Thursday, February 4, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 23 JAMADIL AKHIR 1442 / 5 FEBRUARI 2021

 ALLAH BERSUMPAH DENGAN MASA

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ، وَإِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ وَالتَّابِعِينَ، بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾


(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

Dalam ayat ini Allah s.w.t bersumpah dengan masa. Ia menunjukkan betapa pentingnya masa itu apabila Allah bersumpah dengan makhluk-Nya. Ia juga menunjukkan makhluk itu perkara yang besar di sisi Allah s.w.t yang menjadi tanda kebesaran Allah s.w.t. Kita diharamkan bersumpah dengan makhluk, kita dibenarkan bersumpah dengan nama Allah sahaja, tetapi Allah boleh bersumpah dengan mana-mana makhluk-Nya. Ini menunjukkan besarnya makna makhluk yang Allah bersumpah dengannya.

Bila Allah bersumpah dengan masa, Ia mewajibkan kita menjaga masa, kerana masa sentiasa memakan umur kita, makin dekat dengan ajal kematian untuk bertemu dengan Allah s.w.t. Sekiranya kita tidak menjaga masa dengan betul dan baik, rugilah kita serugi-ruginya. Sekiranya kita dapat mengisi masa dengan baik, untunglah kita seuntung-untungnya.

Allah menunjukkan perkara-perkara yang penting dalam kita mengisi masa itu:

Yang pertama, beriman;

Yang kedua, mengerjakan amal yang soleh;

Yang ketiga, berpesan dengan perkara yang sebenar;

Dan yang keempat, berpesan supaya bersabar.

Iman perkara yang penting dalam hidup kita. Beriman dengan Allah dan semua Rukun Iman menjadi syarat sahnya amalan kita. Semua amalan yang baik ditolak oleh Allah walau banyak mana sekalipun sekiranya tidak ada iman. Orang-orang yang tidak beriman, amal yang baik yang dikerjakan di atas dunia ini hanya menjadi seperti habuk yang tidak ada apa-apa harga dan nilai di sisi Allah s.w.t; tidak ada guna pada hari kiamat. Oleh kerana itu kita mestilah beriman dengan sesungguhnya dan menjaga iman kita dengan sebaik-baiknya supaya tidak batal.

Yang kedua, mengerjakan amal yang soleh dalam hubungan kita dengan Allah, hubungan kita dengan diri kita sendiri, hubungan kita dengan keluarga kita, hubungan kita dengan manusia sesama Islam dan bukan Islam, serta hubungan kita dengan binatang dan makhluk-makhluk lain. Semua hubungan yang baik adalah amal yang soleh. Hubungan yang baik dengan Allah s.w.t adalah setinggi-tinggi kelebihan dan sebesar-besar pahala.

Hubungan yang baik dengan diri kita sendiri, menjaga diri kita sendiri dengan iman dan amal yang baik serta akhlak yang mulia dengan memakan makanan yang halal, meninggalkan yang haram, mengerjakan yang baik, meninggalkan yang haram, ikut perintah Allah, tinggal larangan Allah dan berakhlak dengan akhlak yang baik. Menjaga diri masing-masing serta menjaga keluarga dan anak isteri kita supaya menjadi orang yang beriman dan baik adalah amal yang soleh.

Hendaklah berbuat baik dengan sesama Islam, jiran tetangga dan orang-orang Islam yang merupakan saudara kita dan orang bukan Islam yang berdamai dengan kita. Ajak mereka masuk Islam dengan tidak ada paksaan. Kalau mereka tidak masuk Islam, kita tidak berdosa, tetapi mereka yang berdosa. Namun demikian kita tetap berbuat baik kepada manusia walaupun mereka bukan Islam supaya dapat memujuk dengan akhlak yang baik dan perangai yang mulia. Kebajikan yang kita buat boleh mengubah fikiran mereka sehingga akhir hayat mereka. Terpulang kepada Allah sama ada memberi hidayah atau tidak kepada mereka.

Dalam hubungan baik dengan binatang, sama ada binatang peliharaan kita atau lain-lain diberi pahala oleh Allah s.w.t. Disebut di dalam hadits yang banyak, antaranya:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَغْرِسُ غَرْسًا أَوْ يَزْرَعُ زَرْعًا فَيَأْكُلُ مِنْهُ طَيْرٌ أَوْ إِنْسَانٌ أَوْ بَهِيمَةٌ إِلَّا كَانَ لَهُ بِهِ صَدَقَةٌ. [رواه البخاري]


(Maksudnya): Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang, tiada yang lain kecuali baginya sebagai sedekah. 

Makanan yang diberi kepada binatang mendapat pahala sedekah, bukan sahaja daripada manusia. Hubungan dengan pokok dan alam sekitar serta semua makhluk Allah s.w.t dengan yang sebaiknya, semuanya adalah amal kebaikan. Seluruh kehidupan kita adalah amal yang soleh atau amal yang jahat. 

Oleh kerana kehidupan dunia terlalu banyak cabaran dan ujiannya; ada benar ada yang salah, semua mengaku benar, tidak ada yang mengaku salah. Dengan sebab itu kadang-kadang susah kita hendak menentukan benar atau salah. Ia memerlukan kita belajar dan faham dengan ilmu serta memerlukan kita nasihat menasihati di antara satu sama lain supaya sentiasa dalam keadaan benar, tidak terjerumus ke dalam dosa dan kesalahan. Dan oleh kerana kehidupan ini penuh dengan cabaran dan ujian, kita disuruh bersabar, bukan sahaja kita bersabar, bahkan kita nasihat menasihati di antara satu sama lain dengan bersabar.

Itulah perkara yang penting yang disebut oleh Allah s.w.t di dalam, Surah Al-'Ashr yang pendek itu, sehingga Imam Syafi'ie menyebut:

لَوْ مَا أَنْزَلَ اللهُ حُجَّةً عَلَىٰ خَلْقِهِ إِلَّا هَـٰذِهِ السُّورَةَ لَكَفَتْهُمْ.


(Maksudnya): Kalaulah Allah tidak menurunkan kepada manusia melainkan hanya surah ini (Surah Al-'Ashr), sudah cukup bagi mereka.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment