Friday, January 10, 2020

KHUTBAH JUMAAT - 14 JAMADIL AWAL 1441 / 10 JANUARI 2020


KEUTAMAAN AL-QURAN

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّه، الْحَمْدُ لِلَّهِ الْذِي عَلَّمَ الْإِنْسَانَ مَا لَمْ يَعْلَمْ. 
أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمَلِكُ الْقُدُّوْسُ الْعَزِيْزِ الْعَلَّامِ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا وَمَوْلَانَا مُحَمَّدًا خَيْرِ الْأَنَامِ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، صَلَاةً تَمْلَأُ الْأَكْوَانَ مِنْ يَوْمِنَا هَذَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامِ، وَهُوَ الَّذِيْ أَنْزَلَ اللهُ الْقُرْآنَ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَان.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَاعِبَادَ اللهِ، أُوْصِيْنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِتَقْوَى اللهَ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
قَالَ اللهُ تَعَالَى فِى كِتَابِهِ الْكَرِيْمِ، إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Saya menyeru dan berpesan kepada sidang jamaah, agar kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dalam diri kita dengan menghayati seluruh syariat Islam, di samping taat mengerjakan segala yang diperintahkan dan menghindari segala larangan-Nya. Semoga hidup kita akan sentiasa dirahmati dan diberkati di dunia ini dan berbahagia di akhirat nanti. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Keutamaan Al-Quran".

Sidang Jumaat sekalian,

Kita sekarang berada dalam era digital. Zaman serba canggih. Hampir semua aktiviti kita selalunya berteman dengan mesin. Kebanyakan orang yang tinggal di dunia khususnya di negara Malaysia pada hari ini boleh mengakses maklumat pada bila-bila masa. Tidak perlu menunggu sesiapa bercakap dengan mulut, atau menunggu media konvensional seperti televisyen, radio, surat khabar dan lain-lain untuk menyiarkan atau memberitakan sesuatu. Sekarang maklumat yang cukup mudah diperolehi melalui telefon bimbit melalui rangkaian internet yang boleh diakses bila-bila masa, di mana sahaja.

Dengan telefon bimbit, maklumat boleh dikemaskini setiap saat. Ramai di antara kita yang merasa sedih kerana kehilangan maklumat dari telefon bimbit dan tak kurang juga yang takut tertinggal sesuatu yang sentiasa dan terkini, malah telefon bimbit sentiasa di tangan dan diperiksa sekerap yang mungkin, hanya untuk mengakses maklumat, bermain permainan atau melayari media sosial. Tidak kira sama ada menunggu dalam pengangkutan awam, ketika ceramah, ketika belajar di kampus, ketika di pejabat, ketika sedang melakukan rutin kerja, sentiasa telefon bimbit di tangan kita. Malah ketika khatib sedang berkhutbah juga ramai dalam kalangan kita yang masih tidak melepaskan telefon bimbit di tangan sedangkan mereka tahu perbuatan itu akan menghilangkan pahala Jumaat mereka. Seperti sabda Rasulullah s.a.w:

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: "Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Sidang Jumaat sekalian,

Dengan begitu banyak kita mengakses maklumat, mari kita muhasabah diri. Marilah kita bertanya kepada diri kita secara peribadi, waktu kita sering leka menghadap telefon bimbit di luar keperluan asas keluarga dan pejabat, apakah seimbang atau sekurang-kurang sama dengan masa yang kita ambil untuk mengakses maklumat dari Allah s.w.t yang menciptakan kita?

Dalam sehari, berapa jam kita menghadap telefon bimbit kita, dan berapakah jam kita membuka Al-Quran? Sekiranya maklumat tidak penting, atau maklumat buruk yang selalu kita hadapi sepanjang hari, tidaklah menghairankan jika kita semakin jauh dari agama. Kerana, sikap yang kita ambil, contoh yang kita tiru, tidak berasal daripada Al-Quran.

Bagaimanakah kita hendak mendapat keberkatan Al-Quran jika membuka Al-Quran pun jarang-jarang atau tidak pernah? Adakah idola-idola yang selalu kita ikuti berita tentang mereka, suatu hari dia mati, akan peduli dengan kita? Jika jawapannya adalah 'tidak', maka kita harus mengakses maklumat yang akan menjadi syafa'at bagi kita pada Hari Penghakiman, iaitu Al-Quranul Karim. Saiyidina Abu Umamah Al-Bahili mengatakan, dia telah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: "Bacalah Al-Quran. Sesungguhnya besok pada hari kiamat, dia akan menjadi pemberi syafa'at (penolong) bagi pembacanya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Hadirin yang dihormati,

Di dalam hadits, Rasulullah s.a.w sangat banyak menyebutkan keutamaan Al-Quran. Di antaranya adalah:

مَنْ قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا لَا أَقُولُ الم حَرْفٌ وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: "Barangsiapa yang membaca satu huruf sahaja dari Al-Quran, maka baginya satu kebaikan dan setiap satu kebaikan, akan dibalas oleh Allah sepuluh kebaikan. Aku tidak mengatakan Alim Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif dikira satu huruf, Lam dikira satu huruf, dan Mim dikira satu huruf". (Hadits riwayat Imam Termidzi)

Jadi para hadirin sekalian, jika Alif Lam Mim dikira tiga huruf, maka tiga huruf tersebut masing-masing dikalikan 10 menjadi 30 balasan pahala kebaikan yang akan diberikan Allah kepada orang yang membaca Al-Quran. Itu baru Alif Lam Mim sahaja. Tentu hal ini tidak sama dengan apa yang kita perolehi ketika melayari media sosial di telefon. Mengakses media sosial bukanlah tidak dibenarkan, malah tidak haram hukumnya, selagi mana tidak ada maksiat di dalamnya. Tetapi jangan sampai terlalu asyik mengakses media sosial, sehingga kita melupakan terus aktiviti membaca Al-Quran.

Sidang hadirin,

Dalam sebuah hadits, Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ شَغَلَهُ الْقُرْآنُ عَنْ مَسْأَلَتِيْ أَعْطَيْتُهُ أَفْضَلَ مَا أُعْطِىْ السَّئِلِيْنَ

Maksudnya: "Barangsiapa yang selalu sibuk membaca Al-Quran sampai ia tidak sempat meminta (berdoa) kepada-Ku, Aku akan memberikan kepadanya pemberian terbaik sebagaimana yang Aku berikan kepada orang-orang yang pernah meminta". (Hadits riwayat Imam Termidzi)

Begitu juga dalam sebuah lagi hadits,

وَفَضْلُ كَلَامِ اللَّهِ عَلَى سَائِرِ الْكَلَامِ كَفَضْلِ اللَّهِ عَلَى خَلْقِهِ

Maksudnya: "Keutamaan Al-Quran dibandingkan dengan semua perkataan itu bagaikan keutamaan Allah dibandingkan dengan semua makhluknya". (Hadits riwayat Imam Termidzi)

Dengan demikian ketahuilah, apabila kita ingin mendapatkan keutamaan Al-Quran yang setinggi-tingginya, maka kita perlulah membaca Al-Quran. Keutamaan bacaan Al-Quran tidak akan setanding dengan bacaan mana-mana pun, termasuk yang tersebar di media sosial. Oleh kerana itu, mari kita mulai memperbaiki diri kita. Jangan sampai kita merasa tidak punya waktu untuk membaca Al-Quran tetapi kita punya waktu yang lama untuk bermedia sosial.

Kita sekarang sudah tidak punya alasan untuk merasa susah membawa mashaf Al-Quran, kerana di dalam telefon bimbit sekarang kita boleh memasang aplikasi mashaf Al-Quran. Sabda Rasulullah s.a.w:

إِنَّ الَّذِي لَيْسَ فِي جَوْفِهِ شَيْءٌ مِنْ الْقُرْآنِ كَالْبَيْتِ الْخَرِبِ

Maksudnya: "Orang yang di dalam tubuhnya tidak ada sama sekali Al-Quran, ia bagaikan rumah yang rosak". (Hadits riwayat Imam Termidzi)

Hadirin yang dirahmati Allah,

Berapa banyakkah kita digalakkan membaca Al-Quran dalam sebulan? Untuk menjawab soalan ini, mari kita hayati sebuah hadits Rasulullah s.a.w:

يَا رَسُولَ اللهِ، فِي كَمْ أَخْتِمُ الْقُرْآنَ؟ قَالَ: اخْتِمْهُ فِي كُلِّ شَهْرٍ، قُلْتُ: إِنِّي أَطِيقُ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: اخْتِمْهُ فِي خَمْسٍ وَعِشْرِيْنَ، قُلْتُ: إِنِّي أَطِيقُ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: اخْتِمْهُ فِي  خَمْسَ عَشَرَةٌ، قُلْتُ: إِنِّي أَطِيقُ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: اخْتِمْهُ فِي عَشْرٍ، قَالَ: إِنِّي أَطِيقُ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: اخْتِمْهُ فِي خَمْسٍ، قَالَ: إِنِّي أَطِيقُ أَفْضَلَ مِنْ ذَلِكَ، قَالَ: فَمَا رَخَّصَ لِي.

Maksudnya: "Ya Rasulullah, sebaik-baik dalam sebulan berapa kali saya perlu mengkhatamkan Al-Quran? Rasulullah menjawab, khatamkan satu kali dalam sebulan. Aku kembali bertanya: Saya khatam melebihi satu kali itu, ya Rasulullah. Beliau menjawab, khatamkan dalam 25 hari. Saya masih boleh lebih dari itu. Khatamkan dalam 15 hari. Saya masih mampu lebih dari itu. Khatamkan dalam 10 hari. Saya masih kuat lebih dari itu. Khatamkan dalam 5 hari. Saya masih kuat lebih dari itu ya Rasulullah. Kemudian setelah itu aku menyatakan mampu mengkhatamkan Al-Quran kurang dari 5 hari, Rasulullah tidak memberikan keringanan lebih lanjut". (Hadits riwayat Imam Nasa'ie dalam Sunan Al-Kubra)

Sebenarnya, setiap orang perlu membaca Al-Quran sekali khatam dalam sebulan. Ini bermaksud jika dikira, maka setiap hari kita hendaklah membaca Al-Quran paling tidak 1 juzuk. Satu juzuk terdapat 10 helai yang bersamaan 20 muka surat. Kalau dibahagi setiap kali selepas solat, kita hanya perlu membaca 2 helai atau 4 halaman Al-Quran sahaja. Bagi orang yang sudah lancar, mungkin tidak sampai 5 minit sudah selesai. Bagi yang masih lambat, bacaannya mungkin memakan masa sekitar 10 minit.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Mari kita menabung untuk kepentingan peribadi kita sebagai bekal akhirat, dengan meluangkan waktu 5 sampai 10 minit sahaja dari 24 jam sehari yang diberikan Allah sebagai persediaan hidup kita di akhirat kelak.

Semoga kita dan keluarga kita termasuk orang yang diberi pertolongan oleh Allah s.w.t untuk boleh menjalankan ibadah membaca Al-Quran, sesuai tuntutan syariat sehingga kita tergolong dalam kalangan orang yang bertaqwa, kelak kita semua dapat pulang bertemu Allah dalam keadaan husnul khatimah, amin.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia.

Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walau sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي الأُوْيغُوْر وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment