Friday, January 15, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 2 JAMADIL AKHIR 1442 / 15 JANUARI 2021

JANJI KEBERKATAN DARIPADA ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (di dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Seterusnya marilah kita mendengar janji Allah yang benar yang disebut dengan firman-Nya:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ ﴿٩٦﴾ [سورة الأعراف : ٩٦]


(Maksudnya): Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Demikianlah janji Allah s.w.t yang disampaikan oleh rasul-rasul yang dilantik daripada manusia sejak manusia yang pertama, Nabi Adam a.s sehingga hari kiamat. Sekiranya manusia itu bertaqwa kepada Allah s.w.t (takut kepada Allah dan ingat kepada Allah serta taat kepada perintah Allah), meninggalkan segala larangan-Nya dan melaksanakan hukum syariat-Nya, Allah s.w.t menjanjikan keberkatan yang banyaknya melimpah ruah yang turun dari langit dan keluar dari bumi seperti hujan-hujan rahmat yang menumbuhkan tanam-tanaman yang subur, menghasilkan berbagai-bagai galian keluar dari bumi; dalam perut bumi, di atas bumi, dari laut yang ada di muka bumi, rezeki yang melimpah ruah membawa kebaikan kepada manusia, menyihatkan tubuh badan, membina kekuatan mereka bagi mengerjakan amal yang soleh untuk beribadat kepada Allah s.w.t dan memakmurkan bumi dengan perintah Allah s.w.t.

Tetapi ramai manusia yang tidak bersyukur dengan nikmat Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya:

... وَقَلِيلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ ﴿١٣﴾ [سورة سباء : ١٣]


(Maksudnya): Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur.

Allah s.w.t menimpakan azab kepada mereka yang kufur itu walaupun mereka itu adalah kuasa-kuasa besar dunia. Disebut di dalam lipatan sejarah kaum 'Ad, kaum Tsamud. kaum Fir'aun, negara besar China, India dan sebagainya, tetapi apabila kufur terhadap nikmat Allah s.w.t, semua kaum itu telah ditimpa bala bencana dan dibinasakan oleh Allah s.w.t.

Sehinggalah kita berada di zaman rasul akhir zaman, Muhammad s.a.w, dikurniakan rahmat kepada seluruh manusia dengan mukjizat ilmu Al-Quranul Karim dengan petunjuk-Nya. Di peringkat awal ketika manusia beramal dengan Islam, dunia dimakmurkan dengan berkat daripada Allah s.w.t, rezeki yang melimpah ruah, dikurniakan ilmu kemajuan, sains dan teknologi, menciptakan, alat-alat yang canggih, alat-alat yang menyegerakan kemahuan dan kehendak mereka dalam masa yang cepat sama ada hendak pergi ke mana-mana atau mendapat hasil apa-apa sahaja. Tiba-tiba manusia merosakkan dunia ini dengan meninggalkan syariat Allah s.w.t.

Kita sedang menghadapi manusia yang ditimpa wabak bencana di seluruh dunia, bukan satu kampung sahaja. Bukan sahaja bencana alam seperti gempa bumi, banjir, kemarau dan ribut taufan yang melanda kehidupan manusia di seluruh dunia dan musim yang tidak menentu yang menyusahkan kehidupan manusia.

Kita menyaksikan Islam dihina dan dipermain-mainkan di zaman ini, petunjuk Allah s.w.t ditinggalkan, bahkan dihina, sehingga segala yang bernama Islam dianggap jahat, ganas buruk, jijik dan keji. Ramai yang malu hendak menunjukkan Islamnya serta cara hidup dan amalan Islamnya. Sedikit sahaja kesalahan yang dilakukan oleh orang yang bernama Islam, akan dibesar-besarkan oleh media. Titik yang kecil dijadikan bukit yang besar. Sementara kesalahan orang lain yang besar diperkecil dan bahkan ditutup.

Kita menghadapi zaman Islam dalam keadaan dagang yang disebut oleh Nabi s.a.w:

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ. [رواه مسلم]


(Maksudnya): Islam bermula dengan keadaan dagang (asing), dan akan kembali dagang seperti mulanya, maka beruntunglah orang-orang yang dagang (bersama Islam).

Islam dimulakan dalam keadaan dihina di zaman Rasulullah s.a.w, dikepung oleh orang-orang musyrikin Makkah, kabilah-kabilah Arab yang merupakan bangsa yang sama dengan Rasulullah s.a.w. Mereka menolak Al-Quran yang diturunkan dalam bahasa mereka sendiri. Akhirnya mereka dikalahkan oleh Islam dan mereka beramal dengan Islam. Kuasa-kuasa besar yang mahu menjatuhkan dunia jatuh dan tumbang satu demi satu. Islam memerintah dunia dalam tempoh beberapa abad. Berlaku kemajuan dunia yang hebat dengan ilmu yang dikaji oleh orang-orang Islam dimanfaatkan oleh seluruh dunia yang maju pada hari ini adalah hasil ilmu kajian orang Islam.

Tetapi petunjuk Islam dikhianati, ilmu yang memberi manfaat menjadi ilmu yang merosak dan menjahannamkan kehidupan manusia yang memudahkan untuk mengerjakan maksiat. Islam dihina, tetapi percayalah, Islam adalah cahaya Allah s.w.t yang tidak boleh dipadamkan sekali-kali seperti mereka tidak boleh memadamkan cahaya matahari dan bulan di langit. Hanya mereka yang bersama dengan Islam sahaja yang akan selamat, sementara yang tidak bersama dengan Islam akan musnah dan hancur; celaka di dunia dan neraka di hari akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٢٠٠﴾ [سورة آل عمران : ٢٠٠]


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, (di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment