Friday, December 11, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 25 RABI'UL AKHIR 1442 / 11 DISEMBER 2020

 ISLAM MESTI KEMBALI MEMIMPIN DUNIA

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan di dunia dan akhirat adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mengambil perhatian daripada peringatan yang diberikan oleh Allah s.w.t dengan firman-Nya:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُوا مِن دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ الْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ اللَّهُ مُوتُوا ثُمَّ أَحْيَاهُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ ﴿٢٤٣﴾ [سورة البقرة : ٢٤٣]


(Maksudnya): Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: "Matilah kamu", kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Semua cerita yang disebut di dalam Al-Quran adalah benar, bukan untuk sedap didengar sahaja. Di dalamnya penuh dengan pengajaran dan peringatan daripada Allah s.w.t.

Para ulamak tafsir meriwayatkan, mereka adalah satu kumpulan daripada Bani Israil yang menurut satu riwayat jumlahnya seramai 70,000 orang; apabila kampung halaman dan negeri mereka dilanda wabak ta'un, mereka diarahkan oleh nabi di zaman itu supaya jangan meninggalkan kampung itu dengan perintah Alllah s.w.t. Tetapi kerana mereka takutkan mati, mereka tidak peduli kepada petunjuk Allah s.w.t, mereka keluar beramai-ramai dengan jumlah 70,000 orang. Mereka menyangka dengan meninggalkan kampung itu, mereka akan selamat daripada mati. Mereka lupa bahawa mati dan ajal itu di bawah kekuasaan Allah s.w.t. Maka Allah sangat murka terhadap mereka, lalu Allah memerintahkan mereka dimatikan sekaligus.

Setelah berlalu masa beberapa generasi, mungkin dalam tempoh beberapa ratus tahun, dalam keadaan mayat-mayat mereka sudah hancur lebur, hanya tinggal cebisan tulang yang telah reput sahaja; lalu seorang rasul yang lain dibangkitkan oleh Allah selepas itu. Rasul itu sangat sedih dengan apa yang berlaku, lalu berdoa kepada Allah s.w.t supaya dihidupkan semula mereka semua. Lalu Allah s.w.t menghidupkan mereka sekaligus dalam jumlah 70,000 orang itu. Ia menandakan kekuasaan Allah s.w.t yang menjanjikan hari akhirat; manusia boleh dihidupkan dalam sekelip mata sahaja.

Cerita di dalam Al-Quran adalah petunjuk daripada Allah s.w.t. Walaupun manusia beriman kepada kadar takdir (qada' dan qadar) daripada Allah s.w.t, manusia diberi akal fikiran, menggunakan akal fikiran berusaha dan berikhtiar sebagai hamba-hamba Allah yang memakmurkan bumi, bukan mereka menjadikan Allah sebagai hamba mereka. Mereka mesti tunduk kepada perintah Allah s.w.t; bila sakit berikhtiar untuk berubat, mengelakkan diri daripada penyakit dan mencegah penyakit itu. Allah telah menunjukkan kepada mereka apabila berlakunya wabak, jangan tinggal negeri yang ada wabak itu dan mereka di luar negeri itu, jangan masuk ke negeri yang ada wabak itu.

Umat Islam di zaman Khalifah 'Umar bin Al-Khattab r.a menghadapi wabak Ta'un Amwas yang terkenal selepas peperangan besar yang menjatuhkan Rom Baizantin; mungkin jutaan manusia yang mati di dalam peperangan itu, bukan sahaja orang bukan Islam, termasuk juga orang Islam. Lalu Allah menguji mereka dengan wabak yang terkenal dengan Ta'un Amwas yang mengorbankan ribuan orang para sahabat radiAllahu 'anhum. Di antaranya Abu 'Ubaidah 'Amir bin Al-Jarrah r.a, salah seorang sepuluh sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah dan Rasul-Nya. Ada pun Khalifah 'Umar bin Al-Khattab r.a yang berhasrat untuk melawat negeri Syam setelah melawat Baitul Maqdis, bila mendengar berlakunya wabak itu, telah membatalkan lawatannya, terutama bila mendengar sabda Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh 'Abdur Rahman bin 'Auf r.a berkenaan ta'un:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا. [متفق عليه]


(Maksudnya): Bila kamu mendengar wabak ta'un di suatu negeri, jangan kamu memasukinya dan jika kamu berada di dalamnya, jangan kamu keluar daripadanya.

Itulah pesanan Nabi s.a.w. Sementara di dalam hadits yang lain, Nabi s.a.w bersabda:

(Yang bermaksud): Sesiapa yang bersabar dengan ujian wabak, lalu mati dengan wabak itu dengan penuh kesabarannya, matinya adalah syahid akhirat.

Sebaik sahaja mendengar arahan itu, maka 'Amru bin Al-'Ash r.a yang dilantik menjadi gabenor selepas Abu 'Ubaidah mengarahkan kuarantin; ada kawasan yang dilarang keluar dan dilarang masuk, ada penduduk yang dipindahkan ke bukit bukau dan lembah untuk mencegah penyakit itu daripada merebak. Dengan izin Allah s.w.t, penduduk Syam diselamatkan daripada wabak itu.

Ini menunjukkan bahawa sejarah Islam telah mendahului sejarah barat (Eropah) dalam ilmu perubatan dan tamadun Islam telah mendahului tamadun dunia yang lain dalam ilmu perubatan. Banyak daripada kalangan orang bukan Islam mempelajari ilmu daripada orang Islam. Apabila umat Islam mencapai kemenangan dan berjaya mendirikan negara besar selepas kejatuhan Farsi dan Rom, dua kuasa besar dunia dan tunduknya kuasa-kuasa besar yang lain seperti India, China dan lain-lain, umat Islam telah berjaya menarik orang-orang bukan Islam untuk masuk Islam daripada berbagai-bagai bangsa.

Dalam masa yang sama, kerajaan Islam menerima ilmu-ilmu daripada yang bukan Islam dan ilmu itu diIslamkan dengan dibina di atas beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Maka terbinalah tamadun ilmu yang memberi manfaat kepada dunia yang memberkati kehidupan di hari akhirat dalam segala ilmu dunia. Maka orang Islam telah meneroka pelbagai ilmu menjadi bangsa contoh kepada seluruh pelusuk dunia.

Orang Islam menghadapi zaman surut kerana Allah telah menentukan bahawa tidak ada kuasa yang kekal dalam dunia melainkan kuasa Allah. Allah menjadikan pasang surut dalam kehidupan manusia, bukan sahaja lautan yang berubah mengikut musim, termasuk manusia yang beragama Islam. Mereka diuji oleh Allah dengan berlakunya pasang surut.

Kita berada di zaman orang Islam dalam keadaan surut bila orang Islam meninggalkan ajaran Islam. Tiba-tiba orang bukan Islam mengambil ilmu dunia daripada orang Islam. Malangnya mereka mengambil ilmu dunia tetapi mereka meninggalkan agama Islam. Kita menyaksikan dunia yang maju pada hari ini sedang membakar dan merobohkan diri sendiri. Kebanyakan ilmu yang mencipta senjata-senjata yang memusnahkan sesama manusia, membunuh manusia dalam sekelip mata dalam jumlah jutaan jiwa yang lebih ganas daripada binatang. Mereka mencipta ubat-ubat yang merosakkan manusia sendiri dengan dadah, ganja dan sebagainya. Mereka mencipta kemajuan kebendaan dengan tamak haloba. Berlakunya kemusnahan alam yang merosakkan cuaca dan musim kerana mengejar kemajuan dunia tanpa batas halal dan haram.

Apa yang berlaku pada hari ini menyedarkan kita umat Islam supaya kembali semula memimpin dunia bersama dengan Islam, mengajak manusia supaya mengikut Islam dengan syarat kita sendiri mestilah menjadi umat yang berpegang dengan ajaran Islam dan menjadi umat contoh kepada umat yang lain.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ... ﴿١١٠﴾ [سورة آل عمران : ١١٠]


(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment