Thursday, October 20, 2011

Khutbah Jumaat - 23 Zul Qaedah 1432H / 21 Oktober 2011M

“PERTAHAN AQIDAH UMMAH”


الْحَمْدُلِلَّهِ  الْقَائِلِ،


لَّقَدْ كَفَرَ الَّذِينَ قَالُوا إِنَّ اللَّهَ ثَالِثُ ثَلَاثَةٍ ۘ وَمَا مِنْ إِلَـٰهٍ إِلَّا إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۚ وَإِن لَّمْ يَنتَهُوا عَمَّا يَقُولُونَ لَيَمَسَّنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ ﴿٧٣﴾

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: "Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan". padahal tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa. dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
Surah al-Mā’idah (5) : 73

أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لآ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ! اِتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat sekelian,

Kalau status kita di dunia ini sering dibeza-bezakan dengan pangkat, darjat, kaya dan miskin namun insaflah kita sekelian bahawa apabila kain kafan membaluti diri kita masing-masing, semuanya akan dinilai semula dengan penilaian sejauh mana pencapaian iman kita, prestasi amal kita dan sejauh mana ketaqwaan kita. Maka, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita melalui cara bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhkan diri dari perkara-perkara yang dilarang Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah S.W.T,

Aqidah meng-esakan Allah adalah kurniaan terbesar Allah kepada kita sebagai umat Islam. Di samping ia merupakan kurniaan, dalam masa yang sama ia adalah amanah yang wajib digalas oleh setiap kita. Mulai saat ini, marilah kita meningkatkan tahap keprihatinan kita menyedari dan mengambil berat terhadap ancaman pemesongan akidah tauhid Umat Islam pada hari ini. Umat Islam di Negara ini telah mengharungi pelbagai episod hitam melibatkan gugatan dan ancaman terhadap aqidah seperti kes Natrah, Jamaluddin Othman, Nor Aishah Bukhari, IFC, kes pemeriksaan Jabatan Agama Islam Selangor ke atas DUMC. Pendakyah-pendakyah agama lain bebas memberikan khidmat social kepada pesakit-pesakit di wad-wad hospital terpilih, menganjurkan kelas-kelas tuisyen untuk anak-anak muslim yang diselitkan dakyah-dakyah kristian, menyebarkan risalah secara terbuka di tempat-tempat awam dan rumah-rumah persendirian. Penghakisan martabat agama Islam di bumi ini bukanlah sesuatu yang tidak terjadi atau tidak dirancang secara tersirat baik dari dalam mahupun dari luar Negara. Jika dihalusi, usaha-usaha pencerobohan terhadap Islam bukan sahaja tampak berlaku, tetapi berlaku dalam terang lagi bersuluh. Ia mungkin bermula dengan satu jamuan-satu nyanyian, satu perkhemahan-satu lawatan; ia mungkin bermula dengan segenggam garam-setahil emas, ia mungkin bermula dengan satu kalimah – satu ceramah. Oleh kerana sasaran utama mereka adalah orang-orang melayu muslim, maka mereka menggunakan beberapa pendekatan yang hampir dengan kehidupan seharian orang-orang melayu muslim termasuklah penyalahgunaan beberapa perkataan yang mempunyai makna dan pengertian khusus tertentu dalam Islam tetapi digunakan untuk mencapai tujuan-tujuan jahat mereka. Contohnya penggunaan kalimah “Allah”. Hadirin yang dirahmati Allah, Di dalam Islam, “Allah” hanya merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa. Merujuk perkataan “Allah” kepada salah satu daripada tiga unsur tuhan seperti kepercayaan kristian adalah menyalahi aqidah Islam, apatah lagi mendakwa Nabi Isa a.s itu adalah anak “Allah”. Al Quran menegaskan :

قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ﴿١﴾ اللَّهُ الصَّمَدُ ﴿٢﴾ لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ ﴿٣﴾ وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ ﴿٤﴾

Katakanlah (Wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa; "Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat; "Ia tiada beranak, dan ia pula tidak diperanakkan; "Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".

Hari ini nama suci ALLAH, dilaporkan telah digunapakai tanpa menghiraukan sensitiviti umat Islam-tanpa mengendahkan potensi untuk mengelirukan aqidah anak-anak Islam- tanpa memperdulikan betapa terhirisnya perasaan ummah. Nama suci ALLAH yang termaktub di dalam al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. ALLAH adalah kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam, kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain. Kalimah suci ALLAH bukan sekadar ‘nama am’ yang bermaksud ‘tuhan’ walau apa bentuknya. Kesucian kalimah ALLAH amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut bila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bungkusan, tidak boleh dibawa ke tandas. Allah adalah nama khas, Tuhan Yang Maha Suci – Tuhan Yang Maha Agung.  

Hadirin yang dirahmati Allah,

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang buat kali 178 telah memutuskan dan keputusan ini telah difatwakan serta diwartakan oleh Kerajaan Negeri Perak pada bulan Jun 2010, bahawa penggunaan kalimah ALLAH hanya dikhususkan untuk umat Islam, mana-mana penganut selain penganut Islam adalah dilarang daripada menggunakan kalimah ALLAH untuk sebarang tujuan dan maksud. Amatlah bahaya jika prinsip asas agama ini diredhakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik. Sesungguhnya insiden yang berlaku, merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh ALLAH swt terhadap umat Islam, menguji kepimpinan Islam di bumi ini; ujian ILAHI terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya, di kalangan ummah, ulama, barisan pemimpin, organisasi politik hatta Raja-raja. Ia adalah ujian terhadap ketegasan umat Islam untuk mempertahankan kalimah tauhid, KE-ESAAN ILAHI, ALLAH yang “SATU” lagi berkuasa di atas segalanya. Pada masa yang sama kita melihat gejala kurangnya kesatuan suara dan kejelasan sikap terhadap pelbagai ancaman terhadap akidah umat ini termasuklah dari kalangan sebahagian umat Islam disebabkan pelbagai faktor termasuk sentimen politik dan puak. Ini mewujudkan suasana yang memungkinkan terhakisnya benteng pertahanan akidah umat Islam samada dalam bentuk institusi – institusi agama, usaha dakwah dan pendidikan serta peruntukan undang-undang.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Marilah setiap daripada kita menjadi muslim yang sentiasa sensitive kepada setiap perkara yang berlaku kepada agama Islam dan umat Islam di mana-mana sahaja ia berlaku samada di luar Negara lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di dalam Negara kita. Marilah kita sentiasa menyiapkan diri, sentiasa siap siaga menjadi tentera-tentera Allah, pembela-pembela agama yang akan responsif terhadap apa juga yang menyentuh soal agama Islam dan Umat Islam.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِى الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الأيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.



No comments:

Post a Comment