Thursday, December 3, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 18 RABI'UL AKHIR 1442 / 4 DISEMBER 2020

 SABAR MENGHADAPI UJIAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ (Surah Al-Baqarah ayat 155)


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan istiqamah melaksanakan perintah-Nya, dan bermujahadah meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan hidup di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat kelak. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Sabar Menghadapi Ujian".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Sabar dari sudut bahasa bererti menahan dan mencegah diri. Manakala dari sudut istilah pula, sabar bererti menghadapi keadaan susah dengan perasaan reda, ikhtiar dan penyerahan diri. Sabar merupakan akhlak terpuji yang paling utama. Al-Quran sendiri menyebut perkataan sabar sebanyak hampir 90 kali. Antaranya firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 45:

وَاسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلَاةِ ۚ... ﴿٤٥﴾


Maksudnya: "Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mendirikan sembahyang...". 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Manusia adalah ciptaan Allah yang selalu dibebankan dengan ujian dan cubaan. Dalam menempuh ranjau kehidupan, bekalan terbaik yang perlu kita miliki adalah sifat sabar. Orang yang bersabar akan bersyukur dengan segala yang berlaku. Orang yang bersabar sentiasa reda dengan ketentuan Allah. Dan orang yang bersabar juga yakin bahawa setiap perkara yang berlaku, ada hikmah di sebaliknya.

Sikap sabar berlaku dalam tiga keadaan. Pertama, sabar dalam mengerjakan ibadat dan ketaatan. Kedua, sabar dalam menghadapi musibah dan ujian. Dan ketiga, sabar dalam menahan diri daripada mengerjakan perbuatan keji dan maksiat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Banyak dalil di dalam Al-Quran dan Hadits mengenai keutamaan sifat sabar. Antaranya:

Pertama: Allah memuji orang-orang yang sabar. Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 177:

... وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ ۗ أُولَٰئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ ﴿١٧٧﴾


Maksudnya: "Dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan di masa kesakitan, dan juga semasa bertempur di medan peperangan. (Orang-orang yang begitu sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa".

Kedua: Kesabaran dapat menghapuskan dosa-dosa. Sabda Rasulullah s.a.w:

مَا يُصِيبُ الْمُسْلِمَ مِنْ نَصَبٍ وَلَا وَصَبٍ وَلَا هَمٍّ وَلَا حُزْنٍ وَلَا أَذًى وَلَا غَمٍّ حَتَّى الشَّوْكَةِ يُشَاكُهَا إِلَّا كَفَّرَ اللَّهُ بِهَا مِنْ خَطَايَاهُ


Maksudnya: "Tidaklah seorang muslim yang ditimpa sesuatu penyakit dan keletihan, kegusaran dan kesedihan, gangguan dan kesusahan, bahkan duri yang melukainya, melainkan Allah s.w.t akan menghapus kesalahan-kesalahannya". (Sahih Al-Bukhari : 5641)

Ketiga: Kesabaran dapat menambahkan pahala kebaikan pada diri seseorang. Sabda Nabi s.a.w:

مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللَّهُ { إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ } اللَّهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا إِلَّا أَخْلَفَ اللَّهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا


Maksudnya: "Mana-mana muslim yang ditimpa musibah, lalu mengucapkan apa yang diperintah oleh Allah (iaitu); 'Inna lillahi wa inna ilahi roijiun'. Ya Allah, berilah aku ganjaran daripada musibahku ini, dan berilah ganti kepadaku dengan yang lebih baik daripadanya. Nescaya Allah akan menggantikan dengan yang lebih baik daripadanya". (Sahih Muslim : 918)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Negara kita masih berjuang melawan wabak Covid-19. Pelbagai usaha telah dijalankan, baik oleh pihak pemerintah menerusi Kementerian Kesihatan, mahupun orang ramai melalui Pertubuhan Amal dan Badan-badan Kebajikan. Baru-baru ini juga, sebahagian negeri telah ditimpa hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir dan tanah runtuh. Kita juga amat bersimpati, mendengar keluhan saudara-saudara kita di dalam zon merah, yang terhalang daripada menunaikan solat berjamaah dan solat jumaat di masjid. Semua musibah ini, amat menuntut kita agar lebih bersabdar dengan setiap ujian Allah s.w.t. Patuhilah SOP, dan budayakan pengamalan norma baharu.

Sebelum mengakhiri khutbah, mimbar menyeru para jamaah agar terus bersabar dan yakinlah, bahawa setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Berkat kesabaran dan ketaatan kita semua, insya Allah akan dibalas dengan ganjaran yang besar di sisi Allah kelak. Firman Allah s.w.t dalam Al-Quran:

فَإِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٥﴾ إِنَّ مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا ﴿٦﴾ فَإِذَا فَرَغْتَ فَانصَبْ ﴿٧﴾ وَإِلَىٰ رَبِّكَ فَارْغَب ﴿٨﴾


Maksudnya: "Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan, (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran disertai dengan kemudahan. Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada satu amal soleh), maka bersungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain pula), dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa-apa yang engkau ingini)". (Surah As-Syarh ayat 5 hingga 8)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap teguh berpegang kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Mimbar juga berpesan agar para jamaah terus bersabar mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka. Marilah kita sama-sama berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha membendung penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment