu usia mereka 7 tahun dan pukullah mereka yang meninggalkannya pada usia mereka 10 tahun dan pisahkan antara mereka di tempat tidur mereka – Hadis riwayat Abu Daud.
Istiqamah mempunyai kedudukan yang sangat tinggi dalam Islam. Antara nas yang menyebut mengenainya adalah :
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلاَئِكَةُ أَلاَّ تَخَافُوا وَلاَ تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ – فصلت : 31
Sesungguhnya orang-orang yang berkata, tuhan kami adalah Allah, kemudian mereka istiqamah, akam turun para malaikat lalu berkata; janganlah kamu takut dan bersedih dan bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu.
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلاَ تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ – هود : 112
Maka istiqamahlah sebagaimana yang diperintahkan kepada kamu, maka barangsiapa yang bertaubat dan tidak melampaui batas sesungguhnya Allah Maha Mengetatahui apa yang kamu lakukan.
حَدَّثَنَا أَبُو بَكْرِ بْنُ أَبِي شَيْبَةَ وَأَبُو كُرَيْبٍ قَالاَ حَدَّثَنَا ابْنُ نُمَيْرٍ ح و حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ وَإِسْحَقُ بْنُ إِبْرَاهِيمَ جَمِيعًا عَنْ جَرِيرٍ ح و حَدَّثَنَا أَبُو كُرَيْبٍ حَدَّثَنَا أَبُو أُسَامَةَ كُلُّهُمْ عَنْ هِشَامِ بْنِ عُرْوَةَ عَنْ أَبِيهِ عَنْ سُفْيَانَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ الثَّقَفِيِّ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قُلْ لِي فِي الإِسْلاَمِ قَوْلاً لاَ أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ وَفِي حَدِيثِ أَبِي أُسَامَةَ غَيْرَكَ قَالَ قُلْ آمَنْتُ بِاللَّهِ فَاسْتَقِمْ
Daripada Sufyan bin Abdullah Ast-Tsaqafi berkata, aku bertanya kepada Rasulullah saw ; katakanlah kepadaku mengenai Islam sesuatu yang aku tidak perlu bertanya mengenainya kepada sesiapapun selepas bertanya kepadamu. Dalam hadis Usamah selain engkau. Maka sabda Rasulullah ; katakanlah aku beriman kepada Allah lantas beristiqamah.
3. At-Targhib (menggalakkan) dan At-Tarhib (menakutkan)
Targhib bermaksud menggalakkan mad’u melakukan kebaikan dengan balasan-balasan yang baik. Manakala Tarhib bermaksud menakutkan mereka dengan balasan yang buruk. Contoh ayat al-Quran yang menggabungkan kedua-dua uslub ini ialah :
نَبِّئْ عِبَادِي أَنِّي أَنَا الْغَفُورُ الرَّحِيمُ * وَأَنَّ عَذَابِي هُوَ الْعَذَابُ الأَلِيمُ
Khabarkanlah kepada hamba-hambaku sesungguhnya Aku Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Dan sesungguhnya azabku adalah azab yang pedih - Al-Hijr : 49-50
Para dai’e mestilah bijak menimbang antara kedua-dua uslub ini, yang manakah yang lebih sesuai digunakan mengikut keadaan.
4. Lemah Lembut Dan Tenang
Antara ayat yang menerangkan mengenai uslub ini adalah :
وَلاَ تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلاَ السَّيِّئَةُ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ - سورة فصلت : 34
Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah kejahatan dengan cara yang paling baik sehingga orang yang mempunyai permusuhan antara kamu dan dia akan menjadi seperti teman yang rapat.
فَبِمَا رَحْمَةٍ مِنَ اللَّهِ لِنْتَ لَهُمْ وَلَوْ كُنْتَ فَظًّا غَلِيظَ الْقَلْبِ لاَنْفَضُّوا مِنْ حَوْلِكَ فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِي الأَمْرِ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُتَوَكِّلِينَ – ال عمران : 159
Dan dengan rahmat dari Allah maka kamu berlemah lembut terhadap mereka. Jika sekiranya kamu bersikap tegas dan keras hati nescaya mereka akan melarikan diri darimu. Maka maafkanlah mereka dan mohonlah kemampunaan untuk mereka. Dan berundinglah dengan mereka dalam segala perkara. Apabila kamu sudah berazam maka berserahlah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah.
5. Melatih Kemahiran Diri Yang Ada Pada Mad’u
Para dai’e mestilah menggunakan kemahiran-kemahiran yang ada dalam diri masing-masing. Rasulullah saw bersabda :
حَدَّثَناَ أَبُوْ بَكْرِ بْنِ ناَفِع حَدَّثَناَ بهز حَدَثَناَ حَمَّاد أَخْبَرَناَ ثاَبِتْ عَنْ أَنَس قال أَتَى عَلَيَّ رسولُ الله صلى الله عليه وسلم وأَناَ أَلْعَبُ مَعَ الْغِلْماَنِ قال فَسَلَّمَ علينا فَبَعَثَنِيْ إلى حاجةٍ فَأَبْطَأَتْ عَلَىَّ أُمِّي فلَمَّا جِئْتُ قالَتْ ماَ حَبَسَكَ قلتُ بَعَثَنِي رسولُ الله صلى الله عليه وسلم لِحاجةٍ قالَتْ ما حاجتِهِ قلتُ إِنَّهَا سِرٌّ قالَتْ لاَ تُحَدِّثَنَّ بِسِرِّ رسولِ الله صلى الله عليه وسلم أحدًا قال أنس واللهِ لَوْ حَدَّثْتُ بِهِ أَحَدًا لَحَدَّثْتُكَ ياَ ثاَبِت
Abu Bakar bin Nafi’ menceritakan kepada kami bahawa telah menceritakan kepada kami Bahzin bahawa Hammad menceritakan kepada kami bahawa Tsabit mengkhabarkan kepada kami dari Anas berkata; Rasulullah saw telah datang kepadaku ketika aku sedang bermain bersama kanak-kanak lain. Maka katanya, Rasulullah saw memberi salam kepada kami dan menghantar aku untuk sesuatu urusan sehingga ibuku datang mencariku. Apabila aku sampai maka ibuku berkata, apakah yang menyebabkan kelewatanmu. Aku berkata, Rasulullah saw telah menghantar aku untuk sesuatau urusan. Maka ibuku bertanya, apakah urusan itu. Aku menjawab, sesungguhnya ia adalah rahsia. Maka kata ibuku; jangan sekali-kali kamu ceritakan rahsia Rasulullah saw kepada sesiapapun. Maka kata Anas; Demi Allah jika aku pernah menceritakan kepada seseorang nescaya aku akan menceritakannya kepadamu wahai Tsabit.
SUMBER RUJUKAN TARBIAH PAS
Secara prinsipnya kaedah tarbiah kita merujuk kepada sumber asas iaitu :
1. Al-Quran al-Karim
2. As-Sunnah an-Nabawiyah
3. As-Sirah an-Nabawiyah
4. Qisas al-Anbiya’
5. Qisas as-Salafus Soleh
6. Pengalaman Harakah Islamiyah
7. Ucapan Dasar Muktamar PAS
Firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 105 :
وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَى عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِمَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ
Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.
Berdasarkan perintah di atas, maka menjadi tanggungjawab kepada semua untuk melaksanakannya secara amali dalam aspek :
a. Beramal dengan perkara yang mesti diamalkan sekarang samada dalam perkara fardi atau jamaie.
b. Menyampaikan risalah Islam kepada sasran dakwah di semua peringkat dan menghadapi segala cabarannya.
Ini dilakukan dengan menyedari hakikat :
1. Bahawa Tarbiyah Islamiah itu suatu perkara yang wajib kerana itulah kerja utama yang dilakukan oleh Rasulullah saw apabila menerima wahyu daripada Allah. Firman Allah swt dalam Surah Al-Jumaat ayat 2 :
هُوَ الَّذِي بَعَثَ فِي الأُمِّيِّينَ رَسُولاً مِنْهُمْ يَتْلُو عَلَيْهِمْ آيَاتِهِ وَيُزَكِّيهِمْ وَيُعَلِّمُهُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَإِنْ كَانُوا مِنْ قَبْلُ لَفِي ضَلاَلٍ مُبِينٍ
Dialah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
2. Tarbiyah Islamiah itu berasaskan kepada keikhlasan niat kepada Allah iaitu mengajar dan mempelajari ilmu pengetahuan adalah semata-mata kerana Allah.
3. Bahawa Tarbiyah Islamiah itu tidak terikat dengan masa dan umur. Ia dilakukan secara berkekalan bermula dengan kandungan yang belum lahir hinggalah ke alam dewasa dan berpindah ke alam baqa’ Bahawasanya Tarbiyah Islamiah berjalan di atas prinsip At-Takamil (sempurna menyempurnakan) antara ilmu dan iman. Iman mengajak seseorang mencari ilmu. Ilmu mengajak manusia beriman. Perkara ini sangat jelas jika kita melihat kepada Surah Ar-Rum ayat 56 :
وَقَالَ الَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ وَالإِيمَانَ لَقَدْ لَبِثْتُمْ فِي كِتَابِ اللَّهِ إِلَى يَوْمِ الْبَعْثِ فَهَذَا يَوْمُ الْبَعْثِ وَلَكِنَّكُمْ كُنْتُمْ لاَ تَعْلَمُونَ
Dan (bagi menjawabnya) berkatalah orang-orang yang berilmu serta beriman: Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal menurut yang terkandung dalam Kitab Allah sampai ke hari kebangkitan (hari kiamat); maka inilah dia hari kebangkitan (yang dijanjikan) itu, akan tetapi kamu dari dahulu lagi tidak mahu mengetahui (kebenarannya).
4. Bahawasanya Tarbiyah Islamiah itu mengajak supaya bersikap tidak terus menerima apa sahaja yang dipusakai dari generasi yang lalu melainkan sesudah dibuat kajian yang teliti dan dipastikan bahawa ia adalah benar. Firman Allah dalam Surah Al-A’raf ayat 28 :
وَإِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً قَالُوا وَجَدْنَا عَلَيْهَا آبَاءَنَا وَاللَّهُ أَمَرَنَا بِهَا قُلْ إِنَّ اللَّهَ لاَ يَأْمُرُ بِالْفَحْشَاءِ أَتَقُولُونَ عَلَى اللَّهِ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
Dan (orang-orang yang tidak beriman itu) apabila mereka melakukan sesuatu perbuatan yang keji, mereka berkata: Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya dan Allah perintahkan kami mengerjakannya. Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan yang keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak mengetahuinya?
5. Perjalanan Tarbiyah Islamiah mengambil kira perkara-perkara berikut :
a. Keberkesanan dalam mengatur hubungan manusia dengan diri sendiri.
b. Keberkesanan dalam mengatur hubungan manusia dengan Allah.
c. Keberkesanan dalam mengatur hubungan manusia dengan masyarakat semua peringkat.
MATLAMAT TARBIYAH ISLAMIAH
Matlamat Tarbiyah Islamiyah perlu dibahagikan kepada dua iaitu matlamat umum dan matlamat khusus.
Matlamat Umum
Matlamat Tarbiah Islamiyah yang umum ialah untuk menyelamatkan insane dari azab Allah sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam surah at-Tahrim ayat 6 :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنْفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلاَئِكَةٌ غِلاَظٌ شِدَادٌ لاَ يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Insan yang diselamatkan dari azab Allah itu ialah insan yang dapat menyempurnakan segala tanggungjawab ke arah mencapai tujuan dan matlamat ianya dijadikan oleh Allah sebagaimana yang digariskan seperti berikut :
1. Beribadah kepada Allah yang Esa mengikut syariat yang diwujudkan oleh Allah swt. Firman Allah dalam surah az-Zariyat ayat 56 :
وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالإِنْسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُونِ
2. Menjadi Khalifah Allah di muka bumi. Allah menyatakan bahawa antara tujuan manusia diciptakan adalah untuk menjadikannya sebagai khalifah di muka bumi. FirmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 30 :
وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الأَرْضِ خَلِيفَةً قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَنْ يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُونَ
3. Berkenal-kenalan dan berbaik-baik di kalangan manusia. Allah berfirman dalam surah al-Hujurat ayat 13 :
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
4. Memimpin dan memerintah dunia. Dalam surah an-Nur ayat 55, Allah berfirman :
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُمْ مِنْ بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لاَ يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَنْ كَفَرَ بَعْدَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ
5. Menjalankan Syariat Allah di muka bumi. Ini merupakan matlamat yang sangat besar dan intipati kepada segala matlamat yang lain. Banyak ayat-ayat yang menyebutkan mengenainya seperti :
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى شَرِيعَةٍ مِنَ الأَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَ الَّذِينَ لاَ يَعْلَمُونَ
Dalam surah al-Maidah ayat 49, Allah swt berfirman :
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلاَ تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ وَاحْذَرْهُمْ أَنْ يَفْتِنُوكَ عَنْ بَعْضِ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ إِلَيْكَ فَإِنْ تَوَلَّوْا فَاعْلَمْ أَنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ أَنْ يُصِيبَهُمْ بِبَعْضِ ذُنُوبِهِمْ وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ لَفَاسِقُونَ
Matlamat Khusus
Apa yang dimaksudkan dengan matlamat khusus bagi Tarbiah Islamiyah ialah matlamat dari aspek haraki yang dibahagikan kepada 3 sudut :
1. Sudut keahlian dan keanggotaan.
2. Sudut gerak kerja jemaah
3. Sudut kemasyarakatan dan social.
AMALAN TARBIAH PAS
PAS menyedari bahawa matlamatnya untuk menegakkan Negara Islam tidak akan tercapai kecuali rakyatnya memahami Islam dengan betul seperti yang terkandung dalam al-Quran dan Sunnah. Kefahaman ini tidak akan dicapai kecuali dengan pentarbiahan dan pentarbiahan ini dilaksanakan melalui 2 saluran :
1. Tarbiah Nizhamiah
Melalui saluran ini PAS telah mewujudkan pusat-pusat pengajian.
2. Tarbiah Harakiah
Melalui saluran ini, PAS telah melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti berikut :
a. Kuliah umum di masjid, surau, markaz, rumah dan sebagainya.
b. Kelas Halaqah yang membahaskan mata pelajaran khusus seperti tafsir, hadis, feqah, tauhid dan sebagainya.
c. Usrah di berbagai peringkat.
d. Tamrin.
e. Mukhayyam.
f. Qiamullail.
g. Nadwah, seminar, bengkel, liqa’ fikri dan sebagainya.
h. Rehlah.
Komponen Tarbiah Harakiah ini boleh dibahagikan kepada berbagai jenis seperti :
a. Tarbiah Imaniah.
b. Tarbiah Ruhiyah.
c. Tarbiah Amal Soleh.
d. Tarbiah Berjemaah (Berparti).
e. Tarbiah Jihadiyah.
f. Tarbiah Siasiyah.
g. Tarbiah Ijtimaiah.
h. Tarbiah Riadhiah.
No comments:
Post a Comment