Friday, October 2, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 14 SAFAR 1442 / 2 OKTOBER 2020

 JANGAN TERPENGARUH DENGAN ORANG MUNAFIK

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَكَفَىٰ بِاللَّهِ شَهِيدًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.


Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan daripada Allah s.w.t yang berfirman:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِينَ بِأَنَّ لَهُمْ عَذَابًا أَلِيمًا ﴿١٣٨﴾  الَّذِينَ يَتَّخِذُونَ الْكَافِرِينَ أَوْلِيَاءَ مِن دُونِ الْمُؤْمِنِينَ ۚ أَيَبْتَغُونَ عِندَهُمُ الْعِزَّةَ فَإِنَّ الْعِزَّةَ لِلَّهِ جَمِيعًا ﴿١٣٩﴾ [سورة النساء : ١٣٨-١٣٩]


(Maksudnya): Sampaikanlah berita kepada orang-orang munafik: bahawa sesungguhnya disediakan untuk mereka azab seksa yang pedih; (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Tidaklah patut mereka (orang-orang munafik) mencari kekuatan dan kemuliaan di sisi orang-orang kafir itu, kerana sesungguhnya kekuatan dan kemuliaan itu semuanya adalah milik Allah, (diberikannya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya).

Ayat ini diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w yang menjadi petunjuk kepada umat Islam sehingga hari kiamat. Al-Quran adalah petunjuk Allah sehingga hari kiamat. Ia diturunkan ketika Rasulullah s.a.w berada di dalam masyarakat majmuk di Madinah, bergaul dengan orang-orang Yahudi dan Kristian musyirikin yang bukan Islam dengan tujuan untuk memperkenalkan Islam kepada mereka serta mengajak mereka masuk Islam atau mereka bersedia tunduk di bawah Kerajaan Islam yang adil, menyedar dan menginsafkan mereka. Adapun kemuliaan dan kemenangan adalah janji Allah s.w.t yang Maha Berkuasa.

Dalam kalangan ramai masyarakat Madinah itu ada golongan munafik yang berpura-pura menjadi orang Islam. Mereka hadir ke masjid, mendengar khutbah dan ucapan Nabi s.a.w, menunjuk-nunjukkan diri mereka adalah orang Islam secara pura-pura. Dalam masa yang sama mereka tidak percaya kepada hari akhirat, tidak percaya kepada dosa dan pahala; hanya mencari kesenangan dunia semata-mata. Mereka menganggap seolah-olah kemenangan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t adalah satu angan-angan.

Adapun orang-prang yang beriman percaya kepada Allah bukan sahaja Tuhan yang layak disembah, bahkan tiada tuhan yang lain daripada-Nya. Dalam masa yang sama mereka percaya kepada janji dunia dan janji akhirat. Janji dunia adalah kemenangan Islam, sementara janji akhirat adalah kemenangan yang kekal selama-lamanya di dalam syurga sekiranya bersama dengan Islam. Semua janji itu tidak dapat dilihat dengan mata. Orang-orang munafik hanya percaya dengan apa yang dilihat dengan mata sahaja. Mereka tidak yakin kepada Islam, menyebabkan mereka bersekongkol dengan orang-orang yang bukan Islam.

Di sana terdapat orang-orang bukan Islam yang merancang untuk menjatuhkan Islam untuk menghalang kemenangan Islam. Golongan munafik itu bersekongkol dengan kumpulan yang bukan Islam kerana mengejar kemenangan dunia. Dunia sahaja yang nampak dilihat, tetapi janji Allah yang Maha Berkuasa tidak dapat dilihat. Ia hanya dapat dilihat oleh orang-orang beriman yang yakin kepada Allah s.w.t.

Kalangan munafik yang berkeliaran ada di zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah tentu di zaman tidak ada nabi lebih ramai lagi orang-orang munafik ini, yang berpura-pura bersama orang-orang Islam. Mereka tidak boleh menyembunyikan diri mereka dengan menzahirkan apa yang ada di dalam hati perut mereka. Mereka merasakan hanya bersekongkol dengan orang-orang kafir dan musuh Islam sahaja yang boleh mencapai cita-cita di atas dunia ini, tidak ada cita-cita baginya di hari akhirat.

Allah mengingatkan orang-orang beriman supaya jangan terpengaruh dengan orang-orang munafik kerana yang Maha Berkuasa ialah Allah s.w.t, janji Allah adalah benar, Allah tidak sekali-kali memungkiri janji-Nya sehingga hari kiamat yang kekal abadi.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

يَقُولُونَ لَئِن رَّجَعْنَا إِلَى الْمَدِينَةِ لَيُخْرِجَنَّ الْأَعَزُّ مِنْهَا الْأَذَلَّ ۚ وَلِلَّهِ الْعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَلَٰكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٨﴾ [سورة المنافقون : ٨]


(Maksudnya): Mereka berkata: "Demi sesungguhnya! Jika kita kembali ke Madinah (dari medan perang), sudah tentu orang-orang yang mulia lagi kuat (pihak kita) akan mengusir keluar dari Madinah orang-orang yang hina lagi lemah (pihak Islam)". Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi Rasul-Nya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment