Thursday, December 5, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 9 RABI'UL AKHIR 1441 / 6 DISEMBER 2019


ARAK MEMUDARATKAN DIRI DAN MASYARAKAT

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٩٠﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya". (Surah Al-Maidah ayat 90)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang Jumaat sekalian, 

Saya ingin berpesan buat diri sendiri dan tuan-tuan sekalian, marilah kita tingkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita akan digolongkan dalam kalangan orang-orang yang berjaya di dunia dan akhirat.

Sejak akhir-akhir ini, ada beberapa kes kemalangan jiwa yang berpunca daripada arak. Kita melihat, isu ini perlu diberi perhatian yang serius oleh semua pihak terutama pihak berwajib. Oleh itu, mimbar Jumaat hari ini kan menjelaskan keburukan arak di sisi Islam dengan tajuk; "Arak Memudaratkan Diri dan Masyarakat". Kita juga mengambil maklum bahawa tabiat meminum arak juga memudaratkan kesihatan menurut sains.

Dalam kitab Fiqh Al-Manhaji, para penulis menjelas kedudukan arak dalam Islam. Haram meminum minuman yang memabukkan sama ada jenis arak (khamar), iaitu yang dibuat daripada perahan anggur atau jenis bukan arak, iaitu yang dibuat daripada benda lain seperti campuran daun ketum yang memabukkan.

Arak adalah apa sahaja minuman yang menyebabkan peminumnya mabuk dan hilang pertimbangan akal. Apabila akal tidak dapat berfungsi dengan baik, maka ia sangat terdedah kepada perlakuan negatif yang buruk. Kerana itulah, arak disebut sebagai ibu segala maksiat. Hakikat ini tidak sukar untuk difahami oleh manusia yang berakal.

Pengharaman arak bukanlah yang hanya dibuat daripada anggur sahaja, tetapi pengharaman tersebut termasuklah semua benda yang memabukkan. Ini berdasarkan hadits daripada Rasulullah s.a.w:

كُلُّ شَرَابٍ أَسْكَرَ فَهُوَ حَرَامٌ

Maksudnya: "Semua yang memabukkan adalah haram". (Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Hadits ini telah menjelaskan maksud arak, iaitu semua perkara yang memabukkan. Semua benda yang memabukkan walau apa pun namanya, hukum meminumnya adalah sama dengan hukum arak, iaitu haram.

Menurut ijmak ulamak, pengharaman arak adalah kerana ia memabukkan. Oleh itu, pengharaman tersebut mestilah sama atas semua minuman yang memabukkan tanpa perbezaan walau apa jua asalnya. Ini berdasarkan hadits daripada Saiyidina Abu Malik bin Al-'Asy'ari. dia mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

لَيَشْرَبَنَّ نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي الْخَمْرَ يُسَمُّونَهَا بِغَيْرِ اسْمِهَا

Maksudnya: "Demi sesungguhnya, manusia dalam kalangan umatku akan minum arak yang mereka namakan dengan nama yang lain". (Riwayat Imam Abu Daud dan Ibnu Majah)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah s.w.t:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ ﴿٩٠﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya". (Surah Al-Maidah ayat 90)

Ayat ini jelas merupakan larangan ke atas setiap yang terlibat dengan arak kerana tegahan Allah bersifat umum iaitu jauhilah ia. Larangan ini lebih kuat dan bersifat menyeluruh tidak hanya kepada peminumnya sahaja. Hadits daripada Saiyidina 'Abdullah ibnu 'Umar bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

لَعَنَ اللَّهُ الْخَمْرَ وَشَارِبَهَا وَسَاقِيَهَا وَبَائِعَهَا وَمُبْتَاعَهَا وَعَاصِرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَحَامِلَهَا وَالْمَحْمُولَةَ إِلَيْهِ

Maksudnya: "Allah melaknat arak, peminumnya, penghidangnya, penjualnya, membelinya, pemerahnya, meminta agar ia diperah, pembawanya dan orang yang ia dibawa kepadanya". (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Sidang Jumaat sekalian, 

Demi memelihara akal dan kemaslahatan masyarakat, Islam melarang keras perbuatan meminum arak dengan ancaman di dunia dan akhirat. Pertama ketika di dunia, peminum arak yang disabitkan kesalahan hudud boleh dikenakan sebanyak 40 kali sebatan. Namun bilangan sebatan ini pernah ditambah sehingga 80 kali sebatan pada zaman Saiyidina 'Umar Al-Khattab berdasarkan ijtihad beliau memelihara kepentingan awam dan negara. Enakmen Jenayah Syariah Negeri Perak 1992 Seksyen 59 dan 60 pula menetapkan, denda tidak melebihi RM5000, atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan yang melibatkan arak kepada orang Islam. Kedua, ibadah orang meminum arak tidak diterima Allah. Ketiga, taubatnya tidak diterima Allah jika dia mengulanginya setelah bertaubat beberapa kali. Hadits daripada Saiyidina Ibnu 'Umar radiAllahu 'anhuma bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، فَإِنْ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ، فَإِنْ عَادَ الثَّانِيَةَ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، فَإِنْ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ، فَإِنْ عَادَ الثَّالِثَةَ لَمْ يُقْبَلْ لَهُ صَلَاةٌ أَرْبَعِينَ يَوْمًا، فَإِنْ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ، فَإِنْ عَادَ الرَّابِعَةَ لَمْ يُقْبَلْ لًهُ تَوْبَةٌ...

Maksudnya: "Orang yang minum khamar, tidak diterima solatnya 40 hari. Siapa yang bertaubat, maka Allah memberi taubat untuknya. Jika dia kembali meminumnya kali kedua, tidak diterima solatnya 40 hari. Siapa yang bertaubat, maka Allah memberi taubat untuknya. Jika dia kembali meminumnya kali ketiga, tidak diterima solatnya 40 hari. Siapa yang bertaubat, maka Allah memberi taubat untuknya. Jika dia kembali meminumnya kali keempat, maka taubatnya tidak diterima". (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Di akhirat pula, orang yang terlibat dengan arak diancam dengan pelbagai ancaman. Antaranya, peminum arak tidak akan merasai arak di syurga yang lebih lazat tetapi tidak memabukkan. Daripada Saiyidina Ibnu 'Umar radiAllahu 'anhuma berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

كُلُّ مُسْكِرٍ خَمْرٌ وَكُلُّ مُسْكِرٍ حَرَامٌ وَمَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فِي الدُّنْيَا فَمَاتَ وَهُوَ يُدْمِنُهَا لَمْ يَتُبْ لَمْ يَشْرَبْهَا فِي الْآخِرَةِ

Maksudnya: "Setiap yang memabukkan itu arak, dan setiap arak itu haram. Sesiapa yang telah minum arak di dunia dan mati tanpa sempat bertaubat, dia tidak akan dapat minum arak di syurga". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Peminum arak juga diancam dengan minuman menjijikkan di akhirat berdasarkan sebuah hadits Rasulullah s.a.w bersabda:

إِنَّ عَلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ عَهْدًا لِمَنْ يَشْرَبُ الْمُسْكِرَ أَنْ يَسْقِيَهُ مِنْ طِينَةِ الْخَبَالِ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، وَمَا طِينَةُ الْخَبَالِ؟ قَالَ عَرَقُ أَهْلِ النَّارِ أَوْ عُصَارَةُ أَهْلِ النَّارِ

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah menjanjikan azab kepada peminum arak dengan minuman lumpur kebinasaan (Tinatil Khobal). Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah lumpur kebinasaan itu? Baginda menjawab: Peluh ahli neraka atau perahan (kekotoran) ahli neraka". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Sidang Jumaat sekalian, 

Dengan memahami buruknya dosa segala yang berkaitan dengan arak, maka kita hendaklah menjauhkan diri dari meminum arak, menjualnya, menghidangkannya, bekerja di kilangnya, memandu lori yang membawanya atau melabur dalam syarikat arak. Kesemuanya ini akan melibatkan kita dengan dosa arak. Keburukan meminum arak telah terbukti, antaranya:

1. Terdapat hubung kait yang ketara antara ketagihan arak oleh suami atau isteri yang mengakibatkan keganasan rumah tangga terhadap pasangan masing-masing. Sekaligus menjadi antara penyebab keruntuhan institusi kekeluargaan.

2. Arak juga mengakibatkan kerosakan hubungan masyarakat, mencetuskan pergaduhan dan permusuhan, sekaligus menghilangkan keharmonian dalam sesebuah komuniti masyarakat.

3. Arak juga menyebabkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa. Antaranya kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol telah menyumbang kepada banyak kes kemalangan maut yang meragut nyawa-nyawa tidak berdosa.

4. Arak juga membunuh peminumnya. Pada tahun 2018, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan seramai lebih kurang 20 individu maut selepas meminum arak yang mengandungi methanol.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Terdapat salah faham dalam kalangan segelintir masyarakat tentang arak. Antaranya arak dianggap minuman yang berprestij sebagai lambang kemewahan. Mereka mungkin terpengaruh dengan budaya barat yang mengagung-agungkan minuman arak. Banyak filem yang menggambarkan adegan minum arak sebagai amalan biasa. Selain itu, terdapat sukan-sukan tertentu yang meraikan juara mereka dengan menggoncang dan menghamburkan arak daripada botol. Ada pula yang mempercayai arak sebagai sumber ekonomi yang menguntungkan.

Kesemua ini adalah tipu daya musuh Islam dan syaitan, yang mahu menyesatkan dan merosakkan manusia supaya kekal dalam kemungkaran. Oleh itu, kita hendaklah sedar bahawa masih banyak minuman yang halal serta sumber rezeki yang halal disediakan oleh Allah s.w.t. Hasil pendapatan daripada arak hanya akan menghilangkan keberkatan daripada rezeki itu sendiri. Sebaliknya, orang yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah, dijanjikan rezeki dan jalan keluar terbaik bagi segala masalahnya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah mengerjakan solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, atau ke mana sahaja kita pergi bercuti, janganlah sekali-kali tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ يِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَنْبِيَائِكَ وَرُسُلِكَ وَمَلَآئِكَةِ الْمُقَرَّبِينَ وَتَابِعِي التَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّين، وَارْضَ عَنَّا مَعَهُمْ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات، اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ، وَانْصُرْ عِبَادَكَ الْمُوَحِّدِيَّة، وَانْصُرْ مَنْ نَصَرَ الدِّيْنَ، وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ الْمُسْلِمِيْنَ، وَ دَمِّرْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، وَاعْلِ كَلِمَاتِكَ إِلَى يَوْمِ الدِّيْن.

اللَّهُمَّ ادْفعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ وَسُوءَ الْفِتْنَةِ وَالْمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ عَنْ بِلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدِانِ الْمُسْلِمِيْنَ عَامَّةً، يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulah dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat Diraja dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment