Thursday, January 7, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 24 JAMADIL AWAL 1442 / 8 JANUARI 2021

 JANGAN TERPENGARUH DENGAN GOLONGAN YANG MENYELEWENG

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ ٱلرَّحْمَةِ وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan di dunia dan akhirat adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Seterusnya marilah kita mendengar pesanan Rasulullah s.a.w:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ مَنْ قَبْلَكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ. قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى ؟ قَالَ فَمَنْ ؟


(Maksudnya): Daripada Abi Sa'ied r.a, bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda; Kamu akan terikut-ikut mereka yang sebelum kamu itu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta (sedikit demi sedikit) sehingga mereka masuk ke dalam lubang biawak kamu ikut sama. Lalu para sahabat bertanya; Wahai Rasulullah, adakah Yahudi dan Nasrani? Jawab Rasulullah s.a.w; Maka siapakah lagi?"

Ini adalah satu wasiat atau pesanan yang penting daripada Nabi s.a.w kepada umatnya mengenai perkara yang akan berlaku di akhir zaman setelah kewafatannya, walaupun semua perkara itu dalam ilmu Allah s.w.t. Namun Allah s.w.t memberitahu kepada Nabi s.a.w untuk mengingatkan umatnya supaya jangan terpengaruh dengan umat nabi-nabi zaman dahulu yang telah menyeleweng, lupa daratan, sesat, terpesong daripada petunjuk Allah yang dibawa oleh nabi masing-masing.

Apabila 'Umar bin Al-Khattab r.a tertarik mendengar cerita orang-orang yahudi Bani Israel yang hidup bersama masyarakat majmuk di Madinah walaupun sebahagian mereka telah masuk Islam menjadi sahabat Nabi s.a.w, mereka membawa cerita yang mereka baca di dalam kitab-kitab mereka. Cerita umat di zaman dahulu cerita yang menarik. Lalu 'Umar r.a meminta izin untuk menyalin atau menulis cerita itu, Nabi s.a.w bersabda dengan marah:

"Adakah kamu mengada-ngada? Tidak cukup lagi dengan ajaran yang aku bawa (ajaran Islam) yang diterima daripada Allah?"

Contoh peribadi yang ditunjuk oleh Nabi s.a.w yang dilantik oleh Allah s.w.t dipilih menjadi Rasulullah di akhir zaman secara langsung terus menerus dididik oleh Allah s.w.t, dimatikan ayah dan ibunya, dimatikan orang-orang yang menjaganya, dengan hikmah supaya pendidikan Nabi secara langsung daripada Allah s.w.t. Diberi kepadanya mukjizat ilmu Al-Quranul Karim, berbeza dengan mukjizat nabi-nabi di zaman dahulu dengan perkara yang pelik yang luar biasa yang tidak boleh dilawan; zaman Nabi Nuh a.s dengan taufan yang menenggelamkan semua, Nabi Ibrahim a.s dibakar tidak hangus dalam api yang besar, Nabi Musa a.s dengan tongkat menjadi ular yang besar menelan sihir-sihir Fir'aun, Nabi Sulaiman a.s memerintah kerajaan yang paling besar yang tidak pernah berlaku di dalam sejarah dunia, memerintah manusia, jin dan binatang, termasuk burung yang terbang di udara yang tidak mungkin dikawal, Nabi 'Isa a.s menghidupkan orang yang sudah mati dan menyembuhkan penyakit yang tidak mungkin diubati oleh ilmu perubatan. Adapun mukjizat Nabi Muhammad s.a.w adalah Al-Quranul Karim, mukjizat ilmu yang ditegaskan oleh Allah s.w.t:

وَإِن كُنتُمْ فِي رَيْبٍ مِّمَّا نَزَّلْنَا عَلَىٰ عَبْدِنَا فَأْتُوا بِسُورَةٍ مِّن مِّثْلِهِ وَادْعُوا شُهَدَاءَكُم مِّن دُونِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ ﴿٢٣﴾ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا وَلَن تَفْعَلُوا فَاتَّقُوا النَّارَ الَّتِي وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ ۖ أُعِدَّتْ لِلْكَافِرِينَ ﴿٢٤﴾ [سورة البقرة : ٢٣ - ٢٤]


(Maksudnya): Dan jika kamu (tetap) dalam keraguan tentang Al-Quran yang Kami wahyukan kepada hamba kami (Muhammad), buatlah satu surah (sahaja) yang sama dengan Al-Quran itu, dan ajaklah penolong-penolong kamu selain Allah, jika kamu orang-orang yang benar. Maka jika kamu tidak dapat membuatnya, dan pasti kamu tidak akan dapat membuatnya, peliharalah dirimu dari api neraka yang bahan bakarnya: manusia dan batu, yang disediakan bagi orang-orang kafir.

Allah s.w.t telah melahirkan pemimpin-pemimpin, ulamak-ulamak dan ilmuan daripada sahabat radiAllahu 'anhum dan para tabi'ien serta mereka yang kemudian daripadanya dengan berbagai-bagai ilmu; ilmu agama dan ilmu dunia. Bukannya umat Islam tidak boleh mengambil ilmu dunia daripada orang lain. Bahkan telah berlaku gerakan penterjemahan di zaman mutaakhir mengambil ilmu dunia daripada orang lain, tetapi ilmu dunia itu mesti diislamkan.

اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ ﴿١﴾ [سورة العلق : ١]


(Maksudnya): Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menjadikan (sekalian makhluk).

Ilmu dunia yang diislamkan dan manusia yang diislamkan.

Di masa akhir ini kita melihat berlaku amaran yang diberi oleh Nabi s.a.w, di mana terdapat dalam kalangan orang Islam yang menulis dalam buku-buku karangan, makalah-makalah yang disiarkan dan ucapan-ucapan yang diberi, berbangga dengan ahli-ahli falsafah dan pemikir bukan Islam dengan lupa kepada Al-Quran dan Hadits serta warisan ilmu yang ditinggalkan oleh para cendekiawan Islam yang tidak terkira banyaknya. Bukan kita tidak boleh membaca ilmu orang lain, tetapi yang menjadi masalahnya kita hanyut dan meninggalkan petunjuk Al-Quran serta berbangga dengan ilmu, cara kehidupan, budaya dan cara pergaulan orang lain.

Orang Islam menyambut tahun baharu seperti mereka, berhibur seperti mereka dan berleka seperti mereka. Akhirnya masuk ke dalam lubang biawak yang menenggelamkan di dunia sebelum ditenggelamkan dalam neraka di hari akhirat.

Kepada mereka yang telah hanyut dan leka, kita menyeru supaya kembali ke pangkal jalan, iaitu jalan yang ditinggalkan oleh Nabi kita Muhammad s.a.w.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ. 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ ﴿١٠٠﴾ [سورة آل عمران : ١٠٠]


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment