Friday, January 3, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 7 JAMADIL AWAL 1441 / 3 JANUARI 2020


MUHASABAH DIRI SATU TUNTUTAN DALAM ISLAM

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يُقَلِّبُ اللَّهُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَعِبْرَةً لِّأُولِي الْأَبْصَارِ ﴿٤٤﴾

Maksudnya: "Allah mempergantikan malam dan siang; sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat pelajaran yang besar bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan". (Surah An-Nur ayat 44)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 

Saya menyeru dan berpesan kepada sidang jamaah sekalian, agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dalam diri kita dengan menghayati seluruh syariat Islam di dalam kehidupan, di samping taat mengerjakan segala yang diperintahkan dan menghindari segala larangan-Nya. Semoga hidup kita akan sentiasa dirahmati dan diberkati di dunia ini dan berbahagia di akhirat nanti. Ajaran Islam sangat menitik beratkan tentang muhasabah diri. Justeru, mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Muhasabah Diri Satu Tuntutan Dalam Islam".

Hadirin yang dirahmati Allah,

Sama ada kita sedar atau tidak, kita telah beberapa hari memasuki tahun baru 2020 Masihi. Tahun baru yang saban tahun kita sambut dan raikan sebenarnya perlu difahami dan dihayati agar kita dapat memenuhi tuntutannya dan mengambil iktibar daripadanya. Justeru, marilah kita muhasabah diri apa yang telah kita lakukan sepanjang tahun yang lepas.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Muhasabah diri adalah suatu usaha murni yang dapat mengembalikan manusia ke landasan kehambaan. Apatah lagi dengan kehadiran tahun baru ini, kita merasakan banyak perkara yang perlu dilakukan, dimulakan dan dijayakan. Muhasabah amat perlu dibuat bagi menjamin sesuatu yang baik yang diimpikan menjadi kenyataan.

Justeru, perlu difahami bahawa muhasabah diri yang perlu kita lakukan terbahagi kepada dua bentuk:

Pertama: Muhasabah sebelum bertindak. Ia dilakukan sebaik sahaja timbul niat dan keinginan untuk berbuat sesuatu. Muhasabah ini akan membantu kita membuat keputusan yang tepat dan bijak sama ada untuk meneruskan niat bertindak atau membatalkannya. Maka apa juga yang kita rancang untuk tahun baru ini pastikan kita mulakan dengan muhasabah sebelum kita memulakannya. Beruntunglah mereka yang sentiasa membudayakan muhasabah dalam hidupnya. Imam Al-Hasan Al-Basri rahimahullah pernah berkata:

رَحِمَ اللهُ عَبْدًا وَقَفَ عِنْدَ هَمِّهِ، فَإِنْ كَانَ لِلَّهِ مَضَى، وَإِنْ كَانَ لِغَيْرِهِ تَوَقَّفِ

Maksudnya: "Semoga Allah merahmati seorang hamba yang mampu berhenti berfikir sebelum melaksanakan kehendaknya, jika kehendaknya itu kerana Allah dia akan melaksanakannya, dan jika kerana selain Allah dia menghentikan niatnya".

Ternyata orang-orang yang dikurniakan dengan ingatan untuk bermuhasabah sebelum bertindak ini adalah orang-orang yang mendapat kasih dan rahmat Allah s.w.t di dalam hidupnya.

Kedua: Muhasabah setelah bertindak. Ia berbentuk kaji selidik dan analisa terhadap apa yang telah kita lakukan. Ia meliputi muhasabah tentang ketaatan yang kita ingkari, tentang larangan yang kita cerobohi, juga tentang kesempurnaan dan kekurangan, keuntungan dan kerugian hasil dari tindakan yang telah kita lakukan khususnya sepanjang setahun yang lalu. Semua ini akan membentuk kekesalan dan keinsafan lalu menerbitkan azam untuk bertindak lebih baik di masa hadapan.

Kedua-dua bentuk muhasabah ini adalah amalan yang perlu dilakukan oleh setiap muslim di dalam kehidupan mereka. Sempena dengan kehadiran tahun baru 2020, amalan ini wajar kita laksanakan dengan sempurna. Jika selama ini kita belum pernah melakukannya, maka mulakanlah daripada sekarang. Sebagai pendorong kita untuk sentiasa bermuhasabah dan bermujahadah, renungkanlah firman Allah s.w.t dalam Surah Ali-'Imran ayat 30:

يَوْمَ تَجِدُ كُلُّ نَفْسٍ مَّا عَمِلَتْ مِنْ خَيْرٍ مُّحْضَرًا وَمَا عَمِلَتْ مِن سُوءٍ تَوَدُّ لَوْ أَنَّ بَيْنَهَا وَبَيْنَهُ أَمَدًا بَعِيدًا ۗ وَيُحَذِّرُكُمُ اللَّهُ نَفْسَهُ ۗ وَاللَّهُ رَءُوفٌ بِالْعِبَادِ ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "(Ingatlah) hari (kiamat yang padanya) tiap-tiap seorang akan mengetahui segala apa yang telah dikerjakannya, (sama ada) berupa kebaikan yang dihadapkan ke hadapannya dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. (Pada ketika itu) tiap-tiap orang (yang bersalah) inginkan kalau ada jarak yang jauh di antaranya dengan kejahatannya itu. Allah memperingatkan kamu kepada diri-Nya (kemurkaan-Nya). (Ingatlah juga) Allah Maha Penyayang terhadap hamba-hamba-Nya". (Surah Ali-'Imran ayat 30)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 

Untuk memperjelaskan bagaimana proses muhasabah ini dilaksanakan, berikut dibentangkan kaedah muhasabah yang disusun secara berperingkat seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Al-Qaiyyim rahimahullah:

Pertama: Mulakan muhasabah diri dengan mengenang semua kefarduan yang wajib ke atas kita untuk menyempurnakannya. Jika ada yang masih diabaikan berazamlah untuk menyempurnakannya.

Kedua: Muhasabah diri terhadap maksiat, kemungkaran dan tegahan syariat yang kita lakukan. Jika ternyata kita masih terlibat dengan semua ini, bertaubat dan beristighfarlah dan kembali kepada ketaatan.

Ketiga: Muhasabah diri terhadap kelalaian dan kealpaan. Kembalilah kepada Allah dengan usaha-usaha mengingati-Nya dengan solat berjamaah, mendengar tazkirah, berzikir dan membaca Al-Quran.

Keempat: Muhasabah pada seluruh anggota tubuh kurniaan Allah; lidah, kaki, tangan, mata, telinga dan anggota-anggota lain. Apakah semua nikmat ini masih kita gunakan untuk membina kepuasan nafsu dan dosa kemaksiatan? Adakah telah kita gunakan untuk memburu keredaan Allah?

Jika masih jauh daripada watak kehambaan, marilah kita kembali ke pangkal jalan, memujuk diri untuk mempersembahkan ketaatan dan kesyukuran, selagi hayat dikandung badan.

Ingatlah, bahawa tahun demi tahun yang berlalu pergi adalah realiti usia kita kian menuju ke penghujungnya, yang setiap detik dimamah peredaran masa. Tahun baru yang hadir ini belum menjanjikan apa-apa sekiranya kita masih hidup bergelumang dengan dosa. Hidup tanpa reda Allah di dunia ini hanya akan mengundang malapetaka dan kesengsaraan yang kekal abadi di neraka.

Lantaran itu, muhasabahlah diri kita, bertaubatlah dari segala dosa, aturkanlah langkah-langkah kehambaan penuh kesetiaan pada yang Maha Esa, agar kita beroleh keberkatan di dalam kehidupan di dunia ini sebelum mendapat keredaan Allah yang abadi di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah s.w.t menjanjikan pimpinan taufik kepada hamba-hamba-Nya yang sudi menyelusuri jalan-jalan ketaqwaan dan kehambaan pada-Nya. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-'Ankabut ayat 69:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾

Maksudnya: "Orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah bersama orang yang berusaha memperbaiki amalannya". (Surah Al-'Ankabut ayat 69)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, marilah kita berusaha membangunkan kejayaan sama ada di dunia apatah lagi di akhirat, perlu dimulakan dengan muhasabah. Dengan muhasabah, kita akan mengenali diri kita, kekuatan dan kelemahan, prestasi dan kekurangan, keperluan dan kelebihan yang sedia ada di dalam diri. Muhasabah akan membuatkan kita bertambah bersedia untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang menjadi penghalang kejayaan. Di samping itu kita perlu membuka ruang-ruang dan mengatur langkah-langkah yang boleh membantu kita untuk kuat bermujahadah.

Antaranya adalah dengan terus mempertingkatkan ilmu dan kefahaman dalam beragama, melazimi akhlak yang mulia dalam pergaulan, berkawan dengan kelompok orang-orang yang baik, mengembalikan hak-hak orang yang kita zalimi di samping terus bertaubat kepada Allah s.w.t. Semoga kehadiran tahun baru 2020 ini akan benar-benar menganugerahkan kita sebuah keazaman dan kekuatan untuk membangunkan jiwa tauhid dan kehambaan kepada Allah 'Azza wa Jalla hasil daripada muhasabah yang dilakukan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia.

Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walau sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي الأُوْيغُوْر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment