Thursday, December 26, 2019

KHUTBAH KHAS GERHANA MATAHARI SEPARA - 29 RABIUL AKHIR 1441 / 26 DISEMBER 2019


KHUTBAH KHAS GERHANA MATAHARI SEPARA 
29 RABIUL AKHIR 1441 / 26 DISEMBER 2019

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ دَائِبَيْنِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ ﴿٣٣﴾

Maksudnya: "Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu". (Surah Ibrahim ayat 33)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah, 

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kaum muslimin sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan ketaqwaan dan keimanan kita kepada Allah s.w.t, dengan mengerjakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diminta agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahn kita mendapat keredaan Allah dan keampunan-Nya, di dunia dan akhirat.

Sidang jamaah yang dimuliakan sekalian,

Pada hari ini, 26 Disember 2019 Masihi bersamaan 29 Rabiul Akhir 1441 Hijrah, sekali lagi kita diperlihatkan oleh Allah s.w.t dengan satu fenomena alam yang sangat hebat iaitu gerhana matahari separa. Khutbah hari ini akan menghuraikan beberapa pengajaran dan hikmah ringkas di sebalik kejadian gerhana matahari. Allah berfirman dalam Surah Ibrahim ayat 33 dan 34:

وَسَخَّرَ لَكُمُ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ دَائِبَيْنِ ۖ وَسَخَّرَ لَكُمُ اللَّيْلَ وَالنَّهَارَ ﴿٣٣﴾ وَآتَاكُم مِّن كُلِّ مَا سَأَلْتُمُوهُ ۚ وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَتَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا ۗ إِنَّ الْإِنسَانَ لَظَلُومٌ كَفَّارٌ ﴿٣٤﴾

Maksudnya: "Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya". (Surah Ibrahim ayat 33-34)

Sesuatu yang tidak dapat dinafikan bahawa matahari dan bulan adalah nikmat Allah s.w.t yang tidak terhingga nilainya pada manusia mahupun seluruh hidupan. Menurut Imam Al-Qazwini dalam bukunya 'Aja'ibul Makhluqat, menyatakan bahawa dengan cahaya dan haba matahari telah memberikan pelbagai manfaat pada seluruh hidupan. Sifat cahaya menyebabkan air mengembang dan naik ke udara hingga menghasilkan kitaran air yang bersih untuk kehidupan seluruh makhluk di bumi. Manakala sifat cahaya bulan akan menyebabkan pusingan air pasang dan surut, sekaligus melimpahkan rezeki yang baik kepada semua hidupan.

Sidang jamaah yang dimuliakan sekalian,

Ketika gerhana matahari berlaku, sebahagian dari matahari akan terlindung dengan bulan, Bagi kita di Perak, matahari akan ditutupi dalam lingkungan 80% untuk beberapa minit. Bayangkanlah, jika Allah menghilangkan cahaya matahari untuk beberapa jam, hari atau minggu. Seluruh penduduk bumi akan bergelap dan kesejukan. Haiwan akan gelisah dan bertindak ganas, tumbuhan pula akan perlahan-lahan mati, manusia pula hidup dalam keadaan ketakutan. Ketika itu segala aktiviti manusia akan terganggu dan menjadi porak-peranda. Begitulah nikmat cahaya matahari yang telah Allah limpahkan kepada manusia dan seluruh alam ini sejak sekian lama sama ada kita sedar atau tidak.

Insaflah bahawa gerhana yang berlaku hari ini menjadi tanda bahawa kita manusia sebenarnya terlalu bergantung harap kepada Allah s.w.t yang Maha Kaya. Manusia ini sebenarnya terlalu daif dan lemah. Firman Allah s.w.t dalam Surah Fatir ayat 15:

۞ يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَنتُمُ الْفُقَرَاءُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَاللَّهُ هُوَ الْغَنِيُّ الْحَمِيدُ ﴿١٥﴾

Maksudnya: "(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji". (Surah Fatir ayat 15)

Sidang jamaah sekalian,

Gerhana yang kita lihat hari ini juga mengingatkan kita bahawa segala apa yang diciptakan oleh Allah s.w.t tidak ada satu pun yang keluar dari ketentuan dan kemahuan-Nya. Allah lah yang menjadikan semuanya bergerak dengan teratur dan sistematik. Firman Allah dalam Surah An-Namlu ayat 88:

صُنْعَ اللَّهِ الَّذِي أَتْقَنَ كُلَّ شَيْءٍ ۚ.... ﴿٨٨﴾

Maksudnya: "(Demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya".

Allah telah menundukkan matahari dan bulan kepada manusia untuk menentukan pusingan hari, bulan dan tahun dengan perjalanan yang sangat teratur. Bagi manusia yang berakal tentu sekali akan menlihat matahari dan bulan bahkan segala makhluk di langit dan di bumi semua ditadbir oleh Allah s.w.t yang Maha Sempurna. Ini dibuktikan dengan pengiraan falak yang telah menjangkakan gerhana yang berlaku pada hari ini. Gerhana ini sebenarnya pernah berlaku pada 14 Disember 2001. Bahkan gerhana ini akan berlaku lagi pada J5 Januari 2038. Ini kerana setiap satu gerhana akan berulang kembali dalam lingkungan 18 tahun 11 atau 10 hari. Hasil hitungan ini telah menghasilkan jangkaan gerhana selama beribu-ribu tahun.

Ini menunjukkan bahawa matahari, bumi dan bulan bergerak dengan sangat teratur dan sistematik. Cubalah kita perhatikan bahawa gerhana matahari hanya akan berlaku pada setiap hujung bulan hijrah seperti 29 haribulan. Manakala gerhana bulan pula hanya akan berlaku pada pertengahan bulan hijrah seperti 15 haribulan sahaja.

Inilah bukti bahawa makhluk Allah sebesar matahari, bumi dan bulan pun bergerak dalam aturan Allah s.w.t. Bila Allah s.w.t telah menentukan berlakunya gerhana, maka ketiga-tiga objek ini dengan taat menuruti segala perintah Allah yang Maha Agung. Tiba-tiba, datang makhluk bergelar insan (yang selalu lupa), yang jauh lebih kerdil berbanding bulan, bumi dan matahari yang mendabik dada berkata aku bebas bergerak ke mana sahaja aku suka, aku berhak menentukan jalan aku sendiri, ini hak aku dan segalanya aku. Terlupa dia bahawa manusia hanyalah makhluk kerdil di alam buana ini. Terlupa dia bahawa dia hanya makhluk yang digelar hamba. Jika bumi yang dipijak ini pun taat perintah Allah, lagikan insan pula yang bergelar hamba.

Sidang jamaah sekalian,

Ketika berlaku gerhana, Nabi s.a.w telah melaksanakan solat, memperbanyakkan zikir, berdoa, beristighfar dan memperbanyakkan sedekah. Inilah antara amalan-amalan yang diajarkan oleh baginda s.a.w. Ketika itu orang jahiliyyah menyatakan bahawa gerhana ini berlaku kerana kematian seseorang dalam masyarakat mereka. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadits daripada Abi Musa r.a berkata:

خُسِفَتِ الشَّمْسُ فِي زَمَنِ النَّبِّيِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَامَ فَزِعًا يَخْشَى أَنْ تَكُونَ السَّاعَةُ ، فَقَامَ حَتَّى أَتَى الْمَسْجِدَ ، فَقَامَ يُصَلِّي بِأَطْوَلِ قِيَامٍ وَرُكُوعٍ وَسُجُودٍ رَأَيْتُهُ يَفْعَلُهُ فِي صَلاَةٍ قَطُّ ، ثُمَّ ، قَالَ : إِنَّ هَذِهِ الآيَاتِ الَّتِي يُرْسِلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ لاَ تَكُونُ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ ، وَلَكِنَّ اللَّهَ يُرْسِلُهَا يُخَوِّفُ اللهُ بِهَا عِبَادَهُ ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ شَيْئًا مِنْهَا فَافْزَعُوا إِلَى ذِكْرِهِ ، وَدُعَائِهِ ، وَاسْتِغْفَارِهِ.

Maksudnya: "Ketika zaman Rasulullah s.a.w hidup, gerhana matahari telah berlaku, maka baginda bangun tergesa-gesa kerana bimbang hari kiamat akan tiba, lalu baginda bersegera ke masjid. Maka baginda pun bersolat dengan berdiri, ruku' dan sujud yang lama, dan aku tidak pernah melihat selama ini baginda solat begitu. Kemudian belaiu bersabda: Sesungguhnya inilah ayat-ayat yang dikirimkan oleh Allah, yang terjadinya bukan kerana kematian seseorang atau kehidupannya tetapi Allah mengirimkannya untuk menakut-nakutkan para hamba-Nya. Oleh sebab itu, apabila kalian melihatnya maka segeralah ingat kepada-Nya, berdoa memohon ampun kepada-Nya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Hadits ini menunjukkan ketika gerhana, kita perlu memperbanyakkan mengingati Allah s.w.t. Allah s.w.t jugalah yang menjadikan gerhana pada hari ini, Allah s.w.t jugalah yang menggerakkan matahari dan bulan dan menjadikan kedua-duanya bercahaya. Allah s.w.t jugalah yang mengizinkan matahari dan bulan terus memberi manfaat kepada manusia.

Sebelum tibanya hari, di mana Allah s.w.t akan mengarahkan kepada matahari dan bulan untuk berhenti bersinar, berhenti dari bergerak. Sebelum datangnya hari yang akan menyebabkan segala yang fana' ini akan hancur segala-gala, maka marilah kita sama-sama mengambil kesempatan dari gerhana pada hari ini untuk bertaubat dan beristighfar atas segala dosa dan kesilapan kita pada Allah s.w.t. Semoga gerhana ini akan menjadikan kita semakin yakin pada segala kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-An'aam ayat 75:

وَكَذَٰلِكَ نُرِي إِبْرَاهِيمَ مَلَكُوتَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلِيَكُونَ مِنَ الْمُوقِنِينَ ﴿٧٥﴾

Maksudnya: "Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia.

Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.


No comments:

Post a Comment