Thursday, December 26, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 30 RABI'UL AKHIR 1441 / 27 DISEMBER 2019


KESALAHAN JENAYAH SYARIAH BERKAITAN MARUAH DIRI

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا ﴿٢١﴾

Maksudnya: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)". (Surah Al-Ahzab ayat 21)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah, 

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kaum muslimin sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah s.w.t, dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diminta agar menumpukan sepenuh perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita tergolong sebagai hamba yang baik, beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Kesalahan Jenayah Syariah Berkaitan Maruah Diri".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tanggungjawab manusia sebagai khalifah di muka bumi adalah meletakkan Islam di tempat yang tertinggi sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah s.w.t. Allah s.w.t menciptakan manusia sebagai makhluk yang paling berharga dan mulia di permukaan bumi ini. Kemuliaan manusia ini haruslah dijaga daripada hal-hal yang boleh merosakkannya, sama ada perbuatan yang dilakukan oleh diri sendiri, ataupun yang dilakukan oleh orang lain. Rasulullah s.a.w memerintahkan umatnya untuk selalu menjaga kehormatan diri. Sabda Nabi s.a.w:

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ عَبْدَهُ الْمُؤْمِنَ الْفَقِيرَ الْمُتَعَفِّفَ أَبَا الْعِيَالِ

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah s.w.t senang dengan hamba-Nya yang mukmin dan faqir namun tetap menjaga kehormatan dirinya serta menanggung nafkah keluarganya". (Hadits riwayat Imam Ibnu Majah)

Maruah ialah budi pekerti mulia dan tingkah laku yang baik berdasarkan prinsip-prinsip Islam. Dalam erti kata lain, maruah adalah usaha memelihara diri daripada melakukan larangan Allah s.w.t dan perkara-perkara yang boleh mencemarkan kehormatan diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Salah satu di antara maqasid atau matlamat syariat ialah menjaga keturunan. Ia sangat penting untuk membentuk masyarakat yang sihat, produktif dan berkesan. Keturunan setiap manusia wajib dipelihara, bagi menjaga kesejahteraan dan stabilan sistem sosial dalam masyarakat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Contoh yang pertama ialah cara berpakaian. Seorang muslim hendaklah menutup aurat yakni tidak ketat dan tidak jarang serta berpakaian kemas dan bersih. Allah s.w.t berfirman dalam Surah An-Nur ayat 31:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ... ﴿٣١﴾

Maksudnya: "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka...".

Berdasarkan kepada ayat di atas, jelaslah bahawa Islam adalah agama yang mementingkan maruah diri. Islam telah menggariskan beberapa panduan, khususnya bagi wanita supaya menjaga aurat daripada terjatuh ke lembah perzinaan demi keselamatan dan kebahagiaan hidup mereka di dunia dan akhirat.

Selain itu juga, seorang muslim seharusnya berpakaian yang tidak mengandungi lambang, gambar dan tulisan yang dilarang dalam Islam. Hal ini kerana, perbuatan memakai sesuatu lambang, gambar atau tulisan yang dilarang dalam Islam akan menyebabkan timbulnya fitnah daripada masyarakat awam, dan dalam masa yang sama menimbulkan tanggapan negatif terhadap si pemakai.

Tambahan pula, terhadap hukuman yang telah dikuatkuasakan di bawan Seksyen 56 Enakmen Jenayah Syariah (Perak) 1992, bagi kesalahan mendedahkan tubuh di tempat awam dan jika dilihat tafsirannya, adalah seseorang perempuan yang mendedahkan mana-mana bahagian tubuhnya yang menimbulkan ghairah di mana-mana tempat awam adalah melakukan suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Contoh yang kedua adalah sengaja melibatkan diri dalam perkara-perkara mungkar dan maksiat, seperti khalwat dan perzinaan. Perbuatan ini boleh melumpuhkan maruah umat Islam. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nur ayat 2:

الزَّانِيَةُ وَالزَّانِي فَاجْلِدُوا كُلَّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا مِائَةَ جَلْدَةٍ ۖ وَلَا تَأْخُذْكُم بِهِمَا رَأْفَةٌ فِي دِينِ اللَّهِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ ۖ وَلْيَشْهَدْ عَذَابَهُمَا طَائِفَةٌ مِّنَ الْمُؤْمِنِينَ ﴿٢﴾

Maksudnya: "Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman".

Bagi menghalang zina daripada berlaku, Islam telah mengharamkan perbuatan-perbuatan mukaddimah zina yang boleh membawa ke arah perzinaan. Perbuatan khalwat adalah kesalahan Jenayah Syariah yang paling kerap berlaku di Malaysia berbanding kesalahan Jenayah Syariah yang lain. Penangkapan para pesalah khalwat seringkali dilaporkan oleh media elektronik dan media cetak. Masih ingatkah kita kepada sabda Nabi s.a.w:

لَا يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلَّا ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَان

Maksudnya: "Janganlah salah seorang dari kalian berkhalwat dengan seorang wanita kerana sesungguhnya syaitan menjadi orang ketiga di antara mereka berdua". (Hadits riwayat Imam Termidzi)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Orang yang mempunyai iman dalam hati sentiasa menjaga maruah dan harga dirinya. Selain itu, dia juga sentiasa menjaga maruah keluarga, agama, bangsa dan tanahairnya daripada dihina dan dijajah. Bimbingan dan didikan akidah, ibadah dan akhlak mestilah dilakukan sejak dari kecil, dan berterusan hingga dewasa. Keimanan dan akhlak mendapat kedudukan yang tinggi dalam Islam. Bahkan Nabi Muhammad s.a.w sendiri diutuskan untuk menyempurnakan akhlak. Sabda Nabi s.a.w:

إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ حُسْنَ الْأَخْلَاقِ

Maksudnya: "Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia". (Riwayat Imam Ahmad)

Menurut Imam Al-Ghazali, manusia ibarat sebatang pokok. Akarnya adalah akidah, batangnya kefarduan, daun-daunnya amalan sunat, maka buah atau batangnya itulah yang dikatakan akhlak. Sebab itulah manusia yang berakhlak dianggap orang yang menyempurnakan agama kerana akhlak melambangkan keindahan Islam.

Diceritakan oleh Saiyidina 'Abdullah bin 'Umar radiAllahu 'anhuma, pada suatu hari sahabat bertanya kepada Rasulullah s.a.w:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ الْمُؤْمِنِينَ أَفْضَلُ قَالَ أَحْسَنُهُمْ خُلُقًا

Maksudnya: "Wahai Rasulullah, orang mukmin yang manakah yang paling baik? Baginda menjawab: Orang yang paling baik dalam kalangan kamu ialah orang yang paling baik akhlaknya". (Hadits riwayat Imam Ibnu Majah)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia.

Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pada dasarnya, Allah menciptakan manusia sebagai makhluk yang paling berharga dan mulia di permukaan bumi ini. Namun tidak sedikit, manusia sendirilah yang merosakkan kehormatan dan harga dirinya, dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang tidak bermoral dan tidak sesuai dengan norma-norma agama. Kemuliaan yang terdapat dalam diri manusia ini haruslah dijaga daripada hal-hal yang dapat merosakkannya, baik yang berupa sikap dan perbuatan yang dilakukan oleh diri sendiri, mahupun yang dilakukan oleh orang lain terhadap peribadi mereka.

Setiap individu muslim wajib menjaga diri dan maruah dengan memelihara diri daripada melakukan perbuatan yang mencemarkan nama baik dan menjatuhkan kehormatan diri sendiri. Memelihara diri dan maruah amat penting demi menjaga kemuliaan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Umat yang bermaruah ialah umat yang memiliki jati diri dengan berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terpengaruh dengan unsur-unsur asing yang merosakkan. Allah Ta'ala berfirman dalam Surah An-Nur ayat 30:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan".

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment