Thursday, October 15, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 28 SAFAR 1442 / 16 OKTOBER 2020

 SOLUSI ISLAM KEPADA MASALAH KEMISKINAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ ﴿١﴾ فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ ﴿٢﴾ وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ ﴿٣﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, yakni dengan istiqamah mentaati perintah-Nya, dan sabar menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan kita dapat hidup di dunia dengan sejahtera, dan di akhirat kelak kita berjaya dimasukkan ke dalam syurga. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Solusi Islam Kepada Masalah Kemiskinan".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Islam adalah agama sempurna, yang membawa rahmat ke seluruh alam. Islam tidak hanya mengajar manusia hidup bertuhan, bahkan lebih dari itu, Islam juga menawarkan jawapan dan penyelesaian kepada masalah kehidupan. Dalam dunia hari ini, ramai orang terkeliru memahami agama, sehingga timbul pelbagai masalah yang belum dapat diselesaikan. Salah satu daripadanya, adalah masalah kemiskinan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kemiskinan bukanlah semata-mata soal takdir yang menimpa seseorang, tetapi juga melibatkan faktor ekonomi, kekurangan sumber daya atau peluang kerjaya, dan melibatkan kesungguhan insan untuk berusaha memenuhi tuntutan hidupnya. Malah Islam juga memandang kemiskinan sebagai satu bentuk ancaman daripada syaitan, sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah ayat 268:

الشَّيْطَانُ يَعِدُكُمُ الْفَقْرَ وَيَأْمُرُكُم بِالْفَحْشَاءِ ۖ... ﴿٢٦٨﴾


Maksudnya: "Syaitan itu (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut)...".

Ayat ini membuktikan, Islam memandang serius masalah kemiskinan. Malah Nabi Muhammad s.a.w juga berpesan, agar kita meminta dijauhkan daripada kefakiran dan kekufuran. Sabda Nabi s.a.w:

... وَأَعُوذُ بِكَ مِنَ الْفَقْرِ وَالْكُفْرِ...


Maksudnya: "... Dan aku memohon perlindungan (Engkau ya Allah), daripada kefakiran dan kekufuran...". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai agama yang sempurna, Islam memiliki cara tersendiri untuk membasmi kemiskinan. Antaranya yang: 

Pertama, rajin berusaha dan bersungguh-sungguh. Umat Islam dituntut untuk bekerja keras melawan kemalasan dan bersungguh-sungguh menghilangkan kejahilan. Kita tidak boleh berdiam diri sahaja tanpa berusaha atau bekerja, kerana tugas menyara kehidupan adalah salah satu bentuk ibadah kepada Allah s.w.t.

Kedua, menanam sikap ambil peduli dan saling memberi. Kedua-dua sikap ini dapat melahirkan masyarakat yang penyayang dan prihatin. Jika ada saudara kita yang memerlukan bantuan, kita perlu segera menolongnya. Janganlah kita berpura-pura tidak nampak kesusahan orang lain, kerana Islam amat mencela perbuatan ini dan menggelarnya sebagai pendusta agama. Allah berfirman:

أَرَأَيْتَ الَّذِي يُكَذِّبُ بِالدِّينِ ﴿١﴾ فَذَٰلِكَ الَّذِي يَدُعُّ الْيَتِيمَ ﴿٢﴾ وَلَا يَحُضُّ عَلَىٰ طَعَامِ الْمِسْكِينِ ﴿٣﴾


Maksudnya: "Tahukah kamu akan orang-orang yang mendustakan agama? Itulah orang-orang yang mengherdik anak yatim, dan tidak memberi makan kepada orang miskin". (Surah Am-Ma'un ayat 1 hingga 3)

Ketiga, mengeluarkan zakat, baik zakat fitrah mahupun zakat harta, berwakaf dan bersedekah. Kesemua ini adalah tanggungjawab sosial, yang dapat melatih diri kita menjadi pemurah, dan jauh daripada sifat bakhil. Sesungguhnya di dalam harta kita, ada hak orang miskin yang harus ditunaikan. Sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Az-Zariyat ayat 19:

وَفِي أَمْوَالِهِمْ حَقٌّ لِّلسَّائِلِ وَالْمَحْرُومِ ﴿١٩﴾


Maksudnya: "Dan pada harta-harta mereka, (ada bahagian yang menjadi) hak untuk orang-orang miskin yang meminta, dan untuk orang-orang miskin yang menahan diri (daripada meminta-minta)".

Keempat, melaksanakan kewajipan nafkah kepada ahli keluarga. Kita perlulah menyediakan bekalan untuk ahli keluarga sebelum dan selepas kita meninggal dunia. Jangan sampai isteri dan anak-anak kita hidup sengsara, dan jangan pula sampai mereka menjadi orang yang meminta-minta.

Kelima, pemimpin yang mengagih sumber negeri dan negara dengan adil dan bijaksana. Termasuk dalam kategori ini adalah institusi agama yang diberi amanah mengutip zakat dan mengagihnya kepada penerima yang layak.

Contohilah kepimpinan Amirul Mukminin Saiyidina 'Umar Al-Khattab, yang dikisahkan dalam Tarikh Damsyik. Beliau gigih berjalan di malam hari mencari rakyat yang kelaparan. Begitu juga Khalifah 'Umar Abdul Aziz, seperti yang disebut dalam kitab Tarikh Al-Khulafak, bahawa sebelum beliau menjadi khalifah besar perutnya, namun setelah menjadi khalifah, beliau menjadi kurus sehingga kelihatan tulang rusuknya akibat gigih berbakti kepada rakyat. Inilah contoh pemimpin sejati, yang perlu kita teladani dalam pembentukan masyarakat hari ini.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Bersempena dengan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa pada 17 Oktober setiap tahun, marilah kita sama-sama menyakini syariat Islam, sebagai kaedah terbaik merawat masalah kemiskinan. Usaha ini memerlukan kerjasama yang menyeluruh daripada semua pihak, serta kaedah yang tersusun lagi berkesan. Dalam masa yang sama, jangan pula kita lupa kepada satu lagi masalah kemiskinan yang lebih berbahaya, iaitu kemiskinan akhlak dan kemiskinan budi pekerti.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari no. 645)

Sekali lagi mimbar berpesan agar kita semua bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, digalakkan membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Setelah selesai solat, jangan berhimpit-himpit ketika keluar. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru dalam penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment