Friday, October 30, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 13 RABI'UL AWWAL 1442 / 30 OKTOBER 2020

 RASULULLAH S.A.W USWATUN HASANAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan cara melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya di dunia dan di akhirat. Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk; "Rasulullah s.a.w Uswatun Hasanah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Antara perintah Allah s.w.t ialah mentaati baginda Muhammad s.a.w, namun mana mungkin kita mentaati Nabi Muhammad s.a.w sedangkan hati kita tidak mempunyai perasaan cinta dan kasih kepada baginda? Mana mungkin kita mencintai baginda Nabi sedangkan kita tidak mengenali baginda? Allah s.w.t menggambarkan peribadi baginda Nabi Muhammad s.a.w dengan gambaran yang sangat mulia. Firman Allah dalam Surah Al-Qalam ayat 4:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ ﴿٤﴾


Maksudnya: "Dan bahawa sesungguhnya engkau Muhammad mempunyai akhlak yang amat mulia".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Penting buat masyarakat terutamanya umat Islam untuk memiliki pemimpin berakhlak unggul. Justeru, tentulah tidak ada tokoh paling baik dan sempurna untuk diteladani jika bukan Rasulullah s.a.w. Sebagai seorang pemimpin, Rasulullah s.a.w selalu bersikap terbuka. dan sentiasa mendengar buah fikiran pengikut baginda dengan mengamalkan prinsip syura dalam pengurusan dan membuat keputusan, Sewajarnya, inilah yang patut diambil berat dan dicontohi oleh setiap kepimpinan Islam masa kini, agar segala tindakan adalah di atas keputusan bersama yang berasaskan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Allah dan Rasulullah s.a.w.

Baginda Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang pemimpin yang sangat adil, sebagai contoh ketegasan baginda dalam menegakkan keadilan, dapat dipelajari daripada kisah berkaitan hukuman bagi seorang wanita Bani Makhzum yang terlibat dalam perbuatan mencuri. Baginda telah menyatakan pendirian tegasnya dalam hadits yang diriwayatkan oleh 'Aisyah radiAllahu 'anha:

لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا


Maksudnya: "Jika sahaja Fatimah puteri Muhammad mencuri, maka aku sendiri yang akan memotong tangannya!" (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam kehidupan berumahtangga, baginda sentiasa mendidik, berlaku adil serta berlemah-lembut terhadap isteri-isterinya, termasuk tidak pernah memukul dan menghina mereka, sebaliknya sentiasa sabar dengan karenah dan ragam ahli keluarga, serta sentiasa menyuruh ahli keluarga melakukan kebaikan dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Di sebalik kesibukan sebagai pemimpin, baginda tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan telah berjaya membahagikan masa sebaik-baiknya. Nabi s.a.w bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي


Maksudnya: "Sebaik-baik kalian adalah adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku orang yang paling baik terhadap keluargaku". (Hadits riwayat At-Termidzi)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam kehidupan berjiran, baginda Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan akhlak yang terbaik sebagai seorang jiran, sama ada jiran yang muslim mahupun bukan muslim. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Husain:

أَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ لَهُ جَارٌ يَهُودِيٌّ لَا بَأْسَ بِخُلُقِهِ فَمَرِضَ، فَعَادَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ


Maksudnya: "Rasulullah s.a.w pernah menziarahi jirannya yang beragama yahudi ketika ditimpa sakit....". (Hadits riwayat Ar-Razzak)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Nabi Muhammad s.a.w juga sangat mementingkan hubungan persaudaraan dan sentiasa menganjurkan pengikutnya untuk sentiasa hidup bersatu-padu bagi mengelakkan perselisihan atau perpecahan dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Sabda baginda:

مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ


Maksudnya: "Barangsiapa yang tidak menyayangi, nescaya dia tidak akan disayangi". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Oleh itu, tepat sekali sekiranya Rabi'ul Awwal yang sedang kita lalui sekarang menjadi satu titik tolak untuk membutikan kecintaan kita kepada Rasulullah s.a.w, seterusnya menerapkan akhlak baginda s.a.w dengan menjadikan baginda Rasulullah s.a.w sebagai Uswatun Hasanah, contoh ikutan yang terbaik, bukan sekadar dalam diri kita sahaja, bahkan juga ke dalam diri setiap ahli keluarga, masyarakat dan negara kita yang tercinta. Firman Allah di dalam Surah Al-Ahzab ayat 21:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾


Maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Mimbar berpesan agar kita sama-sama mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha memutuskan jangkitan Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

1 comment:

  1. salam nak tanya, untuk teks khutbah esok (6/11/2020) bila upload ye?

    ReplyDelete