Thursday, October 8, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 21 SAFAR 1442 / 9 OKTOBER 2020

 ISLAM ADALAH AGAMA NABI IBRAHIM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي لَمْ يَتَّخِذْ وَلَدًا وَلَمْ يَكُن لَّهُ شَرِيكٌ فِي الْمُلْكِ وَلَمْ يَكُن لَّهُ وَلِيٌّ مِّنَ الذُّلِّ ۖ وَكَبِّرْهُ تَكْبِيرًاأَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar penegasan daripada Allah s.w.t:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَٰكِن كَانَ حَنِيفًا مُّسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ ﴿٦٧﴾ [سورة آل عمران : ٦٧]


(Maksudnya): Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah ia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi ia seorang yang tetap di atas dasar Tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan ia pula bukanlah dari orang-orang musyrik.

Ayat ini menolak mereka yang cuba menyamakan Islam dengan agama-agama yang lain atas nama mewujudkan perdamaian dunia memeteraikan perjanjian yang dinamakan Perjanjian Abraham (Perjanjian Ibrahim) kononnya Ibrahim adalah datuk yang melahirkan tiga agama besar dunia, iaitu agama Yahudi, agama Kristian dan agama Islam.

Al-Quran adalah satu-satunya kitab yang dipelihara oleh Allah s.w.t yang dijamin tidak boleh diselewengkan sekali-kali sehingga hari kiamat, menegaskan bahawa hanya Islam sahaja yang dianut oleh Ibrahim a.s. Mereka yang telah menamakan agama Yahudi dan Kristian termasuk musyrikin sudah menyeleweng daripada ajaran asal Islam yang dibawa oleh Ibrahim a.s.

Tidakkah Allah s.w.t telah menegaskan:

إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ... ﴿١٩﴾ [سورة آل عمران : ١٩]


(Maksudnya): Sesungguhnya Din (agama) di sisi Allah adalah Islam.

Dan firman Allah Ta'ala lagi:

وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ ﴿٨٥﴾ [سورة آل عمران : ٨٥]


(Maksudnya): Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.

Sama ada yang dinamakan agama-agama, teori, ideologi dan sebagainya walaupun dinisbahkan dengan nama Ibrahim adalah menyeleweng daripada Ibrahim dan Islam yang dibawa Ibrahim. Walaupun Karl Marx seorang Yahudi keturunan Ibrahim dan Adam Smith keturunan Ibrahim mengadakan teori dan ideologi ciptaannya sudah menyeleweng daripada Islam yang dibawa oleh Ibrahim a.s.

Maka haram bagi umat Islam menerima yang lain daripada Islam. Walaupun kita berpegang dengan konsep La Ikraha Fiddin (tidak ada paksaan dalam agama), kita disuruh berdamai dengan sesiapa sahaja di dalam dunia ini; perdamaian adalah diutamakan dalam hubungan Islam bersama pihak lain, tetapi menegakkan Islam adalah benar, tidak ada tolak ansur sekali-kali.

Setiap orang Islam mestilah mati dengan Islam. Tidakkah Allah menyatakan:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾ [سورة آل عمران : ١٠٢]


(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

وَمَن يَرْغَبُ عَن مِّلَّةِ إِبْرَاهِيمَ إِلَّا مَن سَفِهَ نَفْسَهُ ۚ وَلَقَدِ اصْطَفَيْنَاهُ فِي الدُّنْيَا ۖ وَإِنَّهُ فِي الْآخِرَةِ لَمِنَ الصَّالِحِينَ ﴿١٣٠﴾ إِذْ قَالَ لَهُ رَبُّهُ أَسْلِمْ ۖ قَالَ أَسْلَمْتُ لِرَبِّ الْعَالَمِينَ ﴿١٣١﴾ وَوَصَّىٰ بِهَا إِبْرَاهِيمُ بَنِيهِ وَيَعْقُوبُ يَا بَنِيَّ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَىٰ لَكُمُ الدِّينَ فَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٣٢﴾ [سورة البقرة : ١٣٠ - ١٣٢]


(Maksudnya): Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya dia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepada-Ku wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment