Thursday, December 17, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 3 JAMADIL AWAL 1442 / 17 DISEMBER 2020

 BAHAYA MUNAFIK

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

يَحْذَرُ الْمُنَافِقُونَ أَن تُنَزَّلَ عَلَيْهِمْ سُورَةٌ تُنَبِّئُهُم بِمَا فِي قُلُوبِهِمْ ۚ قُلِ اسْتَهْزِئُوا إِنَّ اللَّهَ مُخْرِجٌ مَّا تَحْذَرُونَ ﴿٦٤﴾ (Surah At-Taubah ayat 64)


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar ingin berpesan kepada diri sendiri dan sidang jamaah yang dimuliakan, marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, yakni dengan istiqamah melaksanakan perintah-Nya dan berusaha menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Minbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Bahaya Munafik".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Jika dilihat pada istilah syarak, munafik bererti orang yang menzahirkan sesuatu, berlawanan dengan apa yang tersimpan dalam hatinya. Jika yang disembunyikan itu berkait dengan iktikad keimanan, ia dinamakan munafik tulen dan di akhirat kelak, golongan ini akan berada di lapisan neraka yang paling bawah dan yang paling panas. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' ayat 145:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ فِي الدَّرْكِ الْأَسْفَلِ مِنَ النَّارِ وَلَن تَجِدَ لَهُمْ نَصِيرًا ﴿١٤٥﴾


Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan paling bawah dari (lapisan-lapisan dalam) neraka. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sesiapa pun yang boleh menolong mereka".

Akan tetapi jika yang disembunyikan itu bukan kekufuran kepada Allah s.w.t, kitab-Nya dan Rasul-Nya, maka perbuatan itu dianggap sebagai satu dosa kemaksiatan sahaja. Dari segi hukum, mereka tidak terkeluar daripada Islam dan terpulang kepada kehendak Allah sama ada diazab atau diampunkan dosa mereka.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Orang munafik selalu berubah wataknya, baik dalam percakapan atau perbuatan mereka. Akibat sikap mereka inilah, maka Allah mendedahkan rahsia-rahsia mereka dan memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berhati-hati ketika berurusan dengan mereka. Allah berfirman dalam Surah At-Taubah ayat 64, sebagaimana dibacakan di awal khutbah tadi:

يَحْذَرُ الْمُنَافِقُونَ أَن تُنَزَّلَ عَلَيْهِمْ سُورَةٌ تُنَبِّئُهُم بِمَا فِي قُلُوبِهِمْ ۚ قُلِ اسْتَهْزِئُوا إِنَّ اللَّهَ مُخْرِجٌ مَّا تَحْذَرُونَ ﴿٦٤﴾


Maksudnya: "Orang-orang munafik itu takut kalau diturunkan satu surah Al-Quran yang menerangkan kepada mereka (dan kepada ramai) akan apa yang ada dalam hati mereka (dari kekufuran). Katakanlah (wahai Muhammad): "Hinalah (seberapa yang kamu suka), sesungguhnya Allah akan mendedahkan apa yang kamu takut (diketahui orang ramai)".

Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقِ ثَلَاثٌ إِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَإِذَا وَعَدَ أَخْلَفَ وَإِذَا اؤْتُمِنَ خَانَ


Maksudnya: "Tanda-tanda munafik ada tiga. Apabila berbicara, dia bohong. Apabila dia berjanji, dia mungkiri dan apabila diberikan kepercayaan kepadanya, dia khianat". (Hadits riwayat Al-Bukhari no. 6095)

Hadits ini menerangkan kepada kita tentang tiga ciri orang munafik. Ciri-ciri tersebut adalah:

Pertama: Apabila berbicara tentang sesuatu perkara, dia akan berbohong. Orang-orang munafik selalunya akan membuat kenyataan atau penerangan palsu, sama ada dengan lisan atau tulisan, memutar belit dan memesongkan fakta sebenar mengikut nafsu mereka.

Kedua: Apabila berjanji, tidak ditepati. Orang munafik juga sering melanggar sesuatu janji yang telah dipersetujui bersama, dan bijak mencari alasan apabila tidak dapat menunaikannya. Dan yang

Ketiga: Apabila diberikan sesuatu kepercayaan, dia mengkhianatinya. Orang munafik amat susah untuk menunaikan sesuatu amanah. Setiap amanah yang diberikan kepadanya, tidak akan dijaga dengan baik.

Selain tiga tanda munafik yang disebutkan tadi, Allah juga menceritakan dua lagi ciri orang munafik, iaitu malas beribadah dan kurang mengingati Allah. Firman Allah dalam Surah An-Nisa' ayat 142:

إِنَّ الْمُنَافِقِينَ يُخَادِعُونَ اللَّهَ وَهُوَ خَادِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوا إِلَى الصَّلَاةِ قَامُوا كُسَالَىٰ يُرَاءُونَ النَّاسَ وَلَا يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿١٤٢﴾


Maksudnya: "Sesungguhnya orang-orang munafik itu menipu Allah, dan Allah akan membalas tipuan mereka. Dan apabila mereka berdiri untuk solat, mereka berdiri dengan malas dan bermaksud riak di hadapan manusia. Dan tidaklah mereka menyebut atau mengingati Allah kecuali sedikit".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengapa kita perlu menjauhi sifat munafik? Jawapannya kerana ia dilarang dalam agama Islam. Bahkan, sifat munafik bukanlah sifat yang wajar dimiliki, walau apa pun latarbelakang kepercayaan seseorang. Munafik adalah penyakit hati yang tidak hanya merosakkan diri, malah mencemarkan peribadi seseorang dalam hubungan sesama manusia.

Berikut ada tiga amalan yang boleh kita lakukan untuk menjauhi sifat munafik:

Pertama: Memelihara solat berjamaah. Terutamanya bagi kaum lelaki, lazimilah solat berjamaah di masjid atau surau pada awal waktu. Hal ini dapat membebaskan kita daripada sifat nifak. Sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadits:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِي جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الْأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنْ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنْ النِّفَاقِ


Maksudnya: "Barangsiapa yang menunaikan solat kerana Allah selama 40 hari secara berjamaah dengan mendapat takbiratul ihram bersama imam, ditulis baginya dua kebebasan, kebebasan daripada api neraka dan kebebasan daripada sifat munafik". (Hadits riwayat At-Termidzi no. 241)

Kedua: Memperbanyakkan sedekah. Orang munafik biasanya enggan bersedekah, kecuali untuk mengangkat dirinya serta dipuji manusia. Jika kita ingin menjauhkan diri dari sifat munafik, perbanyakkanlah bersedekah, baik sedekah secara terang-terangan mahupun secara tersembunyi.

Ketiga: Mengamalkan akhlak terpuji. Akhlak yang baik sukar ditemukan pada diri orang munafik. Maka berakhlaklah kita dengan akhlak yang terpuji, seperti yang diajarkan syariat Islam.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai kesimpulan, marilah kita sama-sama memeriksa diri kita dengan jujur dan amanah. Dengan kejujuran dan akhlak yang baik, ditambah pula dengan keikhlasan kepada Allah. kita akan dapat memelihara diri kita daripada sifat munafik. Mudah-mudahan kita menjadi hamba Tuhan yang benar-benar beriman kepada-Nya dan bermanfaat kepada sekalian umat manusia.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap teguh berpegang kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Mimbar juga berpesan agar para jamaah terus bersabar mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka. Marilah kita sama-sama berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha membendung penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ. رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment