Friday, November 22, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 25 RABI'UL AWAL 1441 / 22 NOVEMBER 2019


ISLAM MENYANTUNI HAK KANAK-KANAK

Khutbah Pertama


الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam". (Surah Ali-'Imran ayat 102)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kaum muslimin sekalian, bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diingatkan agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat keredaan Allah di dunia dan akhirat. Bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia baru-baru ini, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk; "Islam Menyantuni Hak Kanak-Kanak".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kanak-kanak adalah anugerah dan amanah yang diberikan oleh Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Setiap anak yang lahir ke dunia berhak diberikan nama yang baik, diazankan, ditahnik, dibuat aqiqah, dikhatankan dan mendapat pendidikan serta pembentukan sakhsiyah. Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan hak kanak-kanak ini terpelihara. Mereka adalah bakal pewaris yang akan membangunkan negara dan menyebarkan syiar Islam pada masa hadapan.

Secara umumnya, Islam merujuk kanak-kanak sebagai seseorang yang belum baligh. Dalam konteks Malaysia, kanak-kanak ditakrifkan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001 dan diterima pakai di peringkat antarabangsa. Walau apa pun maksud yang diguna pakai, perlindungan dan perkembangan seorang kanak-kanak adalah bergantung kepada orang dewasa.

Untuk kanak-kanak mencapai tahap kematangan yang sempurna, adalah bergantung sepenuhnya kepada orang dewasa untuk membuat keputusan yang berkaitan dengan mereka. Golongan dewasa mempunyai pengaruh besar dalam pembentukan peribadi kanak-kanak, sama ada membesar dengan identiti yang terpuji atau sebaliknya. Sebagaimana firman Allah Ta'ala dalam Surah As-Syu'arak ayat 132 hingga ayat 135:

وَاتَّقُوا الَّذِي أَمَدَّكُم بِمَا تَعْلَمُونَ ﴿١٣٢﴾ أَمَدَّكُم بِأَنْعَامٍ وَبَنِينَ ﴿١٣٣﴾ وَجَنَّاتٍ وَعُيُونٍ ﴿١٣٤﴾ إِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ عَذَابَ يَوْمٍ عَظِيمٍ ﴿١٣٥﴾

Bermaksud: "Dan berbaktilah kamu kepada Allah yang telah menolong kamu dengan pemberian nikmat-nikmat-Nya yang kamu sedia mengetahuinya. Diberinya kamu binatang-binatang ternak (yang membiak) serta anak-pinak (yang ramai), dan taman-taman (yang indah permai) serta mata air-mata air (yang mengalir). Sesungguhnya aku takut, (bahawa) kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar (huru-haranya)".

Ayat ini menjelaskan bahawa segala anugerah Allah kepada kita berupa ilmu pengetahuan, haiwan ternakan, ladang pertanian, mata air dan lain-lain termasuklah anak-anak adalah merupakan ujian kepada kita. Sama ada ia membawa kepada taqwa kepada Allah atau sebaliknya. Hak-hak mereka mestilah ditunaikan dan diberikan perhatian sewajarnya. Islam amat menitik beratkan perihal kemaslahatan kanak-kanak. Saiyidina 'Abdullah bin 'Amru meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w pernah bersabda:

مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيَعْرِفْ حَقَّ كَبِيرِنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: "Orang yang tidak bersikap belas kasihan terhadap kanak-kanak dan tidak tahu (menunaikan) hak orang-orang tua, maka dia bukan daripada kalangan kami". (Hadits riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Justeru, semua pihak harus menyedari dan memainkan peranan bagi memastikan kanak-kanak sentiasa dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan dan eksploitasi yang akan menjejaskan proses pembesaran mereka. Kanak-kanak juga mempunyai hak yang sama dengan manusia dewasa. Mereka perlu dihormati, kerahsiaan peribadi mereka dijaga rapi, tidak dimalukan di khalayak ramai, tidak dianiaya, didera secara fizikal, mental apatah lagi emosi.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Mimbar ingin menarik perhatian para jamaah, untuk kita sama-sama memandang serius masalah pengabaian kanak-kanak. Apakah maksud pengabaian? Menurut Kamus Dewan, pengabaian bermakna cuai, lalai, tidak atau kurang memberikan perhatian kepada seseorang atau sesuatu sehingga menimbulkan masalah. Pengabaian anak adalah bentuk penderaan kanak-kanak yang paling banyak berlaku dan paling banyak membawa padah. Pengabaian boleh dibahagikan kepada 3 bentuk:

Pertama: Pengabaian keselamatan dan perubatan. Ini adalah bentuk pengabaian yang paling biasa berlaku. Ia termasuk keengganan ibu bapa untuk mendapatkan penjagaan perubatan yang sewajarnya untuk anak; meninggalkan anak; membiarkan anak kecil sendiri tanpa pengawasan dan kegagalan untuk memberi perlindungan dan pakaian yang secukupnya. Isu seperti basikal lajak yang timbul baru-baru ini, sewajarnya menyedarkan para ibu bapa untuk kembali mementingkan aspek keselamatan anak-anak.

Kedua: Pengabaian pendidikan. Ini berlaku apabila anak dibenarkan tidak pergi ke sekolah tanpa sebab yang munasabah untuk jangka waktu yang lama; tidak didaftarkan di sekolah walaupun sudah mencapai umur untuk bersekolah, atau tidak diberi pendidikan khas sedangkan si anak ternyata memerlukannya.

dan Ketiga: Pengabaian emosi. Pengabaian jenis ini jarang kita sedari. Ibu bapa mungkin enggan memberi kasih sayang sebagai satu bentuk disiplin tetapi ia boleh memudaratkan apabila sikap tidak ambil peduli menjadi kebiasaan ibu bapa. Keengganan membelai anak, mencemuh dan memencilkan anak boleh menyebabkan kerosakan emosi dan saikologi kepada jiwanya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam merupakan sebuah agama yang sejahtera. Islam melarang seseorang daripada mencederakan orang lain tanpa sebarang alasan terutamanya kanak-kanak. Penderaan kanak-kanak adalah satu bentuk pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka.

Perlindungan ke atas kanak-kanak tidak akan dapat dipenuhi selagi kita tidak menyelesaikan pelbagai bentuk penderaan, keganasan dan eksploitasi yang akan menafikan atau mengancam hak kanak-kanak untuk mendapatkan penjagaan oleh ibu bapa, pendidikan, penjagaan kesihatan, serta kebebasan untuk meluahkan buah fikiran mereka.

Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh PDRM, pada tahun 2008, sebanyak 281 kes penderaan melibatkan kanak-kanak lelaki dan 175 kes melibatkan kanak-kanak perempuan. Majoriti kanak-kanak yang menjadi mangsa penderaan adalah di antara umur 1 hingga 7 tahun. Selain itu, kes penderaan kanak-kanak semakin meningkat setiap tahun dan perkara ini perlu ditangani dengan segera.

Mengenai penjagaan kesihatan kanak-kanak di Malaysia, beberapa laporan antarabangsa telah dikeluarkan berkenaan masalah kanak-kanak di Malaysia yang kurang nutrisi. Menurut laporan kesihatan sedunia (WHO), 17.7 peratus kanak-kanak dan remaja antara usia 5 ke 19 tahun mengalami masalah pertumbuhan terbantut. Makanan dan minuman merupakan daruriyat iaitu keperluan-keperluan yang mesti dimiliki oleh setiap insan bagi melengkapkan hidup di dunia ini. Meskipun demikian, Islam tetap mengingatkan umatnya supaya memastikan makanan dan minuman mestilah halal dan baik.

Hadirin yang dirahmati Allah,

Isu perkahwinan kanak-kanak di Malaysia masih diperdebatkan sehingga ke hari ini. Terdapat kajian yang mengatakan bahawa faktor perkahwinan kanak-kanak di Malaysia berlaku bukan kerana maslahah tetapi disebabkan terlanjur dan ingin menutup aib keluarga yang tercemar. Walaupun Islam membenarkan perkahwinan kanak-kanak namun ibu bapa harus melihat kepentingan yang terbaik demi masa depan anak-anak mereka.

Justeru itu, ibu bapa hendaklah memainkan peranan penting dalam melindungi kanak-kanak. Perkembangan fizikal dan mental kanak-kanak harus diambil berat dalam memastikan mereka dapat membesar dengan sempurna. Ibu bapa juga seharusnya menjadi contoh teladan yang utama kepada kanak-kanak dengan melayani mereka dengan penuh kasih sayang serta memastikan mereka diberikan keperluan hidup yang mencukupi.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Setiap ibu bapa mahukan anak-anak yang soleh dan berjaya dalam kehidupan mereka. Banyak sekali kaedah-kaedah diketengahkan dalam mendidik anak-anak. Kaedah yang terbaik tentulah seperti yang telah dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w sendiri. Baginda Rasulullah s.a.w meletakkan matlamat kejayaan kehidupan seseorang adalah berjaya dan bahagia bukan sahaja di dunia, malah juga di akhirat. Begitulah cara baginda mendidik anak-anak dan generasi para sahabat.

Walaupun kesibukan harian ibu bapa mencari rezeki untuk keluarga telah menghadkan masa mereka bersama anak-anak, namun ia bukanlah alasan untuk ibu bapa mengabaikan pendidikan dan pemantauan terhadap anak-anak. Untuk membangunkan generasi yang mantap dari segi ilmu di dunia dan akhirat, maka proses pendidikan dan pembentukan sakhsiyah anak-anak mestilah bermula daripada awal. Kesimpulan yang boleh diambil daripada khutbah Jumaat pada hari ini adalah:

Pertama: Kanak-kanak adalah anugerah Allah s.w.t sebagai penyambung zuriat dan keturunan.

Kedua: Kanak-kanak berhak mendapat pendidikan, penjagaan kesihatan, perlindungan dan sebagainya.

Ketiga: Pemimpin, ibu bapa dan masyarakat memainkan peranan penting dalam memelihara hak asasi kanak-kanak.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment