Thursday, October 22, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 6 RABI'UL AWWAL 1442 / 23 OKTOBER 2020

 BAHAYA JUDI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا ۗ ﴿٢١٩﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.

أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan cara melaksanakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Bahaya Judi".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Menurut kamus dewan, judi adalah permainan dengan memakai wang dan lain-lain sebagai taruhan. Manakala dalam bahasa arab, judi dkenali sebagai Al-Maisir atau Al-Qimar yakni permainan pertaruhan golongan arab dengan menggunakan anak panah. Kesimpulannya, mana-mana permainan yang mengandungi pertaruhan daripada pihak bertanding di mana ia mengakibatkan kemenangan pada sebelah pihak sedangkan pihak yang lain mengalami kerugian, itulah yang dinamakan judi.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Islam melarang umatnya supaya tidak terlibat dalam apa-apa aktiviti perjudian seperti loteri, tikam, mesin slot dan sebagainya, sama ada secara langsung ataupun dalam talian. Ini sesuai dengan perintah Allah s.w.t di dalam Surah Al-Maidah ayat 90:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٩٠﴾


Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".

Untuk makluman sidang jamaah yang dirahmati Allah, data kes judi di negeri Perak amat membimbangkan. Mengikut statistik daripada Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Negeri Perak sebanyak 443 fail dibuka sejak tahun 2016 hingga 2020. Manakala statistik daripada Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perak sebanyak 8141 tangkapan telah dilakukan sejak tahun 2016 hingga 2020. Ini adalah jumlah yang amat membimbangkan! Sedarlah bahawa kemungkaran yang berleluasa seperti ini hanya akan mengundang murka dan bala bencana daripada Allah s.w.t. Oleh itu bertaubatlah kepada-Nya dengan sebenar-benar taubat, mohonlah ampun kepada-Nya atas segala dosa yang telah dilakukan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Judi membawa banyak keburukan dan mudarat besar, sama ada di dunia mahupun di akhirat. Antaranya yang:

Pertama, berjudi adalah satu perbuatan yang ditegah, wang yang dihasilkan daripadanya adalah haram! Tidak boleh digunakan apatah lagi untuk makan minum anak dan isteri. Nabi s.a.w berabda:

لَا يَرْبُو لَحْمٌ نَبَتَ مِنْ سُحْتٍ إِلَّا كَانَتْ النَّارُ أَوْلَى بِهِ


Maksudnya: "...Tiap-tiap daging yang tumbuh daripada yang haram, maka neraka lebih utama baginya". (Hadits riwayat Termidzi)

Kedua, judi disifatkan dengan Rijsun yakni kotor dan menjijikkan. Dari sinilah terbitnya akhlak buruk seperti tamak, malas, membazir, menipu, pentingkan diri dan lain-lain. Judi juga disifatkan sebagai amalan syaitan sebagaimana yang disebut di dalam Surah Al-Maidah ayat 90 tadi.

Ketiga, sentiasa dibebani hutang lalu menjadikan hidup tidak tenteram. Kerana penjudi kebiasaannya sanggup berhutang demi untuk memenuhi nafsu berjudinya.

Keempat, judi membawa kepada kemiskinan. Penjudi akan membelanjakan hartanya untuk memenuhi nafsu berjudi yang kebanyakannya berakhir dengan kerugian.

Kelima, membawa kepada permusuhan dan kebencian. Allah s.w.t berfirman di dalam Surah Al-Maidah ayat 91:

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاءَ فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ... ﴿٩١﴾


Maksudnya: "Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antra kamu dengan sebab arak dan judi...".

Keenam, judi juga boleh meruntuhkan institusi rumah tangga. Ketagihan seseorang dalam berjudi akan sampai kepada tahap mengabaikan nafkah keluarga dan mengorbankan kebahagiaan rumah tangga yang dibina.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992, Seksyen 26 (1) - Sesiapa yang berjudi atau didapati hadir di tempat berjudi sama ada dia melakukan perjudian ataupun tidak, adalah bersalah atas satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkanm dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun, atau kedua-duanya. Firman Allah dalam Surah Fatir ayat 6:

إِنَّ الشَّيْطَانَ لَكُمْ عَدُوٌّ فَاتَّخِذُوهُ عَدُوًّا ۚ إِنَّمَا يَدْعُو حِزْبَهُ لِيَكُونُوا مِنْ أَصْحَابِ السَّعِيرِ ﴿٦﴾


Maksudnya: "Sesungguhnya syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi), sebenarnya dia hanyalah mengajak golongannya menjadi penduduk neraka".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا كَمَا أَمَرَ. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah berteraskan Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Sabda Nabi s.a.w:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِيْنَ دَرَجَةً


Maksudnya: "Solat berjamaah mengatasi solat bersendirian dua puluh tujuh darjat". (Hadits riwayat Al-Bukhari)

Mimbar berpesan agar kita sama-sama mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, diwajibkan membawa sejadah sendiri, dan memakai pelitup muka. Marilah kita berwaspada, agar masjid-masjid kita tidak menjadi kluster baru yang menggagalkan usaha memutuskan jangkitan Covid-19.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment