Thursday, November 26, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 11 RABI'UL AKHIR 1442 / 27 NOVEMBER 2020

 KITA JAGA KELUARGA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾ (Surah At-Tahrim ayat 6)


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan melaksanakan perintah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya di dunia dan akhirat. Bersempena dengan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini, mimbar akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Kita Jaga Keluarga".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Keluarga merupakan institusi sosial yang paling kecil tetapi mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat. Keluarga yang sejahtera akan melahirkan masyarakat dan negara yang makmur lagi sentosa. Oleh itu, Islam amat mengambil berat soal pembentukan keluarga yang bahagia dan sejahtera, baik di dunia mahupun di akhirat. Firman Allah dalam Surat At-Tahrim ayat 6 tadi yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala). Neraka itu dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya). Mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala perintah-Nya (bahkan) mereka sentiasa melakukan segala yang diperintahkan".

Al-Imam As-Syaukani menjelaskan dalam kitab Fathil Qodir, bahawa menjaga keluarga adalah dengan menyuruh mereka untuk ingat pada Allah, dan melarang mereka membuat maksiat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Malaysia khasnya dan dunia amnya masih belum selamat daripada ancaman Covid-19. Sehingga 23 November 2020, sebanyak 56,659 kes telah disahkan dengan 337 kes kematian. Adalah menjadi tanggungjawab bersama setiap ahli keluarga untuk membendung penularan penyakit ini, di samping menjaga kesihatan ahli keluarga daripada perkara yang mendatangkan kemudaratan. Kerajaan telah mengeluarkan beberapa nasihat dan arahan dalam mengambil langkah pencegahan penyakit berjangkit, termasuk larangan berhimpun di satu-satu tempat dalam kumpulan yang ramai. Nabi s.a.w bersabda:

لَا يُورِدَنَّ مُمْرِضٌ عَلَى مُصِحٍّ


Maksudnya: "Yang sakit janganlah mendatangi yang sihat". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari no. 5771)

Pantaulah keluarga kalian, jangan bawa mereka keluar rumah melainkan jika betul-betul perlu. Sentiasa jarakkan diri 1 meter dari orang lain dalam semua keadaan. Elakkan dari berada di tempat sesak dan berisiko. Sabda baginda s.a.w:

إِذَا سَمِعْتُمْ بِالطَّاعُونِ بِأَرْضٍ فَلَا تَدْخُلُوهَا وَإِذَا وَقَعَ بِأَرْضٍ وَأَنْتُمْ بِهَا فَلَا تَخْرُجُوا مِنْهَا


Maksudnya: "Sekiranya kamu mendengar tentang wabak di sesuatu tempat , maka janganlah kamu masuk. Dan sekiranya kamu sudah berada dalam kawasan tersebut, maka janganlah kamu keluar darinya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari no. 5728)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pesanlah kepada keluarga kita agar selalu menjaga kebersihan. Basuh tangan dengan kerap, terutamanya apabila balik ke rumah. Ingatlah bahawa:

الطُّهُورُ شَطْرُ الْإِيمَانِ


Maksudnya: "Bersuci itu adalah sebahagian daripada iman". (Hadits riwayat Imam Muslim no. 223)

Ajarlah mereka zikir yang Nabi s.a.w pesan di dalam hadits yang bermaksud: "Barangsiapa yang membaca - بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ - sebanyak tiga kali (pada waktu pagi dan petang), maka dia tidak akan ditimpa sebarang bala secara mengejut...". (Hadits riwayat Abi Daud no. 5088)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Segelintir masyarakat mengambil sikap sambil lewa dalam menangani penularan wabak ini, bahkan ada yang menganggap ianya sebuah konspirasi. Ingatlah! Belum kena belum tahu, sudah kena baru tahu. Adakah saat sudah terhantuk, baru kita tengadah?

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah sama-sama kita menghayati tujuan sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan pada tahun ini, iaitu:

Pertama: Memupuk hubungan kekeluargaan dan sokongan sosial yang tinggi bagi membantu keluarga kekal sejahtera semasa atau selepas PKP.

Kedua: Meningkatkan komitmen dan penyertaan pebagai pihak untuk membantu institusi keluarga yang terjejas dalam menghadapi cabaran semasa.

Ketiga: Menanam nilai-nilai murni ahli keluarga melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

... وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ ... ﴿٢﴾


Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Mimbar berpesan agar kita sama-sama mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka. Marilah kita sama-sama berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha memutuskan jangkitan Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment