Thursday, November 14, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 18 RABI'UL AWAL 1441 / 15 NOVEMBER 2019


BENCANA ALAM : SATU UJIAN DAN PERINGATAN DARIPADA ALLAH

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنتُم مُّسْلِمُونَ ﴿١٠٢﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam". (Surah Ali-'Imran ayat 102)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan kaum muslimin sekalian, bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa, yakni dengan melaksanakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diingatkan agar menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat keredaan Allah di dunia dan akhirat. Mimbar hari ini akan membicarakan khutbah bertajuk; "Bencana Alam: Satu Ujian dan Peringatan Daripada Allah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Baru-baru ini negara digemparkan dengan bencana alam berbentuk taufan yang bernama taufan Lekima. Jabatan Meteorologi Malaysia telah mengesahkan kejadian ribut serta hujan lebat di beberapa negeri utara tanahair adalah disebabkan ekor taufan Lekima yang membadai timur negara China.

Akibat daripada kejadian ribut dan angin kencang ini, sembilan buah masjid di Kedah dilaporkan rosak, beberapa sekolah dan institusi pendidikan di tujuh buah negeri terjejas akibat dilanda taufan. Berdasarkan rekod, anggaran kerosakan adalah sebanyak RM60.2 juta.

Oleh itu, kita menzahirkan rasa simpati atas musibah ini dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat. Sesungguhnya ia merupakan ujian dan takdir Allah s.w.t buat hamba-Nya yang lemah, sebagaimana firman Allah dalam Surah At-Taubah ayat 51:

قُل لَّن يُصِيبَنَا إِلَّا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَنَا هُوَ مَوْلَانَا ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ ﴿٥١﴾

Maksudnya: "Katakanlah: "Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dia lah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Peristiwa bencana alam seperti banjir dan ribut taufan merupakan peringatan daripada Allah s.w.t agar kita bermuhasabah tentang diri masing-masing. Dalam Al-Quran, Allah s.w.t menceritakan banyak tamadun umat manusia dimusnahkan oleh Allah s.w.t melalui bencana alam. Antaranya kaum Nabi Nuh, yang dimusnahkan dengan banjir, kaum Nabi Lut yang dimusnahkan dengan gempa bumi, dan kaum 'Ad yang dimusnahkan dengan ribut taufan 7 hari 7 malam. Semua bencana ini berlaku kerana hukuman Allah s.w.t di atas kekufuran dan kemungkaran mereka. Firman Allah Ta'ala:

فَكُلًّا أَخَذْنَا بِذَنبِهِ ۖ فَمِنْهُم مَّنْ أَرْسَلْنَا عَلَيْهِ حَاصِبًا وَمِنْهُم مَّنْ أَخَذَتْهُ الصَّيْحَةُ وَمِنْهُم مَّنْ خَسَفْنَا بِهِ الْأَرْضَ وَمِنْهُم مَّنْ أَغْرَقْنَا ۚ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيَظْلِمَهُمْ وَلَٰكِن كَانُوا أَنفُسَهُمْ يَظْلِمُونَ ﴿٤٠﴾

Maksudnya: "Maka masing-masing Kami binasakan dengan sebab dosanya, iaitu di antaranya ada yang Kami hantarkan angin ribut menghujaninya dengan batu; dan ada yang dibinasakan dengan letusan suara yang menggempakan bumi; dan ada yang Kami timbuskan dia di bumi; dan ada pula yang Kami tenggelamkan di laut. Dan (ingatlah) Allah tidak sekali-kali menganiaya mereka, akan tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri". (Surah Al-'Ankabut ayat 40)

Peringatan ayat Allah ini perlu menjadi pengajaran bahawa akibat kekufuran dan perbuatan maksiat yang dilakukan, akan menjadi penyebab datangnya kemurkaan Allah. Perlu difahami bahawa bencana alam juga boleh berlaku disebabkan kerakusan manusia kerana mengejar kemewahan dunia. Firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41:

ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ ﴿٤١﴾

Maksudnya: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)".

Allah s.w.t juga akan menguji hamba-Nya melalui bencana, malapetaka, kesusahan dan kepayahan bagi melatih kesabaran serta memperteguhkan keimanan dalam melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Hal ini berdasarkan firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 155 hingga 156:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ ﴿١٥٥﴾ الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ ﴿١٥٦﴾

Maksudnya: "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali".

Bencana alam merupakan fitrah alam yang tidak dapat dihalang oleh manusia. Ia bukan sahaja mengakibatkan kerosakan harta benda malah turut mengorbankan nyawa manusia. Oleh itu, sebagai umat Islam kita perlu menyedari bahawa bencana alam boleh jadi ia merupakan suatu ujian ataupun sebagai peringatan dan bala daripada Allah s.w.t.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Setiap bencana yang berlaku, terdapat hikmah di sebaliknya. Oleh itu, sekurang-kurangnya terdapat 3 pengajaran penting yang boleh kita ambil sebagai pedoman dan iktibar:

Yang pertama: Umat Islam perlu meyakini bahawa setiap bentuk musibah atau bencana merupakan ujian dan kasih sayang Allah s.w.t terhadap hamba-Nya. Kita jangan sekali-kali berputus asa serta menolak ketetapan Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w pernah bersabda tentang keadaan orang yang beriman apabila ditimpa musibah. Daripada Abi Yahya Suhaib bin Sinan r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ.

Maksudnya: "Alangkah mengagumkan keadaan orang beriman itu, kerana semua (orang beriman) keadaannya (membawa) kebaikan (untuk dirinya), dan ini hanya ada pada seorang mukmin, jika dia memperolehi kesenangan dia akan bersyukur, dan jika dia ditimpa kesusahan dia akan bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Yang kedua: Bencana adalah medan ujian kasih sayang kita kepada saudara kita yang ditimpa penderitaan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا نَفَّسَ اللَّهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَاللَّهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيهِ

Maksudnya: "Barangsiapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin, Allah akan melepaskan satu kesusahannya pada hari kiamat. Barangsiapa yang memudahkan urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa yang menutupi 'aib saudaranya sesama muslim, Allah akan menutupi 'aibnya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu suka menolong saudaranya". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Oleh itu, sebagai seorang muslim kita perlu prihatin dan membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan. Ia merupakan hablum minan nas iaitu usaha untuk memelihara hubungan antara manusia dengan makhluk yang lain.

Yang ketiga: Bencana merupakan suatu peringatan langsung daripada Allah kepada hamba-Nya bagi memberi peluang kepada hamba-Nya itu untuk bermuhasabah dan bertaubat kepada-Nya. Sebagaimana firman Allah s.w.t:

۞ قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِن رَّحْمَةِ اللَّهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ ﴿٥٣﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama ini, marilah kita menghayati rumusan khutbah pada hari ini:

Pertama: Meyakini bahawa setiap kejadian atau bencana merupakan ujian dan peringatan yang berlaku atas kekuasaan Allah s.w.t.

Kedua: Mempunyai sifat belas kasihan dan prihatin terhadap mangsa bencana dan menghulurkan segala bentuk pertolongan yang termampu.

Ketiga: Menyedari hikmah di sebalik bencana yang menimpa dengan mengambil peluang bertaubat serta menginsafi atas segala kesalahan dan kesilapan yang dilakukan. Hayatilah firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Hadid ayat 22:

مَا أَصَابَ مِن مُّصِيبَةٍ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي أَنفُسِكُمْ إِلَّا فِي كِتَابٍ مِّن قَبْلِ أَن نَّبْرَأَهَا ۚ إِنَّ ذَٰلِكَ عَلَى اللَّهِ يَسِيرٌ ﴿٢٢﴾

Maksudnya: "Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah".


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, walau setinggi mana kedudukan kita, walau hidup kita susah tanpa limpahan harta, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita semua mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment