Friday, January 3, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 7 JAMADIL AWAL 1441 / 3 JANUARI 2020


MENGENALI MUSUH-MUSUH ISLAM DAN LANGKAH-LANGKAH MEREKA

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَانَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ، وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar peringatan dan amaran daripada Allah s.w.t:

وَلَا يَزَالُونَ يُقَاتِلُونَكُمْ حَتَّىٰ يَرُدُّوكُمْ عَن دِينِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوا ۚ [سورة البقرة : ٢١٧]

(Maksudnya): Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup.

Amaran ini benar-benar berlaku sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga hari ini. Tentangan terhadap Islam terus menerus dilakukan oleh semua kalangan yang bukan Islam yang bersifat permusuhan terhadap Islam. Bukan sahaja orang-orang musyrikin Makkah termasuk orang-orang Yahudi dan Nasrani, golongan ahli kitab yang lebih tahu berkenaan benarnya Rasulullah s.a.w. Adapun orang-orang musyrikin Makkah mengenali sangat dekat dengan Rasulullah s.a.w. Kerana sombong angkuh dan tidak ikhlas kepada Allah s.w.t, mereka tidak layak mendapat hidayah petunjuk daripada Allah s.w.t. Bukan sekadar itu, mereka menghalang perkembangan agama Islam dan kalau boleh mereka mahu menghapuskan agama Islam. Tetapi Allah s.w.t tidak mengizinkan cahaya agama-Nya dipadamkan sekali-kali sehingga hari kiamat.

Adapun umat Islam mestilah mengenali musuh-musuh mereka dan mengenali langkah-langkah musuh-musuh mereka supaya mereka jangan terpengaruh kerana yang lebih berbahaya adalah terpengaruh dengan tipu daya mereka melalui serangan pemikiran yang mengubahkan pemikiran kita dan fahaman kita terhadap Islam. Kalau dibunuh nyawa, kita mati syahid dan masuk syurga Kalau dibunuh akidah dan iman, kita mati kafir dan masuk neraka.

Maka serangan terhadap akidah, keimanan dan kepercayaan adalah lebih berbahaya daripada segala-galanya dengan cara mereka menipu dan menggoda umat Islam sedikit demi sedikit. Walaupun umat Islam itu tidak meninggalkan agama Islam, tetapi sudah cukup mereka meninggalkan ajaran Islam sedikit demi sedikit.

Kita menghadapi di zaman penjajahan yang bukan sahaja menakluk dan menjajah tanahair kita, tetapi yang lebih berbahaya mereka menakluk pemikiran dan pemahaman kita setelah mereka mengurung agama Islam di dalam masjid-masjid dan surau-surau serta di sekolah-sekolah agama sehingga cahaya Islam dikurung di kawasan itu sahaja. Mereka berusaha supaya orang Islam tidak faham agama mereka melalui serangan pemikiran yang sangat dahsyat, melalui media, melalui pendidikan dan pelajaran.

Di antara langkah yang paling berbahaya adalah menghapuskan huruf Arab di dalam bahasa umat Islam kerana beberapa bahasa umat Islam menggunakan huruf bahasa Arab untuk memudahkan mereka mempelajari agama Islam seperti bahsa Turki di Asia Tengah, bahasa Urdu di India, bahasa Farsi di Iran, bahasa Suwahili di Afrika dan bahasa Melayu di alam Melayu ini. Pengaruh Islam yang paling hebat adalah penggunaan bahasa-bahasa ini dengan huruf Arab bagi memudahkan orang Islam mempelajari agama Islam dengan bahasa masing-masing.

Kita telah menghadapi kesannya pada hari ini apabila tulisan huruf Arab ini berjaya dihapuskan atau dilupakan. Apa yang perlu kita sedar hari ini terdapat langkah-langkah untuk mengembalikan semula penggunaan huruf Arab ke dalam bahasa-bahasa umat Islam. Usaha ini ditentang oleh musuh-musuh Islam, termasuk di dalam negara kita adanya kumpulan yang menentang supaya huruf Jawi (Arab) kembali kepada bahasa Melayu yang digunakan oleh penduduk nusantara dan alam Melayu beratus-ratus juta umat Islam. Bahasa ini pernah mengilmukan umat Islam di rantau ini sejak beratus-ratus tahun.

Ini adalah langkah musuh Islam yang telah dilakukan pada hari ini. Umat Islam tidak seharusnya membiarkan usaha-usaha yang jahat yang dilakukan oleh musuh-musuh Islam ini. Mereka wajib mempertahankan agama mereka, mempertahankan ilmu agama mereka dan mempertahankan budaya Islam yang diwarisi oleh nenek moyang mereka yang telah mendapat hidayah daripada Allah s.w.t. Jangan kita tidak mengambil tahu hal-hal yang seperti ini kerana sabda Rasulullah s.a.w:

مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ. [رواه الطبراني]

(Maksudnya): Sesiapa yang tidak mengambil tahu perkara yang menimpa orang Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تُطِيعُوا فَرِيقًا مِّنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ ﴿١٠٠﴾ [سورة آل عمران : ١٠٠]

(Maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment