Friday, November 29, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 2 RABIUL AKHIR 1441 / 29 NOVEMBER 2019


PENGURUSAN DAN PENGISIAN MASA CUTI SEKOLAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan". (Surah Al-Hashr ayat 18)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Sidang hadirin yang dirahmati Allah sekalian,

Pada hari Jumaat yang penuh rahmat dan keberkatan ini, saya ingin berpesan kepada diri dan para jamaah  untuk sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dengan sentiasa melakukan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong hamba-Nya yang beroleh kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Hadirin yang berbahagia,

Keputusan peperiksaan UPSR anak-anak kita baru sahaja diumumkan pada minggu yang lalu dengan suasana yang berbeza di antara suka dan juga duka, di antara gembira dan juga sedih berdasarkan kepada tahap kejayaan yang dicapai masing-masing. Yang cemerlang semestinya mula memasang cita-cita untuk memasuki sekolah pilihan dan terbaik. Dengan keputusan yang diperolehi, ianya bukanlah penghabisan. Ini hanya permulaan bagi kehidupan. Masih banyak lagi ujian-ujian yang perlu ditempuhi sepanjang perjalanan sebagai seorang manusia di dunia ini sebagai jambatan menuju kehidupan yang sebenarnya di akhirat kelak.

Marilah kita sama-sama berdoa supaya yang berjaya akan terus lebih berjaya di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Bagi yang kurang berjaya, sama-sama kita muhasabah diri dengan mencari alternatif bagaimana kita dapat membantu mereka ini untuk berjaya di dunia dan akhirat.

Bersempena dengan cuti persekolahan seluruh negara, marilah sama-sama kita hayati khutbah pada hari ini yang bertajuk, "Pengurusan dan Pengisian Masa Cuti Sekolah". Sesungguhnya pengisian masa dengan melakukan perkara yang berfaedah merupakan tuntutan agama kerana Islam menggalakkan umatnya supaya mengurus masa dengan sebaik-baiknya dan penuh bijaksana. Memang tidak dapat dinafikan sebagai manusia ada masa kita bekerja dan ada masa kita berehat atau bercuti, begitu juga dengan penuntut-penuntut dan pelajar-pelajar. Pada masa ini penuntut-penuntut dan pelajar-pelajar sekolah sedang menjalani cuti persekolahan. Inilah masa yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar atau penuntut malahan juga kepada ibu bapa sendiri.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam merancang dan mengatur aktiviti yang dilakukan sepanjang cuti persekolahan seperti mengisi masa lapang anak-anak dengan melakukan perkara-perkara dan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat. Oleh itu cuti persekolahan bukan untuk dihabiskan sepenuhnya dengan berseronok dan melupakan terus pelajaran sekolah. Jadilah ibu bapa yang prihatin dan mengambil berat terhadap pendidikan dan perkembangan anak-anak. Rancanglah sesuatu agar dapat memanfaatkan cuti sekolah anak-anak dengan sebaik-baiknya. Jangan biarkan anak-anak yang sendiri menguruskan masa cuti mereka tanpa pengetahuan, pemantauan dan panduan daripada ibu bapa. Terdapat bermacam-macam aktiviti yang boleh dirancang dan dilaksanakan seperti melibatkan mereka dengan aktiviti di perpustakaan, masjid-masjid, melakukan riadah, lawatan, kem anak soleh dan sebagainya.

Dalam proses ini kesepaduan peranan pihak pemerintah, pihak sekolah dan ibu bapa mestilah saling bekerjasama dan mengambil tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Firman Allah s.w.t dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ ﴿٦﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan-Nya".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Masa itu ibarat emas. Ungkapan ini biasa disebut-sebut bagi menggambarkan betapa masa itu sangat berharga. Sejauh manakah kita menyedarkan anak-anak tentang pentingnya masa dalam kehidupan? Tanyalah anak-anak, apakah perkara yang paling berharga bagi mereka? Adakah wang ringgit? Keluarga? Kawan-kawan? Kebijaksanaan? Kemungkinan mereka akan menjawab semua itulah jawapannya. Apa yang pasti, semua jawapan itu tidak setara dengan nilai waktu yang dimiliki. Perkara yang paling berharga setelah memiliki iman dan Islam adalah masa. Saiyidina Ibnu 'Abbas radiAllahu 'anhuma berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

نِعْمَتَانِ مَغْبُونٌ فِيهِمَا كَثِيرٌ مِنْ النَّاسِ الصِّحَّةُ وَالْفَرَاغُ

Maksudnya: "Dua nikmat yang sering memperdaya manusia; kesihatan dan kelapangan masa". (Hadist riwayat Imam Al-Bukhari)

Umat Islam yang tidak tahu menghargai masa, tidak mungkin akan menjadi umat yang maju, malah menjadi umat yang rugi. Firman Allah Ta'ala dalam Surah Al-'Asr ayat 1 hingga 3:

وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾

Maksudnya: "Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar".

Hadirin Jumaat yang berbahagia,

Ibu bapa yang bijak akan menguruskan masa anak-anak mereka dengan sebaik-baiknya. Dalam hal ini, peranan ibu bapa adalah memastikan anak-anak dapat melakukan aktiviti bermanfaat sepanjang cuti persekolahan. Biasanya, anak-anak mempunyai perancangan tersendiri bagi mengisi waktu mereka. Apa yang diharapkan, ibu bapa dapat memantau aktiviti anak agar tidak terjerumus ke arah perkara-perkara negatif.

Terutamanya yang membabitkan kerosakan moral dan akhlak, apatah lagi berkaitan dengan akidah seorang muslim. Saiyidina Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Maksudnya: "Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka kedua-dua ibu bapanyalah yang akan menjadikan anak itu seorang Yahudi, Nasrani atau Majusi". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Sidang hadirin sekalian,

Sebenarnya, pelbagai aktiviti boleh diisi sepanjang cuti persekolahan. Asalkan, ianya perlulah memberi nilai tambah dan impak positif  kepada anak-anak agar ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperolehi dapat digunakan pada masa hadapan. Sebagai perkongsian pandangan kepada para jamaah khususnya yang mempunyai anak-anak bersekolah, khatib pada hari ini ingin berkongsi beberapa aktiviti yang boleh dilakukan sepanjang cuti sekolah kali ini:

1. Mempelajari Al-Quran dan kelas-kelas fardu 'ain yang menjadi kewajipan kepada mereka. Ilmu boleh dicari tidak terhad pada waktu persekolahan sahaja, bahkan boleh didapati tanpa mengira tempat dan masa.

2. Pulang ke kampung atau menziarahi sanak saudara bagi mengeratkan silaturrahim. Inilah masa semua orang dapat berkumpul bersama-sama di samping ramai juga yang mengadakan majlis pernikahan.

3. Melancung dan berkelah; melalui aktiviti ini, ia dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengenali dunia luar, sekaligus melihat keindahan alam ciptaan Allah s.w.t. Kata orang, jauh berjalan, luas pandangan. Melawatlah ke mana-mana sahaja. Asalkan tempat itu bukanlah tempat maksiat dan juga tempat yang boleh merosakkan akidah dan akhlak.

4. Kem cuti sekolah; program seperti ini biasanya dianjurkan oleh pihak sekolah, syarikat swasta, NGO-NGO, komuniti setempat termasuk di sesetengah masjid. Program ini biasanya mengandungi pelbagai aktiviti yang berasaskan motivasi, sakhsiyah, agama, kerohanian, akhlak, ibadah, jati diri, sosial dan seumpamanya. Di samping dapat ilmu baru, anak-anak boleh mengenali rakan-rakan baharu di kem-kem yang disertai.

5. Kelas tambahan; ia merupakan cadangan yang positif terutamanya kepada anak-anak yang bakal menduduki peperikasaan awam seperti UPSR, PT3 dan SPM pada tahun berikutnya.

6. Kursus jangka pendek; bagi meningkatkan kemahiran anak-anak, ibu bapa boleh mendaftarkan mereka ke institusi-institusi yang menganjurkan kursus jangka pendek mengikut minat mereka seperti kelas ICT, kelas bahasa inggeris, kelas seni bela diri dan seumpamanya. Kemahiran-kemahiran seperti ini sangat bermanfaat sebagai satu kaedah dalam memperkembangkan bakat anak-anak, seiring dengan pencapaian akademik.

Sidang hadirin sekalian,

Sesungguhnya, setiap mukmin yang bertaqwa akan menghargai setiap detik dan masa. Peranan ibu bapa mendidik anak-anak untuk lebih menghargai masa amat penting demi kecemerlangan mereka di dunia dan di akhirat. Kepada anak-anak yang bakal menjadi pewaris umat, hargailah waktu mudamu dengan perkara-perkara yang berfaedah. Salah satu daripada 5 perkara yang dipesan oleh Rasulullah s.a.w iaitu: "Ingatlah masa lapangmu sebelum masa sibukmu, masa hidupmu sebelum masa matimu", perlulah direnungkan bersama-sama, agar di akhirat nanti kita tidak akan kerugian. Marilah kita hayati firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hashr ayat 18:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ ﴿١٨﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan  suruhanNya dan meninggalkan laranganNya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi PengetahuanNya akan segala yang kamu kerjakan". (Surah Al-Hashr ayat 18)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, atau ke mana sahaja kita pergi bercuti, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ يِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى أَنْبِيَائِكَ وَرُسُلِكَ وَمَلَآئِكَةِ الْمُقَرَّبِينَ وَتَابِعِي التَّابِعِينَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّين، وَارْضَ عَنَّا مَعَهُمْ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ.
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَات، اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، وَأَذِلَّ الشِّرْكَ وَاْلُمشْرِكِيْنَ، وَانْصُرْ عِبَادَكَ الْمُوَحِّدِيَّة، َانْصُرْ مَنْ نَصَرَ الدِّيْنَ، وَاخْذُلْ مَنْ خَذَلَ الْمُسْلِمِيْنَ، وَ دَمِّرْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، وَاعْلِ كَلِمَاتِكَ إِلَى يَوْمِ الدِّيْن.

اللَّهُمَّ ادْفعْ عَنَّا الْبَلَاءَ وَالزَّلَازِلَ وَالْمِحَنَ وَسُوءَ الْفِتْنَةِ وَالْمِحَنَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ عَنْ بِلَدِنَا خَاصَّةً، وَسَائِرِ الْبُلْدِانِ الْمُسْلِمِيْنَ عَامَّةً يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment