Thursday, April 1, 2021

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 19 SYAABAN 1442 / 2 APRIL 2021

 ISLAM TETAP DIPELIHARA ALLAH

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا حَامِدِينِ، وَحَمْدًا شَاكِرِينِ، وَحَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِي مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ، إِمَامِ الْمُتَّقِينَ وَقَائِدِ الدُّعَاةِ الْمُجَاهِدِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِعِينَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّينِ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan (dunia dan akhirat) adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar dan memahami firman Allah Ta'ala:

وَكَذَٰلِكَ جَعَلْنَاكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَاءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا ۗ ﴿١٤٣﴾ [سورة البقرة : ١٤٣]


(Maksudnya): Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu...

Demikianlah pujian Allah s.w.t kepada umat Muhammad s.a.w, umat akhir zaman yang paling banyak menghadapi ujian dan cabaran daripada umat yang terdahulu dalam keadaan tidak ada lagi nabi selepas Muhammad s.a.w kerana Allah menutup kerasulan, kenabian dan wahyu dengan kedatangan Nabi Muhammad s.a.w untuk menamatkan ajal dunia dengan janji berlakunya kiamat, manusia dihidupkan semula, dihisab dan dihukum oleh Allah s.w.t dengan hukuman yang adil.

Bagi umat penutup ini, Allah s.w.t memberi keistimewaan kepada mereka dengan mukjizat ilmu kitab suci Al-Quranul Karim yang dipelihara oleh Allah s.w.t yang tidak mampu diselewengkan oleh sesiapa pun; berbeza dengan kitab-kitab sebelumnya, dipelihara kitab ini dengan janji Allah s.w.t:

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾ [سورة الحجر : ٩]


(Maksudnya): Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan sesungguhnya Kami benar-benar memeliharanya.

Allah s.w.t memelihara Al-Quranul Karim, bukan sahaja dalam tulisannya, bahkan dipelihara ilmu dan hafazannya dalam dada para ulamak yang tetap dipelihara oleh Allah s.w.t selagi dunia belum kiamat.

Maka ilmu Islam dipelihara oleh Allah s.w.t, sama ada dalam keadaan umat Islam kuat, ada negara yang memerintah dan berdaulat ataupun negara Islam dan kerajaan Islam yang dijatuhkan oleh musuh-musuhnya. Islam tetap dipelihara oleh Allah s.w.t, sebagaimana seluruh makhluk tidak mampu menghapuskan cahaya matahari, bulan dan bintang serta cakerawala di langit, maka lebih hebat lagi mereka tidak mampu memadamkan cahaya Islam ini. Islam tetap dipelihara oleh Allah s.w.t walaupun keadaan umat Islam dijajah, dimamah, diratah, dicengkam dan ditindas oleh musuhnya. Allah s.w.t tetap mengadakan dalam kalangan umat ini orang yang mempertahankan Islam, menunjukkan ajaran Islam menjadi contoh kepada umat-umat yang lain. Mereka berada di tengah-tengah manusia yang menganut berbagai-bagai agama, ideologi dan kefahaman.

Hari ini kita menyaksikan keruntuhan kefahaman ideologi rekaan manusia timur dan barat, menyaksikan keruntuhan agama-agama yang lain, yang ditinggalkan oleh orang-orang muda penganut agama itu yang ramai tidak ada pegangan agamanya. Namun Islam tetap dipelihara oleh Allah s.w.t. Ia dijaga oleh Allah s.w.t. Tetap ada orang yang memelihara Islam di seluruh pelusuk dunia.

Allah s.w.t menjanjikan umat Islam menjadi saksi dan contoh kepada seluruh manusia. Sementara pada hari kiamat nanti menjadi saksi bahawa nabi-nabi dan rasul-rasul 'alaihimus solatuwas salam telah menyampaikan ajaran Allah s.w.t kepada umat masing-masing walaupun tidak ada di zaman itu yang telah berlaku beribu tahun bahkan mungkin berjuta tahun, tetapi disebut di dalam Al-Quranul Karim dan dibuktikan semua yang disebut di dalamnya adalah benar. Sekiranya Allah s.w.t menunjukkan tentang kejadian bulan, bintang dan cakerawala serta peredaran bumi yang dikaji oleh ahli sains (saintis) dan pakar-pakar dalam ilmu kejadian alam ini mendapati apa yang disebut di dalam Al-Quran adalah benar. Maka cerita-cerita di zaman dahulu yang diceritakan di dalam Al-Quran juga adalah benar.

Begitulah hukum halal dan haram; yang halal mendatangkan manfaat dan yang haram mendatangkan mudarat. Terbukti di antara sebab merebaknya penyakit-penyakit dalam kehidupan manusia adalah berpunca daripada perkara-perkara yang diharamkan. Benarnya Al-Quranul Karim menambahkan keyakinan kita kepada Islam. Hanya mereka yang berpegang dengan Islam sahaja selamat di dunia dan selamat di akhirat. Sementara orang yang hanyut meninggalkan Islam, binasa di dunia dan binasa di akhirat.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ ... ﴿١١٠﴾ [سورة آل عمران : ١١٠]


(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment