Thursday, January 14, 2021

KHUTBAH JUMAAT - 2 JAMADIL AKHIR 1442 / 15 JANUARI 2021

 AMALAN TOLONG MENOLONG

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠﴾ (Surah Ali-'Imran ayat 110)


أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Amalan Tolong Menolong".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Lumrah kehidupan manusia saling memerlukan antara satu sama lain. Apatah lagi manusia itu dijadikan berpuak, berbangsa dan bermasyarakat sebagaimana yang disebut oleh Ibnu Khaldun di dalam kitabnya:

الْإِنْسَانُ مَدَنِيٌ بِالطَّبْعِ


Maksudnya: "Manusia tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan bermasyarakat".

Masyarakat yang teguh dan harmoni ialah masyarakat yang mengamalkan sikap tolong menolong antara satu sama lain.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Ajaran Islam telah menetapkan bahawa sikap tolong menolong adalah suatu perkara yang sangat-sangat dituntut. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Maidah ayat 2:

...وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ﴿٢﴾


Maksudnya: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)".

Kadangkala terdapat di kalangan kita tidak mengambil peduli terhadap saudara-saudara kita yang memerlukan bantuan pertolongan sedangkan Nabi s.a.w bersabda:

... مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ ...


Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan orang Islam, maka dia bukanlah daripada kalangan mereka". (Hadits riwayat At-Tabrani)

Sabda Nabi s.a.w lagi:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ، إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ، تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.


Maksudnya: "Perumpamaan seseorang mukmin sesama mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya)". (Hadits riwayat Muslim)

Maknanya jika seorang daripada kalangan kita mendapat kesusahan, ahli-ahli masyarakat yang lain juga turut merasa dan menghadapi kesusahan tersebut.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Rasulullah s.a.w menjelaskan kelebihan menolong orang lain dengan begitu banyak sekali. Antaranya hadits:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ.


Maksudnya: "Sesiapa yang menyelesaikan kesulitan seorang mukmin dari berbagai kesulitan-kesulitan dunia, nescaya Allah akan memudahkan kesulitan-kesulitannya di hari kiamat. Dan sesiapa yang memudahkan orang yang sedang kesusahan, nescaya akan Allah memudahkan baginya dunia dan akhirat. Dan sesiapa yang menutupi ('aib) seorang muslim, Allah akan menutup 'aibnya di dunia dan akhirat. Dan Allah selalu menolong hamba-Nya, selama hamba-Nya menolong saudaranya". (Hadits riwayat Muslim)

Pernah satu ketika Rasulullah s.a.w ditanya oleh sahabat: "Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling dicintai Allah dan apakah amalan yang paling disukai Allah?" Rasulullah s.a.w menjawab:

أَحَبُّ النَّاسِ إِلَى اللهِ أَنْفَعُهُمْ لِلنَّاسِ، وَأَحَبُّ الْأَعْمَالِ إِلَى اللهِ سُرُوْرٌ تُدْخِلُهُ عَلَى مُسْلِمٍ، أَوْ تَكْشِفُ عَنْهُ كُرْبَةً، أَوْ تَقْضِي عَنْهُ دَيْنًا، أَوْ تَطْرُدُ عَنْهُ جُوْعًا، وَلَأَنْ أَمْشِيَ مَعَ أَخٍ لِي فِي حَاجَةً؛ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ أَنْ أَعْتَكِفَ فِي هَذَا الْمَسْجِدِ ، يَعْنِي مَسْجِدَ الْمَدِينَةِ، شَهْرًا...


Maksudnya: "Orang yang paling dicintai Allah ialah orang yang paling bermanfaat kepada orang lain. Amalan yang paling disukai Allah ialah kegembiraan yang engkau hadirkan buat seorang muslim, atau engkau angkat kesusahan yang menimpanya, atau engkau langsaikan hutangnya, atau engkau hilangkan kelaparannya. Dan sesungguhnya aku berjalan bersama saudaraku untuk (menunaikan) satu hajat, lebih aku sukai daripada aku ber'iktikaf di masjid ini iaitu Masjid Madinah (Masjid Nabawi) selama sebulan". (Hadits riwayat At-Tabrani)

Hadirin yang dirahmati Allah,

Mutaakhir ini beberapa negeri di Malaysia digemparkan dengan musibah banjir besar. Negeri kita juga tidak terlepas daripada berdepan dengan kejadian bencana alam ini. Begitu ramai mangsa yang terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit ekoran banyak berlaku kerosakan akibat banjir yang melanda rumah mereka. Mimbar menyeru para jamaah dan umat Islam sekalian, marilah kita turut serta dalam misi membantu mangsa banjir. Keperluan membantu dan menolong mereka bukan sekadar terletak di bahu agensi-agensi tertentu, namun ia adalah tanggungjawab kita bersama. Antara pertolongan yang boleh kita lakukan ialah:

Pertama, memberi sumbangan kewangan atau barang keperluan seperti pakaian, makanan dan ubatan.

Kedua, bantuan kudrat dan tenaga. Ringankan tulang menjadi sukarelawan yang menyediakan barang sumbangan.

Ketiga, banyakkan istighfar, berdoa dan solat hajat. Mohon bantuan daripada Allah setiap masa khusus untuk saudara kita yang berada di dalam kesusahan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar sekali lagi mengajak para jamaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita menjadi masyarakat yang prihatin dengan sentiasa mengamalkan sikap tolong menolong sesama kita, kerana inilah salah satu daripada acuan Islam yang mencorakkan kehidupan seorang muslim sejati. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 138:

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ ﴿١٣٨﴾


Maksudnya: "(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: "Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): acuan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik acuannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nya sahajalah kami beribadat".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap teguh berpegang kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah.

Mimbar juga berpesan agar kita sama-sama mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka. Marilah kita sama-sama berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha memutuskan jangkitan Covid-19.

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan kurniakanlah rezeki yang berlipat ganda kepada para pewakaf serta sucikanlah harta dan jiwa mereka, lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kekufuran dan kefakiran yang berpanjangan. 

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment