Friday, January 1, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 17 JAMADIL AWAL 1442 / 1 JANUARI 2021

 KENAPA KITA DIJADIKAN OLEH ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan di dunia dan akhirat adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar dan memahami  firman Allah Ta'ala:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾ مَا أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ ﴿٥٧﴾ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ ﴿٥٨﴾ [سورة الذاريات : ٥٦-٥٨]


(Maksudnya): Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian daripada mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.

Firman Allah Ta'ala itu ditujukan kepada hamba-hamba-Nya secara khusus, iaitu makhluk jin dan manusia. Mereka diciptakan oleh Allah s.w.t, diletakkan di atas muka bumi, sebagai kurnia dan pemberian daripada Allah s.w.t. Kalau Allah tidak menjadikan mereka, mereka tidak ada dan mereka tidak boleh mendapat nikmat hidup, serta tidak dapat menikmati alam dunia ini.

Mereka berada di sini kerana mereka dijadikan dan dicipta oleh Allah s.w.t. Mereka bukan sahaja makhluk yang dijadikan, mereka juga adalah hamba-hamba kepada Allah s.w.t yang mesti menunjukkan kesyukuran kepada Allah dan berterima kasih kepada Allah yang menjadikan mereka. Allah tidak meminta apa-apa daripada mereka, kerana Allah itu Maha Kaya, tidak berhajat kepada apa-apa dan sesiapa pun.

Allah yang memberi rezeki kepada mereka, bukan sahaja menjadikan mereka berada di alam dunia berpijak di atas muka bumi ini. Dijadikan pancaindera masing-masing, dapat melihat, mendengar, bercakap dan berfikir serta bercampur dan berjalan ke sana ke mari. Mereka mesti menunjukkan kesyukuran itu dengan hanya beribadat kepada Allah s.w.t. Beribadat dengan makna memperhambakan diri kepada Allah s.w.t  sama ada dalam perkara yang dinamakan ibadat, menyembah Allah dengan upacara ibadat; yang berkait dengan jasad, roh dan akal mereka; yang berkait dengan harta mereka dan yang berkait dengan semua nikmat yang diberi oleh Allah kepada mereka; menunaikan nikmat itu mengikut perintah Allah s.w.t dan meninggalkan larangan-Nya; mengingatkan diri supaya berhadap kepada Allah dalam perkara sembahyang, berzikir, bertasbih, bertahlil, berdoa dan lain-lain lagi.

Mereka menyebut Allah dengan lidah, hati dan akal mereka. Mereka menggunakan nikmat yang diberi oleh Allah dengan memakmurkan bumi tempat mereka berpijak. Mereka memakmurkan dunia itu dengan kebaikannya kepada diri mereka sendiri. Allah Ta'ala tidak berhajat apa-apa kebaikan daripada mereka. Semua amal baik yang mereka buat, faedah amal itu untuk diri mereka sendiri. Semua perkara yang baik itu mesti mendatangkan manfaat.

Termasuk memperhambakan diri itu adalah meninggalkan perkara yang diharam dan yang dilarang oleh Allah s.w.t. Semua perkara yang diharam dan dilarang itu mendatangkan mudarat kepada diri mereka sendiri kerana Allah menjadikan di atas muka bumi ini bukan makhluk jin dan manusia sahaja. Ada makhluk-makhluk yang lain dengan tujuan dan hikmah yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Dan apa yang mereka mesti faham, makhluk-makhluk yang lain itu digunakan oleh mereka.

Mereka diberi hak oleh Allah untuk memakmurkan bumi dengan makhluk-makhluk lain yang ada di atas muka bumi ini; hujan yang diturunkan dari langit mengeluarkan air daripadanya, tumbuh segala tumbuh-tumbuhan dan binatang yang melata di atas muka bumi. Segala bahan-bahan yang ada di atas muka bumi digunakan oleh mereka yang mendatangkan manfaat kepada mereka dengan sempadan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t mengikut kemampuan mereka dan mengikut fitrah (sifat semula jadi) mereka. Perkara yang diluar kemampuan dan di luar sifat semula jadi mereka akan merosakkan diri mereka sendiri kerana di luar daripada saiz kemampuan mereka. Maka Allah mengharamkannya untuk menyelamatkan mereka.

Allah yang Maha Memberi kurnia kepada mereka dengan memberi pahala yang sangat besar sekiranya mereka taat kepada Allah dan meninggalkan larangan Allah s.w.t. Setiap amal kebajikan digandakan dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali ganda dan tidak terhingga gandanya mengikut kurnia Allah s.w.t. Adapun dosa yang dibuat oleh mereka tidak digandakan.

Dalam masa yang sama Allah membuka pintu taubat untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Sekiranya mereka beristighfar meminta ampun, bukan sahaja dosa mereka hilang, bahkan mereka diberi pahala oleh Allah s.w.t.

Semua kelebihan itu ada pada diri manusia dan jin, tetapi tidak ada pada malaikat dan binatang. Dengan sebab pada manusia dan jin itu ada hawa nafsu, mereka terpaksa berlawan dengan hawa nafsu mereka, tidak seperti malaikat. Mereka ada akal tidak seperti binatang. Sekiranya mereka menggunakan akal dengan baik dapat melawan hawa nafsu dan berjaya, mereka menang dan mendapat kelebihan mengatasi para malaikat. Tetapi ingat, sekiranya mereka mengikut hawa nafsu dan tidak menggunakan akal yang diberi oleh Allah, mereka lebih hina daripada binatang.

Marilah dengan kesedaran dan keinsafan, kita faham kenapa kita dijadikan oleh Allah s.w.t. Allah menjanjikan selepas alam dunia ini ada alam akhirat untuk diberi balasan terhadap semua yang kita buat di alam dunia ini.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

كَيْفَ تَكْفُرُونَ بِاللَّهِ وَكُنتُمْ أَمْوَاتًا فَأَحْيَاكُمْ ۖ ثُمَّ يُمِيتُكُمْ ثُمَّ يُحْيِيكُمْ ثُمَّ إِلَيْهِ تُرْجَعُونَ ﴿٢٨﴾ [سورة البقرة : ٢٨]


(Maksudnya): Bagaimana kamu tergamak kufur (mengingkari) Allah padahal kamu dahulunya mati (belum lahir), kemudian Dia menghidupkan kamu; setelah itu Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu pula (pada hari akhirat); akhirnya kamu dikembalikan kepada-Nya (untuk diberi balasan bagi segala yang kamu kerjakan).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment