Thursday, December 12, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 16 RABI'UL AKHIR 1441 / 13 DISEMBER 2019


PELIHARA HAK DALAM ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّينِ حَنِيفًا ۚ فِطْرَتَ اللَّهِ الَّتِي فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَا ۚ لَا تَبْدِيلَ لِخَلْقِ اللَّهِ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ ﴿٣٠﴾

Maksudnya: "(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semulajadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui". (Surah Ar-Ruum ayat 30)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, 

Saya ingin berpesan buat diri sendiri dan tuan-tuan sekalian, marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita ke hadrat Allah s.w.t, dengan mentaati segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong sebagai hamba yang terbaik, beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat.

Ajaran Islam sangat menitik beratkan tentang prinsip keadilan dan kesaksamaan. Justeru, mimbar pada hari ini akan membicarakan tajuk; "Pelihara Hak Dalam Islam".

Hadirin yang dirahmati Allah, 

Isu mempertahankan maruah, keadilan, kebebasan, kesaksamaan dan persaudaraan sejagat telah menjadi persoalan penting dalam peradaban manusia sejak zaman-berzaman. Seluruh dunia telah memberikan perhatian serius terhadap pencabulan hak asasi manusia khususnya akibat peperangan. Selepas perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948, negara-negara di seluruh dunia telah membincangkan pelaksanaan hak asasi manusia di negara masing-masing. Beberapa konvensyen dan perjanjian antarabangsa dibuat bagi menjelaskan hak asasi manusia kepada masyarakat antarabangsa.

Kini, hak asasi manusia telah menjadi aspek penting dalam kehidupan masyarakat. Kebebasan, keamanan dan keadilan sudah dilihat sebagai simbol kepada maruah diri dan penghormatan ke atas hak asasi orang lain. Walau bagaimana pun, terdapat segelintir masyarakat yang kurang memahami tentang persoalan ini. Masih ada yang menyangka bahawa ajaran Islam tidak meraikan hak asasi manusia, malah menyekat hak kebebasan individu.

Pandangan yang menyatakan bahawa Islam mendiskriminasi penganutnya adalah tidak tepat. Ini dapat dibuktikan menerusi Piagam Madinah 622 masihi yang terlebih dahulu mengangkat hak asasi manusia buat pertama kalinya di dalam sejarah dunia. Piagam Madinah merangkumi aspek keselamatan masyarakat, kebebasan beragama, keselamatan dan hak wanita, hubungan antarabangsa dan kaum, sistem perundangan, kehakiman dan peraturan untuk membayar diyat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengenai hak asasi manusia, terlebih dahulu mimbar ingin menegaskan bahawa ia bukanlah hak mutlak manusia sendiri, kerana manusia bukanlah pemilik sepenuhnya kepada dirinya, melainkan ada pihak lain yang turut berhak ke atas dirinya. Siapakah dia yang lain itu? Jawabnya adalah Allah s.w.t. Allah lebih Berkuasa menentukan setiap hak, termasuk hak kita selaku makhluk-Nya yang bernama manusia. Setiap manusia tidak boleh lari daripada peraturan Allah. Kerana itulah istilah "ikut suka hati sendiri", sebenarnya tidak wujud dalam kamus hidup seorang muslim.

Kita adalah milik Allah. Sebab itu kita diharamkan membunuh diri, walaupun nyawa kita itu nyawa kita, namun kita tidak bebas untuk melakukan apa sahaja menurut kemahuan kita, seperti membunuh diri. Kerana diri dan nyawa bukan milik mutlak kita tetapi juga milik Allah. Fahamilah bahawa hak asasi manusia sebenarnya turut mengikuti hak Allah s.w.t.

Menurut pandangan Barat, hak asasi menjadikan manusia sebagai ukuran segala-galanya. Nilai utama ialah seperti demokrasi, kebebasan sosial dan ekonomi. Semua itu bermula dari manusia dan berakhir juga kepada manusia, itu sahaja. Sementara hak asasi dalam Islam pula bersifat segala-galanya mesti bertolak daripada Al-Quran dan Al-Hadits. Manusia hanya berusaha bagi mematuhi segala perintah Allah. Lalu dengan itu, manusia tidaklah boleh bebas sebebas-bebasnya. Kebebasan itu mesti dipandu oleh syarak. Kita boleh bebas makan tetapi makan makanan yang halal. Kita boleh bebas bergaul lelaki dan perempuan tetapi hanya bersama mahram. Kita boleh bebas perpakaian tetapi mesti menutup aurat. Kita boleh bebas mencari kekayaan tetapi bukan dengan cara rasuah. Kita boleh bebas bersuara dan menulis tetapi bukan untuk menghasut, memfitnah, berbohong dan mengaibkan orang lain.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Islam meletakkan penghormatan yang tinggi kepada manusia tanpa mengira warna kulit, jantina, keturunan atau bangsa seseorang. Sebaliknya, apa yang penting dalam Islam ialah komitmen seseorang individu itu kepada usaha memperkuatkan akidahnya dan juga ketaqwaan kepada Allah. Penghormatan tidak perlu diberikan kepada golongan yang memperjuangkan hak asasi yang membelakangi Islam dan nilai moral sejagat, kerana ianya akan menjadi satu kecelaruan kepada kebenaran dan keadilan.

Penting untuk difahami bahawa Islam meletakkan hak asasi manusia sebagai satu anugerah Allah kepada khalifah-Nya di muka bumi. Ia bersifat syumul dan ajaran-Nya selari dengan fitrah kejadian insan di samping merangkumi segala aspek kehidupan manusia. Oleh itu, satu prinsip penting dalam fahaman ini adalah hak yang diberikan oleh Allah kepada manusia ada batasannya. Semestinya, hak tersebut perlu bertunjangkan prinsip keadilan serta usaha pencapaian matlamat syariat iaitu penyuburan 5 kepentingan asas merangkumi agama, nyawa, akal keturunan dan harta benda.

Islam bukan sekadar agama yang berbentuk ritual tetapi satu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Malangnya terdapat golongan yang memandang rendah aspek kesempurnaan Islam dengan melabelkan Islam sebagai agama yang sempit dan tidak seiring dengan arus pemikiran baru pada hari ini. Kemunculan fahaman ini merupakan ancaman kepada pemikiran masyarakat. Bagi golongan ini, umat Islam harus lebih terbuka dan menerima kepelbagaian yang ada walaupun ia bertentangan dengan norma masyarakat. Yang amat membingungkan ialah, dalam keasyikan mereka memperjuangkan hak untuk bersuara, mereka juga mudah melenting apabila ada pihak lain yang mengkritik perjuangan mereka, sedang pihak ini juga mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat. Tanpa mereka sedar, sikap ini telah menzahirkan kelemahan semula jadi di dalam perjuangan mereka.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Sekiranya difahami dengan betul, banyak persamaan Islam dan hak asasi manusia. Asas yang membentuk kedua-dua prinsip tersebut adalah sama berdasarkan kepada konsep penghormatan martabat manusia dan keadilan. Masyarakat harus bersatu bagi mencari jalan untuk memastikan kemakmuran masyarakat dapat dicapai tanpa ada sebarang bentuk diskriminasi. Di dalam Islam, sekiranya perkara itu membawa kebaikan dan tidak bercanggah dengan syariat, prinsip hak asasi tersebut akan diterima. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hujurat ayat 13:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾

Maksudnya: "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)".

Hadirin yang dirahmati Allah, 

Islam tidak menghalang umatnya untuk menikmati hak asasi manusia tetapi hak tersebut haruslah dilaksanakan syariat Islam dan dalam ruang lingkup pengabdian diri kepada Allah s.w.t. Allah s.w.t telah menyatakan tentang kemuliaan manusia dan melambangkan betapa tingginya martabat manusia dalam Surah Al-Israk ayat 70:

۞ وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا ﴿٧٠﴾

Maksudnya: "Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam; dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut; dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menyatakan secara jelas bahawa Islam adalah Agama Rasmi Persekutuan, tetapi hak untuk mengamalkan agama masing-masing tetap dilindungi. Perlembagaan Persekutuan juga melindungi hak kebebasan asasi sebagaimana yang terkandung dalam Perkara 5 hingga 13 yang menyatakan tentang hak kehidupan dan kebebasan diri, kemasyarakatan, kebebasan bersuara, berhimpun dan membentuk persatuan, hak kepada pendidikan dan lain-lain lagi.

Islam juga telah menggariskan 4 jenis hak yang mesti ditunaikan oleh setiap manusia iaitu hak Allah sebagai penentu hukum, hak individu, hak semua manusia dan hak menggunakan segala kurniaan Allah dengan betul. Hak asasi manusia dalam Islam juga mengandungi hak politik, sivil, ekonomi, sosial dan budaya. Islam memberikan hak kepada golongan yang lemah seperti golongan miskin, orang kurang upaya dan minoriti tanpa mengira usia, jantina, warna kulit, keturunan dan agama.

Hadirin yang dirahmati Allah, 

Antara prinsip-prinsip yang saling mengukuh di antara ajaran Islam dan hak asasi manusia ialah:

Pertama: Prinsip kesejagatan. Terdapat banyak pesanan dalam Al-Quran dan Sunnah yang bertemakan keadilan, kemanusiaan dan belas kasihan.

Kedua: Prinsip kehormatan insan. Islam mengiktiraf kehormatan insan dan manusia wajib menghormati antara satu sama lain.

Ketiga: Prinsip keadilan. Allah s.w.t telah mengamanahkan setiap manusia untuk bertanggungjawab menegakkan keadilan tanpa pilih kasih.

Keempat: Prinsip ehsan. Memberi layanan yang adil dan saksama di bawah kedaulatan undang-undang tanpa mengira status sosial dan ekonomi.

Kelima: Prinsip tidak menindas. Islam menolak sebarang bentuk penindasan terhadap warna kulit, bangsa, kaum atau apa-apa perbezaan yang lain.

Keenam: Prinsip kesaksamaan. Islam menolak sebarang kewujudan kasta masyarakat serta memberikan hak yang saksama kepada semua manusia tanpa mengira darjat dan status sosial.

Ketujuh: Membetulkan salah faham. Sebahagian orang bila membicarakan soal hak asasi hanya nampak kebebasan atau demokrasi semata-mata. Jika tidak sesuai pada mereka, maka ia dianggap menyalahi hak asasi. Kerana itulah hingga tudung kepala perempuan pun dianggap melanggar hak asasi, kononnya menindas kaum perempuan. Ini adalah salah faham yang perlu segera diperbetulkan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Kesimpulan daripada khutbah Jumaat hari ini adalah, hak asasi mestilah mengambil kira kerangka Islam ataupun perundangan Islam dan tidak tertumpu semata-mata kepada teori hak asasi antarabangsa. Amalan, kepercayaan dan pegangan yang bersifat menindas dan tidak adil perlu dihapuskan dengan syarat ia sejajar dengan kehendak Islam.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, atau ke mana sahaja kita pergi bercuti, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ يِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَنْبِيَائِكَ وَرُسُلِكَ وَمَلَآئِكَةِ الْمُقَرَّبِينَ وَتَابِعِي التَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّين، وَارْضَ عَنَّا مَعَهُمْ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات، اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ، وَانْصُرْ عِبَادَكَ الْمُوَحِّدِيَّة، وَانْصُرْ مَنْ نَصَرَ الدِّيْنَ، وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ الْمُسْلِمِيْنَ، وَ دَمِّرْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، وَاعْلِ كَلِمَاتِكَ إِلَى يَوْمِ الدِّيْن.

اللَّهُمَّ ادْفعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ وَسُوءَ الْفِتْنَةِ وَالْمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ عَنْ بِلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدِانِ الْمُسْلِمِيْنَ عَامَّةً، يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat Diraja dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment