Friday, January 10, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 14 JAMADIL AWAL 1441 / 10 JANUARI 2020


KEMBALI SEMULA KEPADA ISLAM


الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا يُوَافِي نِعَمَهُ وَيُكَافِي مَزِيدَهُ. يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِي لِجَلَالِ وَجْهِكَ وَعَظِيمِ سُلْطَانِكَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةِ الْمُهْدَاةِ وَالنِّعْمَةِ الْمُسْدَاةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 


أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan daripada Allah s.w.t:

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ ۖ وَاصْبِرُوا ۚ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ ﴿٤٦﴾ [سورة الأنفال : ٤٦]

(Maksudnya): Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah yang akan menyebabkan kamu menjadi gentar serta hilang kekuatanmu, dan bersabarlah; sesungguhnya Allah bersama-sama orang-orang yang sabar.

Ayat ini ditujukan pada awalnya kepada orang-orang yang beriman di zaman Rasulullah s.a.w ketika memulakan dakwah Islam di semenanjung tanah Arab. Mereka dikepung oleh musuh-musuh Islam yang datang daripada segenap penjuru.

Allah s.w.t memerintahkan mereka supaya mereka bersatu dengan Islam yang terkandung di dalamnya perintah Allah dan Rasul-Nya s.a.w yang memberi kekuatan kepada mereka kehebatan dan kemuliaan. Allah menjanjikan kemenangan di dunia dan kemenangan di akhirat. Janji itu dibuktikan oleh Allah s.w.t apabila semua usaha yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam itu gagal walaupun mereka berpakat daripada semua agama ahli kitab dan agama musyrikin menentang Islam daripada segenap penjuru, timur barat utara dan selatan.

Bukan sahaja musuh-musuh itu tidak berjaya menghapuskan Islam, bahkan mengalahkan Islam. Mereka musnah dan kalah satu demi satu. Islam berkembang di seluruh pelusuk dunia, berlakunya kemenangan itu apabila orang-orang Islam benar-benar mentaati Allah dan Rasul-Nya. Apabila orang-orang Islam di zaman mutaakhir lemah pegangan agamanya, banyak meninggalkan ajaran Islam, mereka berkelahi sesama sendiri sehingga ada yang sanggup menjadi alat kepada musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan umatnya sendiri sehingga seluruh tanahair umat Islam dijajah oleh musuh. Berlakunya amaran Allah s.w.t sehingga hari ini orang Islam gagal untuk mencapai kemenangan, hilangnya kekuatan mereka setelah seratus tahun hilangnya kekuasaan pemerintahan Islam.

Walaupun Allah s.w.t tidak mengizinkan Islam dihapuskan oleh musuh-musuhnya, tetapi ingatlah bahawa kemuliaan umat Islam itu terletak kepada sejauh mana mereka berpegang dengan ajaran Islam, mereka mentaati Allah dan Rasul-Nya, mereka tidak mendapat kemuliaan dan kemenangan selagi mereka tidak kembali kepada Islam, petunjuk yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w dengan perintah Allah s.w.t.

Kita menyaksikan hari ini di hadapan mata kita apa yang telah diberi amaran oleh Rasulullah s.a.w:

يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ. [رواه أبو داود]

(Maksudnya): Umat-umat lain akan mengelilingi kamu laksana orang-orang mengelilingi hidangan yang lazat. Maka bertanya sahabat, adakah jumlah kita pada masa itu sedikit? Jawab Rasulullah, bahkan jumlah kamu ramai, tetapi kamu seperti buih yang dihanyut oleh air banjir. Allah menghilangkan kehebatan kamu yang ada di dalam hati musuh-musuh kamu dan Allah mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit Al-Wahnu. Lalu para sahabat bertanya, apakah Al-Wahnu itu, wahai Rasulullah? Jawab Rasulullah, terlalu kasihkan dunia dan takutkan mati.

Itulah yang akan dialami oleh umat Islam, mereka dimakan dan diratah oleh musuh-musuhnya seperti orang memakan makanan yang lazat dengan rakus dan bernafsu. Mereka kasihkan dunia sehingga lupakan hari akhirat dan takut kepada mati dengan menyerah diri kepada musuh. Berbeza dengan umat Islam di zaman awal. Mereka menakluk dan memerintah dunia serta menguasai harta benda dunia, mentadbir urusan dunia menjadi jambatan untuk akhirat. Harta yang melimpah ruah dicapai oleh umat Islam sehingga di zaman kemuncaknya tidak ada orang lagi yang mahu menerima zakat. Mereka mendapat pertolongan dengan harta benda dunia yang diberi oleh Allah s.w.t. Mereka membina kemajuan dunia yang disaksikan oleh seluruh pelusuk dunia.

Mereka jadikan dunia laksana bayang-bayang, makin dikejar makin lari. Kalau berhenti, berhentilah bayang itu. Dunia hanyalah bayang-bayang dan angan-angan kosong sementara waktu, yang kekal adalah hari akhirat. Allah memberi kepada mereka berjaya menakluk dunia dengan harta benda yang melimpah ruah. Mereka jadikan harta itu untuk menegakkan Islam dan menunaikan kebajikan untuk hari akhirat. Mereka merantau ke seluruh pelusuk dunia untuk menyebarkan agama Islam. Ada yang mati berdagang di negeri orang dan meninggalkan keluarga kerana menyebarkan Islam. Ada yang mati di medan peperangan kerana mempertahankan Islam. Mereka kasihkan mati kerana menegakkan Islam kerana menyedari bahawa mati kerana Islam itu adalah kebahagiaan dunia dan akhirat yang kekal abadi.

Kita menghadapi umat Islam yang meninggalkan ajaran Islam. Nafsunya besar, mendapat kekayaan laksana semut yang mati di dalam gula, membunuh diri sendiri dengan kekayaan itu berkelahi dan berperang dengan kekayaan itu. Mereka mengejar dunia sehingga lupakan hari akhirat. Mereka takut kepada mati kerana banyaknya dosa yang dilakukan. Mereka tidak mengambil peluang bertaubat kepada Allah s.w.t.

Oleh itu kita menyaksikan orang Islam dibunuh di sana sini, bukan sahaja mereka dihina, tanahair mereka dijajah dan musuh-musuh Islam meratah umat Islam di mana-mana sahaja seperti di Palestin, di Kashmir, di Xin Jiang, di Myanmar, di Afrika Tengah dan banyak lagi wilayah-wilayah orang Islam dibunuh oleh musuh-musuh Islam dan banyak orang Islam tidak mengambil tahu nasib saudara mereka yang disiksa dan dibunuh oleh musuh. Masing-masing leka dengan kehidupan dunia.

Nabi s.a.w memberi amaran di dalam sabdanya:

مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ. [رواه الطبراني]

(Maksudnya): Sesiapa yang tidak mengambil tahu perkara yang menimpa orang Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka.

Allah masih sayang kepada kita dan memberi masa kepada kita untuk bertaubat, peluang untuk kembali semula kepada Islam dengar sedar dan insaf. Barangsiapa yang kembali semula kepada Islam selamatlah dia dan barangsiapa yang lalai tidak ingat kepada Islam celakalah dia.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا وَرَابِطُوا وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٢٠٠﴾ [سورة آل عمران : ٢٠٠]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, (di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment