Thursday, November 26, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 11 RABI'UL AKHIR 1442 / 27 NOVEMBER 2020

IKHTIAR MENGHADAPI WABAK PENYAKIT

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar pengajaran daripada Allah s.w.t yang berfirman:

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ خَرَجُوا مِن دِيَارِهِمْ وَهُمْ أُلُوفٌ حَذَرَ الْمَوْتِ فَقَالَ لَهُمُ اللَّهُ مُوتُوا ثُمَّ أَحْيَاهُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَذُو فَضْلٍ عَلَى النَّاسِ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَشْكُرُونَ ﴿٢٤٣﴾ [سورة البقرة : ٢٤٣]


(Maksudnya): Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad) tentang orang-orang yang keluar (melarikan diri) dari kampung halamannya kerana takutkan mati, sedang mereka beribu-ribu ramainya? Maka Allah berfirman kepada mereka: "Matilah kamu", kemudian Allah menghidupkan mereka. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurnia-Nya kepada manusia (seluruhnya), tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

Ayat ini berkaitan dengan kisah satu kaum Bani Israil yang tinggal di sebuah negeri yang ditimpa penyakit wabak ta'un, lalu rasul mereka mengharapkan mereka supaya tidak keluar dari kampung itu, yang merupakan ikhtiar yang diajar oleh Allah s.w.t. Oleh sebab mereka takut mati bila berada di kampung yang ditimpa wabak itu, mereka tidak peduli nasihat supaya jangan meninggalkan kampung itu. Mereka keluar juga untuk melarikan diri daripada mati.

Mati adalah ketentuan Allah s.w.t. Manusia diajar supaya berfikir dan berikhtiar mencari jalan, walaupun Allah s.w.t Maha Berkuasa untuk menjadikan sesuatu dengan takdir-Nya, tetapi makhluk manusia yang diberi akal itu dikurniakan supaya berusaha dan berikhtiar mencari jalan di atas muka bumi sebagai satu amal kebajikan yang diberi kelebihan oleh Allah s.w.t. Tetapi mereka menggunakan akal mereka sendiri dengan melupakan petunjuk Allah s.w.t, kononnya mengikut petunjuk Allah s.w.t; menyerah kepada takdir, tetapi mereka meninggalkan ikhtiar yang diajar oleh Allah s.w.t menyebabkan Allah murka kepada mereka.

Mengikut riwayat Ibnu 'Abbas radiAllahu 'anhuma, jumlah mereka yang meninggalkan negeri itu adalah puluhan ribu untuk melarikan diri daripada mati. Apabila sampai di suatu kawasan, Allah yang murka terhadap mereka memerintahkan dua malaikat, dengan tempikan dua malaikat itu mereka dimatikan sekaligus oleh Allah s.w.t.

Setelah beberapa tahun yang mungkin memakan ratusan tahun yang tidak diketahui, mayat mereka sudah hancur lebur, tulang-tulang mereka sudah reput, lalu seorang rasul yang mengetahui peristiwa itu yang sedih melihat keadaan yang berlaku dan mendengar peristiwa yang berlaku berdoa kepada Allah s.w.t supaya menghiduplan mereka semula. Lalu mereka dihidupkan sekaligus dalam sekelip mata sahaja.

Tulang-tulang yang berselerak itu bercantum semula, ditumbuhkan daging, urat dan kulit serta dimasukkan roh ke dalam jasad mereka. Mereka bangkit dan bangun semula supaya bersyukur kepada Allah s.w.t.

Ayat ini bukan sahaja suatu kisah dan cerita untuk sedap didengar sahaja. Ia adalah petunjuk daripada Allah s.w.t supaya manusia menggunakan akal untuk berikhtiar dengan kemampuan yang diberi oleh Allah s.w.t.

Apabila negeri Syam dilanda wabak ta'un di zaman Amirul Mukminin 'Umar bin Al-Khattab r.a, ribuan para sahabat mati syahid dilanda wabak itu. Saiyidina 'Umar yang berhasrat untuk melawat Syam yang dilanda ta'un itu, tiba-tiba mendengar hadits Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid r.a:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا. [رواه البخاري]


(Maksudnya): Bila kamu mendengar wabak ta'un di suatu negeri, jangan kamu memasukinya dan jika kamu berada di dalamnya, jangan kamu keluar daripadanya.

Khalifah 'Umar r.a melantik 'Amru bin Al-'Ash r.a menjadi wali Syam. 'Amru bin Al-'Ash mengarahkan kuarantin atau penempatan yang terhad; ada yang ditahan di kampung masing-masing, ada yang dipindahkan ke tempat yang lain dan ada yang dihalang keluar dengan larangan-larangan kebijaksanaan yang dilakukan, sehingga Allah s.w.t membebaskan Syam daripada ta'un.

Itulah petunjuk ajaran Islam, warisan syariat Allah s.w.t yang ditinggalkan kepada kita. Tetapi oleh sebab orang Islam sudah lupa syariat yang menyeluruh dan sempurna itu, mereka hanya tahu yang berkait dengan ibadat sahaja, zikir dan tasbih sahaja, doa dan tahmid sahaja. Mereka tidak tahu kesempurnaan Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Islam mendahului tamadun barat dan mendahului seluruh manusia yang lain di dalam dunia ini. Banyak daripada kalangan bukan Islam belajar daripada orang Islam, tetapi orang Islam meninggalkan ajaran mereka sendiri. Orang Islam yang berada di dalam cahaya petunjuk Allah s.w.t, tetapi mereka tidur di dalam cahaya yang terang sehingga mereka tidak nampak. Orang bukan Islam walaupun dalam cahaya, mereka buta dalam cahaya. Mereka tidak mendapat hidayah walaupun mereka melakukan apa yang dibuat oleh orang Islam, mereka tidak mendapat keberkatan kerana tidak berlandaskan syariat Allah s.w.t.

Sudah tiba masanya umat Islam yang telah lama mennggalkan ajaran Islam ini kembali semula kepada ajaran Islam yang dibawa oleh nabi kita Muhammad s.a.w supaya sekali lagi kita menjadi pemandu dan pemimpin kepada dunia.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّمَا خَلَقْنَاكُمْ عَبَثًا وَأَنَّكُمْ إِلَيْنَا لَا تُرْجَعُونَ ﴿١١٥﴾ [سورة المؤمنون : ١١٥]


(Maksudnya): "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment