Friday, September 25, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 7 SAFAR 1442 / 25 SEPTEMBER 2020

 JANGAN TERPENGARUH DENGAN ARAB YANG MELANGGAR AMARAN ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَى عَبْدِهِ الْكِتَابَ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِيْنَ نَذِيْرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.


Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita merenung satu hadits Rasulullah s.a.w:

عَنْ أُمِّ الْمُؤْمِنِينَ أُمِّ الْحَكَمِ زَيْنَبَ بِنْتِ جَحْشٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ دَخَلَ عَلَيْهَا فَزِعًا يَقُولُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ، وَيْلٌ لِلْعَرَبِ مِنْ شَرٍّ قَدْ اقْتَرَبَ، فُتِحَ الْيَوْمَ مِنْ رَدْمِ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مِثْلُ هَذِهِ، وَحَلَّقَ بِإِصْبَعِهِ الْإِبْهَامِ وَالَّتِي تَلِيهَا، فَقَالَتْ زَيْنَبُ، فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنَهْلِكُ وَفِينَا الصَّالِحُونَ؟ قَالَ نَعَمْ إِذَا كَثُرَ الْخَبَثُ. [متَّفقٌ عليه]


(Maksudnya): Daripada Ummul Mukminin Zainab Jahsyi radiAllahu 'anha, bahawa Nabi s.a.w masuk dalam keadaan gementar dan berkata: "Tidak ada Tuhan melainkan Allah, celakalah orang-orang Arab daripada kejahatan yang hampir tiba. Hari ini telah terbuka sebahagian tembok Yakjuj dan Makjuj seperti ini", sambil baginda mengisyaratkan bulatan pada ibu jari dengan jari telunjuknya. Zainab berkata: Aku bertanya, "Wahai Rasulullah s.a.w, adakah kami akan binasa sedangkan di sisi kami ada orang-orang yang soleh?" Jawab baginda s.a.w: "Ya, jika sekiranya banyak kejahatan".

Bencana akan menimpa umat Islam, khususnya orang Arab sendiri, bangsa Nabi s.a.w, di mana Al-Quran diturunkan dengan bahasa mereka, apabila mereka meninggalkan petunjuk Al-Quran, melakukan dosa dan maksiat, serta apabila lemahnya kewajipan menunaikan amar ma'aruf nahi mungkar (menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran) diabaikan oleh orang-orang Islam.

Di dalam hadits yang lain, Rasulullah s.a.w memberi amaran:

لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنْ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلَا يُسْتَجَابُ لَكُمْ. [رواه الترمذي]


(Maksudnya): Suruhlah berbuat kebaikan dan cegahlah daripada kemungkaran, atau jika tidak nescaya seksaan Allah boleh jadi akan menimpa kamu. Kemudian kamu memohon kepada Allah agar seksaan itu dihentikan, maka permohonan kamu tidak diterima lagi.

Kita menyaksikan, Allah memberi kemuliaan kepada bangsa Arab yang hidup di padang pasir, negeri yang kering kontang yang tidak ada hasil; kehidupannya hanya memelihara binatang. Apabila mereka menganut Islam, mengikut petunjuk yang dibawa oleh rasul akhir zaman, Muhammad s.a.w, Allah memberi kemuliaan kepada mereka sehingga berjaya menegakkan negara yang besar dan kuat, menyampaikan risalah Islam kepada bangsa-bangsa yang lain, sehingga berjaya mengalahkan kuasa besar Parsi dan Rom. Mereka dimuliakan oleh Allah s.w.t sehingga mereka diberi kelebihan membebaskan Baitul Maqdis, tanah suci yang diberkati oleh Allah daripada penaklukan orang-orang yang bukan Islam.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١﴾ [سورة الإسراء : ١]


(Maksudnya): Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjidil Aqsa (di Baitul Maqdis), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.

Diberi kemuliaan kepada orang Arab untuk menghalau Rom Baizantin yang zalim dengan pertolongan Allah s.w.t, apabila paderi besar Baitul Maqdis mensyaratkan untuk menyerahkan Baitul Maqdis dengan kehadiran khalifah Islam Amirul Mukminin 'Umar ibnul Khattab r.a. Datanglah khalifah 'Umar untuk menerima penyerahan itu. Lalu menyampaikan ucapan kepada umat Islam yang ada dengan menegaskan:

نَحْنُ قَوْمٌ أَعَزَّنَا اللَّهُ بِالْإِسْلَامِ، وَمَهْمَا نَبْتَغِ الْعِزَّةَ بِغَيْرِهِ أَذَلَّنَا اللَّهُ.


(Maksudnya): Kita adalah umat yang diberi kemuliaan oleh Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain daripadanya nescaya kita menerima penghinaan daripada Allah.

Benar apa yang telah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w apabila orang-orang Arab lemah berpegang dengan ajaran Islam dan meninggalkan mengaji atau belajar Islam, Allah melahirkan ulamak-ulamak besar dan imam-imam yang besar bukan daripada bangsa Arab, yang memelihara ilmu Islam. Allah menggantikan kaum lain mengambil alih memimpin Islam. Orang Arab tidak lagi memimpin Islam.

إِلَّا تَنفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا ۗ وَاللَّهُ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿٣٩﴾ [سورة التوبة : ٣٩]


(Maksudnya): Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah membela agama-Nya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya dan Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepada-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Apabila tiada kaum yang berpegang dengan Islam, maka umat Islam seluruhnya dijajah oleh musuh-musuh Islam, tanahair mereka ditakluk, dipecah-pecah dan dibahagi-bahagikan dalam kalangan bangsa penjajah, walaupun mereka tidak berjaya memadamkan cahaya Islam.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [سورة الصّف : ٨]


(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan sekali-kali sehingga hari kiamat. Tetapi orang Islam berada dalam keadaan yang lemah, khususnya orang-orang Arab yang diberi kekayaan hasil minyak dan gas, emas di zaman ini, dengan kekayaan yang melimpah ruah. Dengan kekayaan sahaja mereka tidak mampu bangkit sebagai umat yang kuat, bahkan menjadi lebih punah dan rosak apabila hari ini mereka melawan amaran Allah s.w.t.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَىٰ أَوْلِيَاءَ ۘ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ وَمَن يَتَوَلَّهُم مِّنكُمْ فَإِنَّهُ مِنْهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ ﴿٥١﴾ [سورة المائدة : ٥١]


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai wali (teman rapat), kerana setengah mereka menjadi wali  kepada setengahnya yang lain; dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka walinya, maka sesungguhnya ia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim. 

Setelah tanahair umat Islam dijajah sehingga Masjidil Aqsa yang diberkati oleh Allah dikuasai oleh orang-orang Yahudi yang laknat oleh Allah, kaum yang paling dimurkai oleh Allah yang diucapkan oleh umat Islam pada tiap-tiap rakaat sembahyang:

...غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ... [سورة الفاتحة : ٧]


(Maksudnya): Bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai ke atas mereka (iaitu orang-orang Yahudi).

Tiba-tiba hari ini ada kalangan pemimpin-pemimpin negara Arab yang mengadakan hubungan secara tabi'ie (secara halal dan sah) dengan orang-orang Yahudi yang menakluk Baitul Maqdis yang mengepung Masjidil Aqsa dan sedang merancang untuk merobohkannya.

Percayalah mereka yang tidak patuh kepada amaran Allah ini akan menerima kebinasaan. Walaupun dengan alasan dan hujjah untuk mendapat perlindungan daripada orang-orang Yahudi dan Nasrani itu, seolah-olah lupa akan kekuasaan Allah s.w.t yang kekal selama-lamanya. Semua kuasa besar dunia itu akan jatuh merudum. Sesiapa yang berlindung di sebalik kuasa besar yang merudum itu, laksana berlindung di belakang tembok yang akan runtuh dan rebah, akan dihempap dan ditimpanya.

Marilah kita sedar dan insaf terhadap amaran Allah s.w.t, apa yang dilakukan oleh setengah-setengah orang Arab pada hari ini jangan sampai mempengaruhi kita walaupun mereka berbahasa Al-Quran dan sebangsa dengan Nabi s.a.w. Dengarlah firman Allah Ta'ala:

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم ﴿٣٨﴾ [سورة محمد : ٣٨]


(Maksudnya): Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berjuang) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment