Thursday, September 24, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 7 SAFAR 1442 / 25 SEPTEMBER 2020

MARUAH DIRI DAN JAUHI ZINA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلْ:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلا اللهِ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ.


أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اِتَّقُوا اللهَ، أُصِيكُمْ وَإِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ. فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Khatib berpesan kepada diri sendiri dan sidang jamaah, marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, yakni dengan istiqamah mentaati perintah-Nya, dan sabar menjauhi larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan berjaya tidak hanya di dunia, malah berjaya juga di negeri akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Maruah Diri dan Jauhi Zina".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai khalifah di muka bumi, kita adalah makhluk paling mulia ciptaan Allah s.w.t. Maruah dan kemuliaan ini harus dipelihara, agar tidak dicemari oleh perbuatan yang dilakukan oleh diri kita sendiri, mahupun oleh pihak lain. Jika umat Islam dapat menjaga maruah diri, ia adalah gambaran ketinggian martabat Islam yang menetapkan akhlak sebagai salah satu teras utama di dalam agama. Rasulullah s.a.w bersabda:

إِنَّ مِنْ خِيَارِكُمْ أَحْسَنَكُمْ أَخْلَاقًا


Maksudnya: "Sesungguhnya yang paling baik di antara kalian adalah orang yang paling baik akhlaknya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari no. 3559)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Di dalam syariat Islam, Allah s.w.t dan Rasul-Nya tidak memerintahkan sesuatu perbuatan, kecuali di dalam perintah itu terdapat kemaslahatan dan kebaikan yang besar. Begitu juga Islam tidak melarang dan mengharamkan suatu perbuatan kecuali di dalamnya ada mudarat yang perlu dojauhi. Salah satu tujuan syariat Islam ialah memelihara keturunan dan nasab. Oleh itu, Islam menghalalkan nikah dan mengharamkan zina. Firman Allah dalam Surah Al-Israk ayat 32:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا ﴿٣٢﴾


Maksudnya: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)".

Berdasarkan ayat ini, kalimah (wala taqrobu) yang bererti. "dan janganlah mendekati", tidak hanya melarang manusia melakukan zina. Malah, mendekati perkara yang membawa kepada zina juga amat dilarang. Kesan daripada perbuatan zina akan menimbulkan pelbagai kerosakan dan bencana dalam masyarakat. Antaranya, merosakkan nasab keturunan, mendatangkan penyakit berbahaya dan menimbulkan permusuhan. Ayat 32 Surah Al-Israk ini juga mengajar kita beberapa perkara:

Pertama, jangan sesekali mendekati zina kerana manusia biasanya akan tewas dengan godaan nafsu.

Kedua, jangan biarkan diri terdedah kepada suasana zina seperti berdua-duaan, mendedahkan aurat, melihat video atau gambar lucah dan sebagainya.

Ketiga, jangan menyertai atau menganjurkan majlis yang boleh mendorong ke arah perzinaan seperti parti sosial yang dihiasi acara tari-menari, minuman keras dan sebagainya.

Keempat, semua bentuk iklan yang memaparkan aurat wanita dengan aksi mengghairahkan perlu diharamkan.

Kelima, semua pihak harus memainkan peranan, membendung gejala zina dengan membudayakan amar ma'aruf nahi mungkar bagi mencegah segala bentuk maksiat dan kemungkaran dalam masyarakat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebelum mengakhiri khutbah pertama, marilah kita sama-sama membersihkan diri daripada segala dosa dan kesalahan yang telah kita lakukan selama ini. Kembalilah ke pangkal jalan, betulkan semula hala tuju hidup kita agar selari dengan petunjuk agama.

Tuan-tuan yang mulia, sesungguhnya Allah Maha Pengasih, Maha Penyayang, lagi Maha Pengampun. Walau sebesar mana pun dosa yang kita lakukan, Allah s.w.t akan tetap menerima taubat hamba-hamba-Nya yang benar-benar insaf dan menyesal. Sabda Rasulullah s.a.w:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ


Maksudnya: "Setiap anak Adam itu (tidak lari daripada) melakukan dosa, dan sebaik-baik pendosa adalah orang-orang yang bertaubat". (Hadits riwayat At-Tirmidzi)

Firman Allah s.w.t dalam Surah Az-Zumar ayat 53:

۞ قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ ﴿٥٣﴾


Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan dosa dan kemungkaran), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، وَبِهِ نَسْتَعِين عَلَى أُمُورُ الدُّنْيَا وَالدِّين. أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar tetap berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, sahabat dan tabi'in, hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik dengan Allah dan sesama manusia, makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadat, terutamanya solat fardu berjamaah. Marilah sama-sama kita mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Hadirlah ke masjid dalam keadaan berwuduk, memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.

اللَّهُمَّ أدْفَعْ عَنَّا الْبَلَاء، وَالْوَبَاء خُصُوصًا وَيْرُوس الْكُورُونَا، وَالْغَلَاء، وَالْمِحَنِ وَالْفِتَنِ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، عَنْ بَلَدِنَا خَاصَّةً وَعَنْ بُلْدَانَ عَامَّةً يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.

اللَّهُمَّ أَصْلِحْ سُلْطَانَنَا السُّلْطَانُ نَزْرِين مُعِزُّالدِّين شَاه ابْنِ الْمَرْحُوم السُّلْطَان أزلن مُحِبُّ الدِّين شَاه الْمَغْفُورُلَهُ، وَكَذَلِكَ رَاجَ فرمايسوري فيراق دار الرضوان توانكو زَارَ سَالِم. كَمَا نَسْأَلُكَ اللَّهُمَّ أَنْ تُصْلِحَ أَئِمَّتَنَا وَوُلَاتَ أُمُوْرِنَا، وَاجْعَلْ وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment