Friday, January 17, 2020

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 21 JAMADIL AWAL 1441 / 17 JANUARI 2020


SIMPULAN TALI YANG TEGUH


الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ وَلَمْ يَجْعَل لَّهُ عِوَجًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِے. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، نَبِيِّ الرَّحْمَة وَشَفِيعِ الْأُمَّةِ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ وَنَصَرَهُ وَوَلَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita memahami petunjuk Allah s.w.t yang berfirman:

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ ۖ قَد تَّبَيَّنَ الرُّشْدُ مِنَ الْغَيِّ ۚ فَمَن يَكْفُرْ بِالطَّاغُوتِ وَيُؤْمِن بِاللَّهِ فَقَدِ اسْتَمْسَكَ بِالْعُرْوَةِ الْوُثْقَىٰ لَا انفِصَامَ لَهَا ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٥٦﴾ [سورة البقرة : ٢٥٦] 

(Maksudnya): Tidak ada paksaan dalam agama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Sebab turun ayat ini berkait dengan para sahabat dalam kalangan Ansar radiAllahu 'anhum yang telah beriman dan yakin kepada ajaran Islam, mereka risau terhadap anak-anak mereka yang belum Islam. Lalu mereka meminta izin daripada Rasulullah s.a.w untuk memaksa anak-anak mereka masuk Islam. Maka Allah menurunkan ayat yang dibaca tadi, menyatakan bahawa iman itu mestilah dengan hati yang ikhlas kerana Allah s.w.t, bukan berpura-pura dan menunjuk-nunjuk, tidak boleh dengan sikap dan sifat yang bohong, mengaku dengan lidahnya Islam tetapi hatinya tidak percaya kepada Islam. Hanya mereka yang layak mendapat petunjuk kerana menggunakan akalnya dengan betul sahaja melihat kebenaran agama Islam mendapat hidayah daripada Allah s.w.t.

Allah menegaskan konsep tidak ada paksaan dalam menganut agama Islam, kerana memaksa orang masuk Islam itu melahirkan ramainya orang-orang munafik yang berpura-pura dengan Islam. Kita mahu orang Islam yang benar ikhlas kerana Allah s.w.t. Buktikan kebaikan Islam itu, menunjukkan kebenarannya, hukumnya yang adil, ajarannya membawa kebaikan kepada manusia dan menolak segala keburukan. Manusia yang menggunakan akalnya yang betul berfikir dengan mengkaji pasti mendapat hidayah daripada Allah s.w.t. Allah menjanjikan:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ ﴿٦٩﴾ [سورة العنکبوت : ٦٩]

(Maksudnya): Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

Orang-orang yang benar-benar mahu mencari kebenaran dengan hati yang ikhlas pasti mendapat hidayah daripada Allah s.w.t. Orang yang tidak ikhlas walaupun cerdik pandai seperti Iblis dan golongan ahli kitab tidak mendapat hidayah daripada Allah. Iblis yang pernah melihat syurga dan neraka, bercakap dengan Allah s.w.t, tetapi sifat sombong yang ada di dalam dirinya melawan Allah s.w.t tidak mendapat hidayah daripada Allah.

Berapa banyak ulamak ahli kitab daripada kalangan paderi-paderi dan pendita-pendita yang membaca berita kelahiran Nabi Muhammad s.a.w di dalam kitab-kitab suci mereka. Begitu juga sami-sami berbagai-bagai agama menyaksikan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w di dalam kitab-kitab suci mereka, kerana mereka mengejar dunia serta tidak yakin kepada hari akhirat dan tidak yakin kepada Allah s.w.t, mereka tidak layak menjadi orang Islam dan tidak mendapat hidayah daripada Allah s.w.t.

Di sana orang yang dilihat begitu bodoh, disebut di dalam hadits, Allah Ta'ala kagum orang yang ditawan di medan perang sebelum menjadi Islam, mereka melawan Islam dengan sekeras-kerasnya. Mereka ditawan, dirantai, digari dan diikat menjadi tawanan Islam kerana melawan Islam disebabkan kejahilan dan kebebalannya, tetapi apabila mereka melihat baiknya Islam, sucinya Islam dan mulianya Islam, mereka yang melawan Islam ini berubah menjadi orang-orang Islam yang paling taat dan setia serta yang berjihad dan berjuang menegakkan agama Allah mengorbankan harta dan jiwa raga mereka menegakkan Islam.

Itulah petunjuk daripada Allah s.w.t kerana ajaran Islam itu nyata dalil-dalil dan hujjah-hujjahnya. Sekiranya dikaji oleh manusia dengan hati yang ikhlas, apa lagi melihat hukum syariatnya dilaksanakan dengan sebaik-baiknya menyebabkan berduyun-duyun mereka masuk Islam dengan jumlah yang ramai dan yang paling ramai daripada kalangan mereka adalah bukan Arab yang dianggap buta Al-Quran (tidak mengetahui makna dan maksudnya), tetapi menyaksikan kehebatan hukum Islam dilaksanakan di hadapan mereka serta menyaksikan sifat dan akhlak mulia yang ditunjukkan Islam diamalkan di hadapan mereka menyebabkan orang seperti itu boleh masuk Islam, mendapat hidayah daripada Allah s.w.t.

Islam itu mestilah diikat kepercayaannya sebagaimana diikat tali yang kuat disimpul dengan menolak segala yang lain daripada Allah dan menolak tuhan-tuhan yang lain daripada Allah, menolak ajaran yang lain daripada Allah, menolak hukum yang lain daripada Allah dan menolak petunjuk yang lain daripada Allah. Hanya percaya kepada Allah sahaja, Tuhan yang Maha Esa, yang Maha Suci daripada segala sifat kekurangan, adil hukum-Nya, bijak segala ajaran-Nya, menerima Allah sahaja dengan ucapan La ilaha illAllah (tidak ada ilah tidak ada yang dipuja yang disembah yang dikagum yang lain daripada Allah, melainkan Allah sahaja).

Itulah simpulan tali yang teguh bila seseorang itu mengucap dengan hati yang yakin, percaya kepada makna dan maksud, percaya kepada tujuannya, bukan lidah sahaja yang menyebut kuat-kuat tetapi hatinya longgar, percaya dengan ilmu yang sebenar menjadi satu keyakinan yang kuat, tidak berganjak melainkan dengan Islam dan mati bersama dengan Islam.

Disebut di dalam hadits, seorang pendita yahudi, 'Abdullah bin Salam r.a, setelah beliau masuk ke dalam agama Islam, apabila menyaksikan wajah Nabi s.a.w dan berhujjah, memberitahu beliau bermimpi memanjat satu tiang. Ada orang yang mengarahkannya memanjat tiang itu. Di hujung tiang ada simpulan tali yang kuat. Beliau diarah supaya panjat dan pegang simpulan tali itu kuat-kuat dan jangan lepas sekali-kali. Beliau memanjat dengan bersungguh dan memegang simpulan tali yang kuat itu. Nabi s.a.w menta'birkan mimpinya, engkau menjadi orang Islam dan engkau masuk syurga kerana mati dengan simpulan tali yang teguh itu dan tidak berganjak dengan ajaran Islam.

Itulah dia Islam, bukan dengan mengucap main-main, bukan berzikir main-main, bukan menyanyikan zikir tanpa masuk ke dalam hati dan kepercayaannya. Di sana ramai manusia yang masuk ke syurga dengan La ilaha illAllah dengan keyakinannya mengakhiri ucapan kepercayaan hanya kepada Allah dan menolak yang lain daripada Allah.

Di sinilah diminta supaya diazan dan diiqamah pada telinga bayi-bayi yang baharu dilahirkan. Yang penting dalam azan dan iqamah itu adalah Asyhadu an la ilaha illAllah, diperdengarkan kepada anak yang tidak tahu apa-apa kerana berkatnya kalimah itu dan diminta mentalkinkan mereka yang dalam keadaan nazak:

لَقِّنُوا مَوْتَاكُمْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ. [رواه مسلم]

(Maksudnya): Ucapkan kepada orang yang menghadapi kematian itu kalimah La ilaha illAllah.

Tujuannya bagi mendapat kelebihan:

مَنْ كَانَ آخِرُ كَلَامِهِ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ دَخَلَ الْجَنَّةَ. [رواه ابو داود]

(Maksudnya): Sesiapa yang mengakhiri kalamnya dengan La ilaha illAllah akan dimasukkan ke syurga.


أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾ [سورة العصر : ٣ - ١] 

(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment