Friday, November 20, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 4 RABI'UL AKHIR 1442 / 20 NOVEMBER 2020

 PENGIMARAHAN MASJID SEPANJANG TEMPOH PKPB

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ ﴿١٨﴾


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, yakni dengan istiqamah melaksanakan perintah-Nya, dan bermujahadah menjauhi segala larangannya. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Khatib pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Pengimarahan Masjid Sepanjang Tempoh PKPB".

Para tetamu Allah yang beruntung,

Dalam Surah At-Taubah ayat 18, Allah s.w.t telah menjelaskan empat ciri utama golongan yang layak mengimarahkan masjid. Ciri-ciri ini menggambarkan sifat dan keperibadian akhlak muslim yang sejati. Pertama, beriman dengan Allah s.w.t. Kedua, beriman dengan hari akhirat. Ketiga, mendirikan solat, dan yang keempat menunaikan zakat. Di hujung ayat ini, Allah s.w.t berfirman, 

... فَعَسَىٰ أُولَٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ ﴿١٨﴾


Maksudnya: "... Mudah-mudahan mereka yang mengimarahkan masjid dan rumah-Ku termasuk dalam golongan yang diberikan petunjuk". (Surah At-Taubah ayat 18)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Masjid merupakan syi'ar agung sebagai pusat pembangunan umat. Dalam peristiwa hijrah dari Makkah ke Madinah, urusan pertama yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w ialah membina sebuah masjid berteraskan keikhlasan dan ketaqwaan. Selain menjadi syi'ar kepada agama, masjid juga adalah tempat penyucian jiwa, membentuk akhlak, memperkuatkan persaudaraan dan sebagai hab kemasyarakatan.

Sebaliknya pada hari ini, sebahagian masjid dilihat hanya menumpukan kepada ibadat khusus, seperti solat, bacaan Al-Quran, urusan kematian, dan nikah kahwin sahaja. Masjid tidak lagi berperanan sebagai pusat pengimarahan dan kebajikan qariah yang berimpak tinggi kepada masyarakat sekitar. Sesetengah masjid dilihat kurang mesra menyantuni para jamaah, dan gagal memberi teduhan harapan kepada orang-orang yang memerlukan. Di manakah silapnya?

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taubah ayat 108-109:

لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا ۚ لَّمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَىٰ مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَن تَقُومَ فِيهِ ۚ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَن يَتَطَهَّرُوا ۚ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ ﴿١٠٨﴾ أَفَمَنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ تَقْوَىٰ مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانٍ خَيْرٌ أَم مَّنْ أَسَّسَ بُنْيَانَهُ عَلَىٰ شَفَا جُرُفٍ هَارٍ فَانْهَارَ بِهِ فِي نَارِ جَهَنَّمَ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿١٠٩﴾


Maksudnya: "Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri. Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim".

Daripada ayat di atas, dapat difahami bahawa masjid perlu dibangun atas dasar ketaqwaan kepada Allah semata-mata. Masjid bukan dibangun untuk bermegah-megah dan berlebih-lebihan. Perlu diingat, tidak ada yang lebih baik di sisi Allah, melainkan nilai taqwa kepada-Nya.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini, alhamdulillah, masjid-masjid dan surau-surau masih dibenarkan beroperasi mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan boleh dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan, dengan sentiasa merujuk status terkini di zon masing-masing.

Kepada yang diberi amanah mentadbir masjid seperti ahli jawatankuasa masjid dan pegawai-pegawai masjid, perlulah berfikir dan bertindak di luar kebiasaan supaya peranan masjid dapat terus dihidupkan dan diimarahkan mengikut keadaan. Di antara perkara yang boleh dilakukan seperti menubuhkan tabungan kecemasan, atau tabung bencana dan kemanusiaan bagi memudahkan orang ramai menyalurkan bantuan. Untuk sumbangan dalam bentuk wang ringgit, tidak semestinya seseorang itu perlu hadir ke masjid, malah dengan teknologi terkini, sumbangan boleh dilakukan secara dalam talian melalui akaun bank atau imbasan kod.

Selain itu, tanggungjawab terbesar ahli jawatankuasa masjid dan pegawai masjid ialah mencari penerima-penerima sumbangan, khususnya golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Hal ini amat penting kerana membantu manusia adalah satu ibadat yang amat diambil berat oleh Rasulullah s.a.w. Dalam sebuah hadits diceritakan, seorang lelaki bertemu Nabi s.a.w dan berkata:

يَا رَسُولَ الله ، أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَى الله ؟ وَأَيُّ الْأَعْمَالِ أَحَبُّ إِلَى الله ؟ فَقَالَ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم : أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللهِ تَعَالَى أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ ، وَأَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللهِ سُرُورٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمِ ، أَوْ تَكْشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً ، أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا ، أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوْعًا ، وَلَأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخِ فِي حَاجَةٍ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ ، يَعْنِيْ مَسْجِدَ الْمَدِيْنَةِ شَهْرًا.


Maksudnya: "Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang paling disukai Allah? Dan amalan apa yang paling disukai Allah? Nabi s.a.w menjawab; Orang yang paling disukai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seorang muslim, atau engkau angkat kesusahan yang menimpanya, atau engkau langsaikan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya. Berjalan bersama saudaraku untuk suatu urusannya lebih aku sukai daripada dapat ber'iktikaf di masjid ini selama sebulan". (Hadits riwayat At-Tabrani)

Hadirin yang dirahmati Allah,

Dalam tempoh PKPB, masjid-masjid di dalam zon kuning dan hijau dianjurkan untuk meneruskan kuliah-kuliah pengajian sebagaimana yang dibenarkan. Walau bagaimana pun, kepada masjid-masjid di dalam zon merah, manfaatkanlah aplikasi-aplikasi perhubungan seperti Whatsapp, Facebook, dan YouTube untuk menyampaikan ilmu kepada orang ramai. Sebagai contoh, Masjid Negeri Perak tetap meneruskan Program Sijil Pengajian Masjid (SPM) secara atas talian, agar selari dengan pembudayaan norma baharu.

Marilah kia sama-sama menanamkan tekad dan azam dalam diri, untuk sentiasa mengimarahkan masjid. Lebih-lebih lagi kepada ahli jawatankuasa dan para pegawai masjid atau surau. Jangan kita hanya mengejar jawatan tetapi apabila sudah berjawatan kita tidak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengimarah masjid dengan penuh amanah.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Mimbar berpesan agar para jamaah terus bersabar mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha membendung penularan Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment