Friday, January 17, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 21 JAMADIL AWAL 1441 / 17 JANUARI 2020


KELEBIHAN MENGHAFAZ AL-QURAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ، الْحَمْدُ لِلَّهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِينُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ، وَنَعُوذُ بِاللهِ مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا، وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلَا مُضِلَّ لَهُ، وَمَنْ يُضْلِلْ فَلَا هَادِيَ لَهُ
أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. 
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلِّمْ تَسْلِيْمًا كَثِيْرًا.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ. 
قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْعَزِيزِ، وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ ﴿٤٠﴾

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?" (Surah Al-Qamar ayat 40)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru dan berpesan kepada sidang jamaah sekalian, marilah kita sama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t, dengan melaksanakan segala titah perintah-Nya, dan menjauhi segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diminta untuk menumpukan sepenuh perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan, mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia. Bersempena dengan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Perak, mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Kelebihan Menghafaz Al-Quran".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sejarah hafazan Al-Quran bermula pada bulan Ramadan ketika Rasulullah s.a.w beribadah di gua Hira'. Baginda menerima wahyu Al-Quran daripada Allah s.w.t melalui perantaraan malaikat Jibril a.s. Firman Allah s.w.t dalam Surah At_Takwir ayat 19 hingga 21:

إِنَّهُ لَقَوْلُ رَسُولٍ كَرِيمٍ ﴿١٩﴾ ذِي قُوَّةٍ عِندَ ذِي الْعَرْشِ مَكِينٍ ﴿٢٠﴾ مُّطَاعٍ ثَمَّ أَمِينٍ ﴿٢١﴾

Maksudnya: "Sebenarnya Al-Quran itu, sungguh-sungguh Kalamullah (yang disampaikan oleh Jibril) utusan yang mulia, yang kuat gagah, lagi berkedudukan tinggi di sisi Allah yang mempunyai Arasy, yang ditaati di sana (dalam kalangan malaikat), lagi dipercayai". (Surah At-Takwir ayat 19-21)

Semasa penurunan ayat Al-Quran, Rasulullah s.a.w bersungguh-sungguh menghafaz dan mengulang-ulang bersama Jibril a.s. Ini kerana, baginda khuatir tidak dapat menghafaz Al-Quran dengan sempurna. Lalu Allah s.w.t menegur baginda supaya mendengar bacaan Jibril dengan baik sebelum mula menghafaz. Allah sudah menjamin akan menetapkan Al-Quran dalam dada Rasulullah s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam Surah Taha ayat 114:

فَتَعَالَى اللَّهُ الْمَلِكُ الْحَقُّ ۗ وَلَا تَعْجَلْ بِالْقُرْآنِ مِن قَبْلِ أَن يُقْضَىٰ إِلَيْكَ وَحْيُهُ ۖ وَقُل رَّبِّ زِدْنِي عِلْمًا ﴿١١٤﴾

Maksudnya: "Maka Maha Tinggilah Allah, yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca Al-Quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: "Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku". (Surah Taha ayat 114)

Rasulullah s.a.w berusaha agar berjaya menghafaz Al-Quran seperti ia diturunkan. Baginda membaca dan mentadabbur Al-Quran dalam solat pada setiap malam. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Muzammil ayat 1 hingga 4:

يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ﴿١﴾ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٢﴾ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ﴿٣﴾ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا ﴿٤﴾

Maksudnya: "Wahai orang yang berselimut! Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam, atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan tartil". (Surah Al-Muzammil ayat 1-4)

Walaupun Al-Quran terpahat kukuh di hati baginda dan para sahabat, Rasulullah s.a.w tetap menyuruh para sahabat menulis Al-Quran. Mereka menulis di atas pelepah-pelepah tamar, kulit binatang, kayu dan sebagainya. Baginda juga mempunyai sahabat yang menjadi penulis wahyu seperti Khulafaur Rasyidin, Saiyidina Mu'awiyah bin Abu Sufian, Saiyidina Zaid bin Tsabit dan lain-lain, radiAllahu 'anhum ajma'in.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Begitulah serba sedikit sejarah, bagaimana Al-Quran dihafaz oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat. Hayatilah kesungguhan mereka memelihara Al-Quran dengan cara mengumpulnya, membaca dan menghafaznya, serta mengamalkam isi kandungannya. Mungkin terlintas di fikiran kita, siapakah sebenarnya yang layak menghafaz Al-Quran? Sebagai orang Islam, tidak dapat tidak kita mesti menghafaz sekurang-kurangnya Surah Al-Fatihah yang merupakan rukun qauli yang wajib dibaca di dalam solat. Namun, adakah ia memadai? Adakah hafazan Al-Quran hanya untuk mereka yang belajar di pusat tahfiz sahaja? Sudah tentu tidak. Siapa sahaja dalam kalangan orang beriman layak untuk menghafaz Al-Quran. Allah s.w.t telah berfirman dalam Al-Quran:

وَلَقَدْ يَسَّرْنَا الْقُرْآنَ لِلذِّكْرِ فَهَلْ مِن مُّدَّكِرٍ ﴿١٧﴾

Maksudnya: "Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?" (Surah Al-Qamar ayat 17)

Rasulullah s.a.w juga banyak memberikan galakan untuk kita menghafaz Al-Quran. Antaranya hadits daripada Saiyidina 'Uqbah bin 'Amir r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ وَعَمِلَ بِمَا فِيهِ أُلْبِسَ وَالِدَاهُ تَاجًا يَوْمَ الْقِيَامَةِ ضَوْءُهُ أَحْسَنُ مِنْ ضَوْءِ الشَّمْسِ فِي بُيُوتِ الدُّنْيَا لَوْ كَانَتْ فِيكُمْ فَمَا ظَنُّكُمْ بِالَّذِي عَمِلَ بِهَذَا

Maksudnya: "Sesiapa yang membaca Al-Quran dan beramal dengan apa-apa yang terkandung di dalamnya, maka pada hari kiamat kedua-dua ibu-bapanya akan dipakaikan mahkota, cahaya mahkota itu lebih terang daripada cahaya matahari jika matahari itu berada dalam rumah-rumah kamu di dunia ini. Bayangkanlah bagaimana pula keadaan orang yang dirinya sendiri beramal dengan Al-Quran". (Hadits riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Berdasarkan dalil-dalil yang disebutkan tadi, diharap ianya dapat meningkatkan keinginan kita untuk menghafaz Al-Quran. Luangkanlah masa walaupun sedikit, sekurang-kurangnya membaca beberapa petikan ayat Al-Quran dalam sehari.

Masa lapang yang Allah kurniakan, gunakanlah untuk menghafaz surah-surah yang menjadi kelaziman seperti surah-surah dalam juzu' 30, Surah Al-Mulk, Surah Yaasin, Surah Al-Insan, Surah Al-Waaqi'ah dan sebagainya. Galakkanlah anak-anak kita membaca Al-Quran dan mengkhatamkannya selalu dengan harapan mereka mudah untuk menghafaznya kelak.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dr. Yusuf Al-Qardawi ada berkata:

"Seluruh kaum muslimin sudah tahu sejak zaman para sahabat lagi, bahawa keberkatan Al-Quran bukanlah berpunca daripada membawa, menggantung dan menghias rumah dengannya. Keberkatan Al-Quran juga bukan pada memohon penawar dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibacakan oleh syeikh atau orang yang baik, menulisnya pada pinggan, kemudian memadam dan meminum airnya. Sesungguhnya keberkatan Al-Quran yang sebenar adalah apabila kita mengikuti Al-Quran dan beramal dengan isi kandungannya".

Ini yang sewajarnya kita semua muhasabah. Hari ini, sebahagian daripada kita lebih gemar mendengar dan menghafaz lagu nyanyian artis daripada alunan Al-Quran. Masuk sahaja kereta, terus memasang radio dan mendengar lagu-lagu. Dari bangun tidur hinggalah ke saat mahu tidur semula, telinga masih lagi mendengarkan lagu-lagu. Begitu jauh sekali kita daripada Al-Quran.

Berapa ramai pula yang mengalunkan bacaan Al-Quran, namun akhlaknya jauh dari setiap patah ayat yang dibaca. Berapa ramai yang berhujjah dan berslogan dengan Al-Quran pada aspek yang menguntungkan hidupnya, namun melupakan maksud ayat Al-Quran yang memandu sikap hidupnya. Tulisan Al-Quran hanya terpapar pada mashaf, sedangkan isi kandungannya langsung tidak terlihat pada percakapan dan tingkah laku.

Sedarlah wahai kaum muslimin! Hanya Al-Quran yang dapat menghidupkan hati yang mati. Jangan biar hati kita berselaput dengan tumpukan hitam dosa, sehingga menjadi penghalang Al-Quran berfungsi di hati. Hati kita sendiri perlu terlebih dahulu mencintai Al-Quran, tanpa sebarang tapi, tanpa sebarang nanti.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama pada hari ini, dan bersempena Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran peringkat Negeri Perak, mimbar berharap agar pembudayaan Al-Quran dalam kehidupan, tradisi keilmuan dan semarak cintakan Nabi s.a.w, sentiasa subur dan berkembang dalam kalangan umat Islam, khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan ini. Hayatilah firman Allah Ta'ala:

ثُمَّ أَوْرَثْنَا الْكِتَابَ الَّذِينَ اصْطَفَيْنَا مِنْ عِبَادِنَا ۖ فَمِنْهُمْ ظَالِمٌ لِّنَفْسِهِ وَمِنْهُم مُّقْتَصِدٌ وَمِنْهُمْ سَابِقٌ بِالْخَيْرَاتِ بِإِذْنِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الْفَضْلُ الْكَبِيرُ ﴿٣٢﴾

Maksudnya: "Kemudian Kami jadikan Al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata)". (Surah Fatir ayat 32)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia.

Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walau sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي الأُوْيغُوْر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, rahmatilah kami dengan keberkatan Al-Quran, jadikanlah Al-Quran itu sebagai pemimpin, cahaya, petunjuk dan sumber rahmat untuk kami. Ya Allah, ingatkanlah kamu tentang apa yang kami dilupakan daripada Al-Quran dan ajarkanlah kami tentang apa yang kami jahil tentang isi kandungan Al-Quran. Kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu malam dan siang, dan jadikanlah Al-Quran itu hujjah untuk kebaikan kami, wahai Tuhan sekalian alam.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment