Thursday, November 12, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 27 RABI'UL AWAL 1442 / 13 NOVEMBER 2020

 KETAGIHAN GAJET: ANTARA MANFAAT DAN MUDARAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ ﴿٨﴾


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah, yakni dengan istiqamah melaksanakan perintah-Nya, dan bermujahadah menjauhi segala larangannya. Mudah-mudahan kita mendapat rahmat dan keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Sebelum meneruskan khutbah, khatib ingin berpesan kepada sidang jamaah agar menumpukan perhatian danjangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak menjadi sia-sia. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Ketagihan Gajet: Antara Manfaat dan Mudarat".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kita hidup di zaman sains dan tenologi. Pelbagai alat yang canggih telah dicipta untuk memudahkan urusan manusia. Salah satu daripadanya adalah penciptaan gajet, seperti telefon pintar, internet, komputer, tablet dan sebagainya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Gajet mempunyai banyak pengaruh ke atas manusia, sama ada berbentuk manfaat ataupun mudarat. Kesannya tidak hanya kepada individu, malah turut menimpa keluarga dan masyarakat. Dalam hal ini, kita perlulah merujuk Al-Quran dan Hadits Nabi s.a.w, agar cara kita menggunakan gajet tidak menyalahi petunjuk wahyu. Firman Allah s.w.t dalam Al-Quran:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ﴿٥٦﴾


Maksudnya: "Dan (ingatlah), Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku". (Surah Az-Zariyat ayat 56)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Antara manfaat gajet yang utama ialah memudahkan perhubungan manusia. Dengan gajet, kita dapat menyuburkan tali silaturrahim di antara ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai. Masing-masing boleh bertanya khabar, walaupun terpisah oleh jarak dan masa.

Selain itu, gajet juga memudahkan kita mencari ilmu dan bertukar maklumat. Dengan kewujudan facebook, twitter, whatsapp dan lain-lain, dunia seakan-akan di hujung jari kita. Pelbagai berita dan peristiwa yang berlaku di seluruh dunia, dapat kita ketahui dengan mudah dan cepat. Lebih-lebih lagi pada waktu ini, kita sedang diuji dengan wabak Covid-19. Sebahagian urusan kerja dan pembelajaran terpaksa dilakukan secara dalam talian. Pada waktu inilah fungsi gajet amat diperlukan, sebagai alternatif untuk mencari ilmu dan mendapatkan berita.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Walaupun pelbagai gajet telah dicipta untuk mendekatkan yang jauh, namun terdapat pula isu ia telah menjauhkan yang dekat. Inilah mudarat yang pertama, akibat ketagihan gajet.

Kita semakin kurang berkata-kata. Akibatnya, hubungan dalam rumah tangga mula hilang kemesraan. Ada suami isteri yang berada di tempat yang sama. Mereka gembira dan ketawa, tetapi bukan bersama pasangan. Sebaliknya kerana terhibur menatap skrin di gajet masing-masing. Lihat pula meja sebuah keluarga di kedai makan. Ibu bapa dan anak-anak sudah tidak berbual. Lidah mereka diam, hanya tangan yang ligat berkata-kata di media sosial. Masing-masing tenggelam melayari facebook, whatsapp dan lain-lain.

Kedua, ketagihan gajet akan merugikan waktu seseorang, sehingga mengabaikan tanggungjawab bekerja dan menuntut ilmu. Lebih buruk lagi, gajet menjadi pintu kepada dosa dan maksiat, contohnya melihat perkara-perkara yang haram, curang kepada pasangan, atau ke tahap melalaikan seruan ibadat, seperti melambat-lambatkan atau meninggalkan solat. 

Ketiga, gajet juga boleh menyebabkan kemalangan jalanraya jika digunakan semasa memandu. Bukan sedikit kerugian yang ditanggung akibat kecuaian, dan lebih menyedihkan jika nyawa menjadi korban, Keempat, gajet juga kerap menjadi alat penyebaran berita palsu, hadits palsu, fitnah-memfitnah, buli siber dan sebagainya.

Itulah di antara mudarat yang akan berlaku, jika kita menggunakan gajet secara berlebihan dan tanpa kawalan. Manfaatnya akan hilang, lalu memudaratkan individu, hubungan keluarga, dan seterusnya kehidupan bermasyarakat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah kita sama-sama bermuhasabah diri. Nilai semula cara kita menggunakan gajet dalam kehidupan. Kawal dan hadkan masa dengan gajet. Tetapkan beberapa peraturan, seperti berhenti bermain gajet ketika makan dan berbual dengan orang lain. Kepada ibu bapa, periksa gajet anak-anak kita secara berkala. Pastikan ahli keluarga kita tidak terjebak dengan gejala negatif yang merosakkan. Marilah sama-sama kita hayati firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran:

ثُمَّ لَتُسْأَلُنَّ يَوْمَئِذٍ عَنِ النَّعِيمِ ﴿٨﴾


Maksudnya: "Sesudahnya pada hari itu, kamu pasti akan ditanya tentang segala nikmat (yang kamu nikmati dahulu)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Mimbar berpesan agar para jamaah terus bersabar mematuhi SOP yang telah ditetapkan. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha membendung penularan Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment