Friday, November 15, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 18 RABI'UL AWAL 1441 / 15 NOVEMBER 2019


SELAMATKAN NEGARA DAN UMAT BERSAMA DENGAN ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ الْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan selamatlah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita bersyukur kepada Allah s.w.t, memuji dan memuja-Nya dengan Alhamdulillahi Robbil 'alamin (segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam) yang telah mengurniakan kepada kita nikmat Islam yang dibawa oleh rasul kesayangan kita Muhammad s.a.w, rasul yang dipilih oleh Allah s.w.t bukan dipilih oleh manusia. Allah sendiri yang memilih rasul-Nya Muhammad s.a.w untuk menjadi rasul akhir zaman kepada seluruh manusia bagi menyelamatkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya petunjuk yang membawa keselamatan dan kebahagiaan mereka di dunia sehingga hari akhirat.

Kedatangan atau kelahiran diwujudkan dalam suasana manusia di dalam gelap gelita yang benar-benar memerlukan seorang rasul yang memimpin mereka. Di sana ada kuasa-kuasa pemerintah yang zalim walaupun kaya-raya dan maju dari segi kebendaan. Ada pemimpin-pemimpin agama termasuk agama kitab tetapi sudah menyeleweng dengan berlagak menjadi tuhan, mengadakan hukum sendiri dalam perkara yang tidak diizin oleh Allah s.w.t. Ketika manusia dalam keadaan kacau-bilau dan menindas di antara satu sama lain laksana binatang buas, siapa yang kuat dialah yang berkuasa, yang gagah melawan yang lemah, yang perkasa menindas yang tidak berupaya. Mereka menganut agama samawi secara fitrah, menunggu kedatangan Nabi Muhammad s.a.w yang dijanjikan oleh Allah s.w.t di akhir zaman yang disebut di dalam kitab suci berbagai-bagai agama.

Tiba-tiba lahirlah rasul yang dijanjikan itu membawa suatu ajaran yang benar dan luar biasa yang tidak mampu difikirkan oleh manusia iaitu ajaran yang bernama Islam, "Ad-Din" yang menjadi petunjuk seluruh kehidupan manusia mengikut fitrah dan sifat semula jadinya membetulkan jasad, roh dan akalnya, membetulkan kehidupan keluarga, rumah tangga dan masyarakat sehingga berjaya menegakkan sebuah negara yang mendaulatkan syariat Allah s.w.t yang disebut oleh Allah kepada rasul-Nya:

إِنَّا أَنزَلْنَا إِلَيْكَ الْكِتَابَ بِالْحَقِّ لِتَحْكُمَ بَيْنَ النَّاسِ بِمَا أَرَاكَ اللَّهُ ۚ وَلَا تَكُن لِّلْخَائِنِينَ خَصِيمًا ﴿١٠٥﴾ [سورة النساء : ١٠٥]

(Maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, supaya engkau menghukum di antara manusia menurut apa yang Allah telah tunjukkan kepadamu (melalui wahyu-Nya); dan janganlah engkau menjadi pembela bagi orang-orang yang khianat.

Maka berjaya ditunjuk kepada manusia hukum yang adil sehingga menyebabkan berduyun-duyun manusia masuk Islam yang menakutkan orang-orang yang zalim dan jahat. Mereka merancang untuk memadamkan cahaya agama Islam dengan mengerahkan bala tentera dan menggunakan segala senjata di zamannya, serta menggunakan ahli-ahli ilmu dan ahli-ahli fikir yang dapat menipu. Semuanya dapat dikalahkan oleh Islam. Mereka tidak boleh menghalang cahaya Allah s.w.t daripada agama Islam, cahaya petunjuk kepada manusia yang masuk ke dalam hati-hati manusia sebagaimana mereka tidak boleh memadamkan cahaya matahari dan bulan yang dicipta oleh Allah s.w.t kepada seluruh dunia. Begitulah mereka tidak boleh memadamkan cahaya agama Islam ini.

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [سورة الصّف : ٨]

(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut-mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Islam telah berjaya menumbangkan kuasa-kuasa besar dunia sehingga menjadi kuasa tunggal memimpin dunia dari timur dan barat. Tidak sampai satu abad dapat menguasai sebahagian besar benua Asia, utara Afrika dan selatan Eropah. Bahkan dikatakan Islam sampai juga ke benua Amerika. Dengan cara yang menakjubkan telah berjaya menggagalkan segala perancangan untuk menghalangnya. Manusia menerima Islam dengan mudah dengan melihat kebaikan dan petunjuk yang benar, bukan memaksa manusia. Tidak dipaksa manusia untuk masuk Islam. Mereka melihat Islam itu baik, menyebabkan mereka masuk Islam.

Di sama ada empat perkara yang penting mengapa manusia menerima Islam; melihat kebaikannya, dua asas rukun beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, dua konsep dalam kehidupan manusia iaitu adil kepada semua dan bertaqwa kepada Allah s.w.t. Beriman kepada Allah menjadikan tidak ada sesiapa yang memerintah di dalam negara Islam mengatasi undang-undang dan hukum syariat. Sesiapa yang salah mesti dihukum, sesiapa yang salah mesti dinasihat, termasuk batang tubuh Nabi s.a.w, apa lagi khalifah-khalifah yang menggantinya. Baginda s.a.w menegaskan:

وَايْمُ اللَّهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ سَرَقَتْ لَقَطَعْتُ يَدَهَا [رواه البخاري ومسلم]

(Maksudnya): Demi Allah, sekiranya puteri kesayanganku Fatimah binti Muhammad mencuri, nescaya dipotong tangannya.

Mereka melihat bagaimana syariat Allah menaungi manusia yang menjadikan orang-orang jahat takut, orang-orang yang zalim tunduk dan kalah, serta mewujudkan suatu pemerintahan yang baik kerana tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi Allah s.w.t.

Akidah beriman kepada Hari Akhirat menjadikan manusia itu tidak boleh melarikan diri daripada kesalahan walaupun dalam amalan dunia pada hari ini ada orang yang boleh mengelak daripada hukuman dunia dan terlepaslah kerana kuasanya, bila mati tidak ada masalah lagi mengikut kepercayaannya. Sedangkan Islam mengajar ada lagi hukuman di dalam kubur dan ada lagi hukuman setelah dibangkitkan selepas mati. Orang yang melakukan kesalahan melepaskan diri di dunia, kalau tidak bertaubat akan dihukum di dalam kuburnya dan akan dihukum lagi di Hari Akhirat. Ia menjadikan seorang Islam itu tidak berani melakukan kesalahan.

Beriman kepada Hari Akhirat menjadikan pemimpin-pemimpin umat Islam sedar dan insaf, seterusnya bertaqwa kepada Allah s.w.t. Ini menunjukkan martabat diri manusia itu bukan pangkat, bukan baka dan keturunan, bukan kaya dan miskin, bukan warna kulit, tetapi Allah menyatakan:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ﴿١٣﴾ [سورة الحجرات : ١٣]

(Maksudnya): Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).

Yang paling mulia bukan yang paling alim atau yang paling berkuasa atau yang paling kaya atau yang paling cantik rupa paras dan warnanya atau yang paling mulia keturunannya, tetapi yang paling mulia adalah yang paling bertaqwa kepada Allah s.w.t. Tidak ada manusia yang boleh berlagak tinggi darjatnya daripada manusia yang lain. Islam menunjukkan persamaan dengan cara yang saksama. Seterusnya Islam membawa hukum yang adil terhadap semua. Firman Allah Ta'ala:

۞ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَىٰ أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ ۚ إِنَّ اللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرًا ﴿٥٨﴾ [سورة النساء : ٥٨]

(Maksudnya): Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.

Hukuman yang adil kepada semua manusia, bukan sahaja kepada manusia yang Islam, tetapi termasuk juga manusia yang bukan Islam. Apabila Islam masuk sahaja ke negeri-negeri yang bukan Islam dalam dunia ini, rakyatnya bertukar menjadi penganut agama Islam. Lihat peta dunia yang dinamakan "Jalan Sutera" daripada negeri Arab sehingga ke negeri China yang dikenali sebagai Asia Tengah yang penduduk asalnya bukan Islam yang dilalui oleh orang-orang Islam untuk berniaga dan berdakwah serta dilalui oleh tentera untuk menentang atau menghalang perkembangan agama Islam. Sebaik sahaja Islam berkuasa, penduduk negeri itu masuk Islam dengan tidak dipaksa.

Begitulah kedatangan Islam di utara Afrika dan termasuk kedatangan Islam di nusantara ini di wilayah kita ini oleh peniaga-peniaga dan pedagang-pedagang bukan dengan kekerasan senjata. Islam yang memerintah dengan adil telah menarik rakyatnya yang bukan Islam masuk Islam beramai-ramai.

Kita tidak boleh melihat umat Islam yang jatuh dan tumbang pada hari ini. Ia bukan kerana salah ajaran Islam, tetapi kerana salah pemimpin-pemimpin Islam dan umat Islam sendiri meninggalkan ajaran Islam, beramal dengan ajaran-ajaran yang dibawa masuk dari luar yang bukan ajaran Islam, mengejar kemajuan dunia, dan melihat kemajuan yang dicapai oleh barat yang mencuri tamadun Islam tanpa mengambil Islamnya. Kekayaan barat yang meninggalkan Islam telah membakar diri mereka sendiri sehingga menghancur luluhkan masyarakat barat pada hari ini.

Orang Islam yang terpengaruh dengan barat dalam keadaan terpinga-pinga. Ketika barat dalam keadaan gelap, mereka sudah ada dalam Islam, sepatutnya mereka kembali kepada Islam. Namun untuk kembali kepada Islam itu kita menghadapi cabaran yang besar kerana musuh-musuh Islam yang datang daripada segenap penjuru tidak akan mengizinkan Islam itu bangkit dengan percuma. Maka menjadi kewajipan kepada umat Islam untuk menegakkan Islam di mana bumi tempat mereka berpijak. Selamatkanlah negara dan umat bersama dengan Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ﴿٣٣﴾ [سورة التوبة : ٣٣]

(Maksudnya): Dia lah yang telah mengutus rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment