Thursday, October 8, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 21 SAFAR 1442 / 9 OKTOBER 2020

 AMAR MA'ARUF NAHI MUNGKAR : PATUHI SOP TANGGUNGJAWAB BERSAMA

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ،  الْقِائِلِ فِي كِتَابِهِ الْكَرِيْم : 

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ ... ﴿١١٠﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.


أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan cara melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Amar Ma'aruf  Nahi Mungkar : Patuhi SOP Tanggungjawab Bersama".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Seluruh dunia sedang menghadapi wabak Covid-19, termasuk negara kita, oleh itu marilah kita sama-sama mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan dengan menjaga penjarakkan sosial, memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam, menjaga kebersihan diri selain kerap mencuci tangan. Saranan Kementerian Kesihatan Malaysia ini bukanlah untuk membebani rakyat semata-mata, tetapi demi menjaga keselamatan seluruh rakyat Malaysia khususnya dan dunia amnya. Selain itu, perlulah kita ketahui bahawa mematuhi saranan kerajaan juga merupakan salah satu cabang amar ma'aruf nahi mungkar, yakni menyeru ke arah perkara kebaikan dan mencegah perkara keburukan. Ia sesuai dengan perintah Allah di dalam Al-Quran:

وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾


Maksudnya: "Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan orang yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma'aruf dan mencegah yang mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung". (Surah Ali 'Imran ayat 104)

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Elakkan diri kita daripada mementingkan diri sendiri, kerana pencegahan wabak Covid-19 ini memerlukan rasa tanggungjawab dalam diri, demi kepentingan umat sejagat. Janganlah kita mengambil sikap sambil lewa, kerana kita masih belum menang. Ambillah pengajaran daripada negara-negara luar yang belum mampu mengawal wabak ini. Selain jumlah kematian yang semakin meningkat, petugas barisan hadapan juga sudah semakin lelah mendepani tugas mereka saban hari. Maka fikirlah dan tanamkan rasa untuk menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus mengekang wabak ini daripada terus menular. Oleh sebab itu, kita semua perlu taat mematuhi semua garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Nabi s.a.w bersabda:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ


Maksudnya: "Mendengar dan mentaati (pemerintah) adalah wajib (setiap muslim), selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan". (Hadits riwayat Al-Bukhari no. 2955)

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Akhir-akhir ini, kita dikejutkan dengan peningkatan kes positif wabak Covid-19 di negara kita. Bukan sahaja melibatkan kes import, malah kes yang melibatkan rakyat tempatan juga menunjukkan peningkatan dengan kewujudan kluster yang baharu. Ini berpunca dari sikap kita sendiri yang mengabaikan arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa dan sikap mementingkan diri sendiri segelintir pihak.

Seringkali kita diperingatkan supaya hidup dengan norma yang baharu. Namun segelintir daripada kita masih selesa meneruskan norma yang lama. Apakah kita sudah bersedia sekiranya PKP dikuatkuasakan kembali atas kelalaian kita? Apakah kita lupa kesengsaraan masyarakat yang terpaksa diberhentikan kerja, hilang sumber pendapatan, dan bermacam-macam lagi kepayahan ditanggung semasa PKP dilaksanakan? Fikirkan juga tentang keperitan dan kepayahan barisan hadapan (frontliner) kita yang terpaksa memerah keringat membendung penularan wabak ini. Apakah mereka mampu menghadapi kembali penularan virus ini sekiranya ia berulang?

Sidang hadirin Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagi kita selaku umat Islam, ingin mimbar ingatkan kembali, patuhilah SOP yang ditetapkan pihak berkuasa, terutamanya aktiviti-aktiviti yang melibatkan penggunaan masjid dan surau yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Perak. Tindakan mengingkari SOP yang dikeluarkan adalah bersalahan di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 iaitu "kesalahan menghina dan mengingkari pihak berkuasa agama" yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM3,000, atau penjara tidak lebih 2 tahun, atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah.

Bersama-samalah kita menjaga keagungan dan kehormatan agama kita, supaya tidak ditohmah dan dipandang sinis oleh penganut agama lain sebagai punca penularan kembali wabak ini. Ingatlah, SOP yang ditetapkan bukanlah semata-mata untuk menyusahkan kita, tetapi demi untuk menjaga kemaslahatan di dunia dan di akhirat.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari no. 645)

Sekali lagi mimbar berpesan agar kita semua bersabar mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, digalakkan membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Setelah selesai solat, jangan berhimpit-himpit ketika keluar. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru dalam penularan wabak Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment