Thursday, December 31, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 17 JAMADIL AWAL 1442 / 1 JANUARI 2021

 MUHASABAH DIRI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾ (Surah Al-Hashr ayat 18)


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin berpesan kepada diri sendiri dan sidang jamaah yang dimuliakan, marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, yakni dengan istiqamah memenuhi segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Moga-moga kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Muhasabah Diri".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita telah memasuki hari pertama dalam tahun baharu 2021. Kita sedia maklum bahawa, tahun 2020 telah mencatatkan banyak musibah yang melanda negara kita. Akibat wabak Covid-19, ramai pihak menerima kesannya, terutama yang dijangkiti virus, apatah lagi yang melibatkan kematian. Tidak kurang yang hilang punca pendapatan, diberhentikan kerja, ekonomi tidak stabil, sesi persekolahan dan pengajian terganggu dan lain-lain.

Sama-samalah kita berdoa semoga Allah s.w.t mengangkat segala musibah ini. Pada tahun baharu ini juga, tidak ada salahnya kita terus melakukan muhasabah, yakni menghitung amalan kita atau melihat apa yang telah kita lakukan selama satu tahun, sehingga dapat menjadi kayu pengukur kita dalam menempuh tahun-tahun berikutnya.

Dalam hal ini, marilah kita mengingat kembali pesanan Saiyidina 'Ali r.a:

كُنْ عِنْدَ اللهِ خَيْرَ النَّاسِ وَكُنْ عِنْدَ النَّفْسِ شَرَّ النَّاسِ وَكُنْ عِنْدَ النَّاسِ رَجُلًا مِنَ النَّاسِ


Maksudnya: "Jadilah manusia yang paling baik di sisi Allah, dan jadilah manusia yang paling jahat dalam pandangan dirimu, serta jadilah manusia biasa di hadapan orang lain".

Sidang Jumaat sekalian,

Pesanan Saiyidina 'Ali ini memberikan peringatan yang sangat penting bagi umat Islam dalam mengharungi kehidupan dunia, demi memperoleh kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya ialah:

Pertama, kita diharapkan terus meningkatkan ketaqwaan dan amal kebaikan di hadapan Allah s.w.t. Menjalankan perintah-Nya dan sehabis mungkin, serta menjauhi apa yang menjadi larangan sesuai dengan tuntutan agama, sehingga kita menjadi manusia yang baik di sisi-Nya.

Kedua, kita harus merasa kurang atas amal kebaikan yang kita lakukan dengan terus merasa diri kita tidak cukup baik. Ini bertujuan supaya kita memperbaiki amalan juga melatih diri kita sentiasa memohon ampun atas kesalahan dan dosa yang kita lakukan.

Ketiga, kita harus merendahkan diri di hadapan orang lain dengan tidak merasa lebih baik. Mungkin sebahagian di antara kita ketika melihat orang lain yang rendah kedudukan, merasa dirinya lebih baik atau lebih mulia. Hal ini bukan bermaksud merendahkan diri, namun untuk menjauhkan kita dari sikap 'ujub atau sombong, riyak, dan sum'ah atau mengharap pujian orang lain.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Bagaimana kita mampu mendorong diri kita untuk terus berbuat kebaikan? Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya' 'Ulumuddin ada memberikan panduan yang dapat kita sama-sama amalkan:

Pertama, jika kita melihat orang lain, hendaklah kita memandangnya bahawa dia memiliki kelebihan daripada diri kita sendiri, mungkin dia lebih bertaqwa, lebih baik amal kebajikannya, lebih tinggi darjatnya di hadapan Allah s.w.t.

Kedua, jika kita melihat anak kecil atau lebih muda, jangan kita merasa lebih baik daripada mereka. Katakanlah; "Mungkin dosanya lebih sedikit daripada diriku, kerana umurnya lebih sedikit dariku". Sebaliknya jika kita melihat orang lebih tua, hendaknya kita melihat bahawa dia telah berbuat amal kebaikan lebih baik dari diri kita.

Ketiga, jika kita melihat orang 'alim, orang yang memiliki ilmu, hendaklah kita menilainya memiliki cara yang baik dan benar dalam mengamalkan ilmu pengetahuannya dan telah berbuat kebaikan dengan ilmu tersebut. Sebaliknya jika kita bertemu orang yang jahil, hendaklah kita katakan; "Mungkin dia berbuat dosa atau salah akibat ketidak tahuannya, sementara aku lebih berdosa kerana berbuat salah dengan pengetahuan yang aku miliki".

Hadirin jamaah Jumaat yang dimuliakan Allah,

Muhasabah diri bukan hanya dilakukan sekali-sekala atau di awal tahun sahaja, namun harus menjadi amalan rutin yang tertanam dalam kehidupan kita setiap hari. Muhasabah dapat memberikan kesan besar pada diri kita, keluarga, dan lebih luas lagi pada masyarakat.

Sekiranya kita tidak bermuhasabah, ia bukan hanya mengakibatkan kerosakan pada diri kita, tetapi juga kehidupan keluarga kita dan masyarakat. Rasulullah s.a.w bersabda:

الْكَيِّسُ مَنْ دَانَ نَفْسَهُ وَعَمِلَ لِمَا بَعْدَ الْمَوْتِ وَالْعَاجِزُ مَنْ أَتْبَعَ نَفْسَهُ هَوَاهَا وَتَمَنَّى عَلَى اللَّهِ


Maksudnya: "Orang yang cerdas (bijak) adalah orang yang menghitung (bermuhasabah) dirinya sendiri, serta beramal untuk kehidupan sesudah kematiannya. Sedangkan orang yang jahil adalah orang yang mengikuti hawa nafsunya, serta berangan-angan terhadap Allah tanpa sebarang usaha". (Hadits riwayat Imam Termidzi no. 2459)

Hadirin Jumaat yang dimuliakan,

Mengakhiri khutbah pertama ini, marilah sama-sama kita menghayati firman Allah s.w.t yang khatib bacakan di awal khutbah tadi:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾


Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah  dan hendaklah setiap orang memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (yakni hari akhirat). Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan". (Surah Al-Hashr ayat 18)

Menurut Ibnu Katsir di dalam tafsirnya, ayat ini memberikan pesan tentang kepentingan muhasabah diri. Allah menyuruh kita menjejak tingkah laku kita, agar kita dapat melihat seberapa banyak kesalahan kita dalam menjalani kehidupan di masa lalu. Kemudian kita bertindak memperbaiki kesalahan-kesalahan tersebut. Dengan itu barulah amalan kita makin bertambah dan menjadi lebih baik. 

Di samping itu, pengulangan perintah bertaqwa kepada Allah sebanyak dua kali dalam ayat ini tentunya memiliki makna yang lebih dalam. Ia merupakan satu bentuk penegasan bahawa ketaqwaan adalah bekal paling utama seseorang mukmin memandu kehidupan.

Sebagai penutup, marilah kita berazam dan menggerakkan usaha ke arah menjadi hamba Allah yang sering bermuhasabah, dan sentiasa memperbaiki diri.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap teguh berpegang kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari no. 645)

Mimbar juga berpesan agar para jamaah terus bersabar mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka. Marilah kita sama-sama berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha membendung penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment