Thursday, October 1, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 14 SAFAR 1442 / 2 OKTOBER 2020

 KELEBIHAN MENUNTUT ILMU

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قِيلَ لَكُمْ تَفَسَّحُوا فِي الْمَجَالِسِ فَافْسَحُوا يَفْسَحِ اللَّهُ لَكُمْ ۖ وَإِذَا قِيلَ انشُزُوا فَانشُزُوا يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.


أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, yakni dengan istiqamah mentaati perintah-Nya, dan sabar menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan berjaya tidak hanya di dunia, malah berjaya juga di akhirat kelak. Mumbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Kelebihan Menuntut Ilmu".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Ilmu agama ialah ilmu-ilmu yang dipelajari untuk memahami ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, merangkumi akidah, syariat dan tasawwuf. Tanpa ilmu, seseorang berada dalam kerugian meskipun mempunyai kedudukan yang tinggi, harta yang banyak atau usia yang panjang. Inilah ilmu yang dimaksudkan oleh Al-Quran:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ ۚ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١١﴾


Maksudnya: "... Supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan". (Surah Al-Mujadalah ayat 11)

Dalam pada itu, Islam tidak menolak ilmu-ilmu dalam bidang yang lain, kerana ia juga mempunyai kepentingan tersendiri dan dapat memberikan banyak manfaat kepada kehidupan manusia. Al-Imam An-Nawawi berkata:

وَأَمَّا مَا لَيْسَ عِلْمًا شَرْعِيًّا وَيُحْتَاجُ إِلَيْهِ فِي قِوَاْمِ أَمْرِ الدُّنْيَا كَالطِّبِّ وَالْحِسَابِ، فَفَرْضُ كِفَايَةٍ أَيْضًا


Maksudnya: "Adapun ilmu selain ilmu syarak, dan diperlukan untuk menguruskan urusan dunia seperti ilmu perubatan dan ilmu perhitungan, maka ia adalah fardu kifayah". (Majmuk Syarah al-Muhazzab: Halaman 26 Jilid 1)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Orang yang menuntut ilmu dijanjikan pelbagai kelebihan, antaranya:

(1) Darjat orang yang berilmu jauh mengatasi ahli ibadat. Nabi s.a.w bersabda:

وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ


Maksudnya: "Sesungguhnya keutamaan orang yang berilmu atas ahli ibadat, adalah seperti keutamaan bulan pada malam purnama atas seluruh bintang". (Hadits riwayat Imam Abi Daud no. 3641)

(2) Mendapat kemudahan perjalanan menuju ke syurga. Nabi s.a.w bersabda:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ


Maksudnya:  "Sesiapa yang menempuh jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga". (Hadits riwayat Imam Termidzi no. 2646)

(3) Didoakan oleh malaikat dan seluruh penduduk langit dan bumi. Nabi s.a.w bersabda:

إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ وَأَهْلَ السَّمَوَاتِ وَالْأَرَضِينَ حَتَّى النَّمْلَةَ فِي جُحْرِهَا وَحَتَّى الْحُوتَ لَيُصَلُّونَ عَلَى مُعَلِّمِ النَّاسِ الْخَيْرَ


Maksudnya: "Sesungguhnya Allah, para malaikat, penghuni langit dan penghuni bumi, sehingga semua di dalam lubang dan ikan di lautan pasti mendoakan rahmat kepada orang yang mengajar kebaikan kepada manusia". (Hadits riwayat Imam Termidzi no. 2685)

Begitulah lebihnya ilmu sehingga para nabi tidak meninggalkan harta melainkan ilmu. Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadits:

وَ إِنَّ الْأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ


Maksudnya:  "Sesungguhnya para nabi tidak mewariskan wang dinar atau dirham. Sesungguhnya mereka hanya mewariskan ilmu pengetahuan". (Hadits riwayat Imam Termidzi no. 2682)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah kita mengubah sikap kita terhadap ilmu. Hormatilah para pendidik ilmu dan alim ulamak, jangan pernah berhenti menuntut ilmu, dan berkorbanlah apa sahaja, demi menghapuskan kejahilan diri sendiri, ahli keluarga dan masyarakat.

Mimbar juga menyeru, agar tuan-tuan dapat hadir ke majlis-majlis ilmu tidak kira di mana sahaja termasuk masjid dan surau, kerana mempelajari ilmu merupakan perkara yang dituntut sepanjang hayat. Tidak ada istilah terlambat, selagi hayat dikandung badan. Setiap orang Islam wajib berusaha mempelajari ilmu, terutamanya ilmu akidah, syariat dan tasawwuf tanpa menafikan ilmu-ilmu kehidupan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَبِهِ نَسْتَعِين عَلَى أُمُورُ الدُّنْيَا وَالدِّين. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Marilah sama-sama kita mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Peranan masjid tidak sekadar menjadi tempat solat semata-mata, tetapi juga berfungsi sebagai pusat penyebaran ilmu kepada masyarakat. Setiap masjid di negeri Perak perlulah menyuburkan budaya ilmu di qariah masing-masing. Bagi menyahut seruan ini, Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak) telah menganjurkan sebuah program yang diberi nama Sijil Pengajian Masjid (SPM). Ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat yang ingin mendalami ilmu fardu 'ain. Bagi sesiapa yang berminat, hadirlah beramai-ramai ke sesi pendaftaran program Sijil Pengajian Masjid, pada hari Sabtu - 3 Oktober 2020, jam 7:15 pagi, bertempat di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak).

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment