Thursday, January 28, 2021

KHUTBAH JUMAAT - 16 JAMADIL AWAL 1442 / 29 JANUARI 2021

 REDA DENGAN KETETAPAN ALLAH SWT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٧﴾ (Surah Al-An'am ayat 17)


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan melaksanakan perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-nudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Reda Dengan Ketetapan Allah s.w.t".

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Takdir Allah s.w.t sudah ditetapkan kepada setiap manusia. Sebagai mukmin yang beriman, kita hendaklah reda dengan ketentuan Allah s.w.t. Reda bermaksud menerima dengan rasa senang apa yang diberikan Allah s.w.t, baik berupa peraturan (hukum) mahupun qada' atau sesuatu ketentuan.

Reda menerima hukum Allah s.w.t menunjukkan kesempurnaan iman, kemuliaan taqwa dan kepatuhan kepada Allah, kerana menerima peraturan-peraturan itu dengan segala senang hati dan tidak berasa terpaksa atau dipaksa. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taubah ayat 59:

وَلَوْ أَنَّهُمْ رَضُوا مَا آتَاهُمُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ وَقَالُوا حَسْبُنَا اللَّهُ سَيُؤْتِينَا اللَّهُ مِن فَضْلِهِ وَرَسُولُهُ إِنَّا إِلَى اللَّهِ رَاغِبُونَ ﴿٥٩﴾


Maksudnya: "Dan (amatlah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan Rasul-Nya kepada mereka, sambil mereka berkata: "Cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurnia-Nya, demikian juga Rasul-Nya; sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah".

Reda dengan qada' pula iaitu menerima ketentuan nasib yang telah ditentukan Allah s.w.t baik berupa nikmat mahupun musibah dengan berlapang dada. Penularan wabak Covid-19 yang didatangkan oleh Allah s.w.t juga hendaklah diterima dengan penuh keredaan. Kehidupan dalam norma baharu adalah ujian kepada setiap daripada kita. Ditambah akhir-akhir ini, kerajaan terpaksa menetapkan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 atas faktor pertambahan kembali kes yang melibatkan Covid-19 ini.

Apabila diuji dengan masalah, musibah atau kematian, inilah masanya untuk menilai sikap kita sama ada istiqamah dan bersangka baik terhadap ketentuan Allah s.w.t atau sebaliknya.

Para jamaah yang dirahmati Allah,

Hadits daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

إنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ : أَنَا عِنْدَ ظَنِّ عَبْدِي بِي، إِنْ ظَنَّ بِي خَيْرًا فَلَهُ، وَإِنْ ظَنَّ شَرًّا فَلَهُ.


Maksudnya: "Allah berfirman; Aku Allah, menurut sangkaan hamba-Ku kepadaKu. Jika dia menyangka baik kepada Aku, maka baginya kebaikan sangka baiknya kepada Aku, dan jika dia menyangka dengan sangkan buruk kepadaKu, maka baginya sangkaan buruknya kepadaKu". (Hadits riwayat Ahmad no. 9076)

Bersangka baiklah dengan ketentuan Allah s.w.t kerana setiap perkara atau ketentuan itu adalah di luar daripada kotak pemikiran kita dan tidak boleh diubah-ubah setelah kita berusaha. Sesungguhnya Allah s.w.t memastikan terjadinya hal itu sebagai yang layak bagi diri-Nya kerana bagi Dialah sebaik-baik Pencipta. Dia yang Maha Bijaksana atas segala sesuatu. Selain itu, bersandar kepada pengertian bahawa ketentuan dan pilihan Allah itulah yang paling baik, dibanding dengan pilihan dan kehendak peribadi berkaitan diri kita sendiri. Sabda Rasulullah s.a.w:

... وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ فَلَا تَقُلْ : لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ : قَدَرُ اللَّهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ.


Maksudnya: "Dan jika sesuatu kesudahan menimpamu janganlah engkau berkata; Jika aku telah berbuat begini dan begitu, begini dan begitulah jadinya. Melainkan hendaklah kamu katakan; Allah telah mentakdirkan dan apa yang Dia suka, Dia perbuat! Kerana sesungguhnya perkataan 'andai kata' itu memberi peluang kepada syaitan". (Hadits riwayat Muslim no. 2664)

Kita bersangka baik dengan Allah s.w.t, kita lakukan solat lima waktu dan tambahkan dengan amalan kebaikan, dengan berpuasa sunat dan bersedekah. Allah s.w.t tidak akan mensia-siakan ganjaran kepada kita yang memiliki keyakinan kepada -Nya. Allah s.w.t juga tidak memungkiri janji.

Mengakhiri khutbah pertama ini, ketahuilah bahawa kewajipan hamba adalah berusaha dahulu, jangan hanya berpeluk tubuh, terimalah takdir Allah, kerana reda dengan ketetapan-Nya adalah sifat yang dipuji. Sebagai umat Islam, wajib kita bersifat dengan sifat reda. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baiyinah ayat 8:

جَزَاؤُهُمْ عِندَ رَبِّهِمْ جَنَّاتُ عَدْنٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۖ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ ۚ ذَٰلِكَ لِمَنْ خَشِيَ رَبَّهُ ﴿٨﴾


Maksudnya: "Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga 'Adn (tempat tinggal yang tetap), yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekallah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan mereka pun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Balasan yang demikian itu untuk orang-orang yang takut (melanggar perintah) Tuhannya".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap teguh berpegang kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah.

Mimbar juga berpesan agar kita sama-sama mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka. Marilah kita sama-sama berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha memutuskan jangkitan Covid-19.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment