Friday, November 1, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 4 RABI'UL AWAL 1441 / 1 NOVEMBER 2019


RAJA DAN KEAMANAN NEGARA BERPISAH TIADA

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا... ﴿١٢٦﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa...". (Surah Al-Baqarah ayat 126)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa yakni dengan melaksanakan segala perintah Allah, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diminta untuk menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat keredaan Allah di dunia dan akhirat. Sempena sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulah kali yang ke-63, mimbar hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk; "Raja dan Keamanan Negara Berpisah Tiada".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t atas sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan kali yang ke-63. Kita juga bersyukur, atas nikmat keamanan yang berpanjangan kepada negara Malaysia yang kita cintai. Sesungguhnya nikmat kurniaan Ilahi ini tiada ternilai dan ia sebagai tanda rahmat dan kasih sayang Allah s.w.t kepada hamba-Nya. Semoga nikmat ini terus berkekalan hingga ke akhir zaman, birahmatiKa Ya Arhamar Rohimin.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Sesungguhnya keamanan dan kemakmuran tidak datang bergolek begitu sahaja. Keamanan dan kemakmuran hendaklah diperjuangkan. Keamanan yang kita kecapi selama ini adalah hasil usaha pejuang negara serta doa umat Islam seluruhnya. Para pejuang yang dimaksudkan ini ialah semua lapisan masyarakat tidak mengira bangsa yang mempertahankan negara seterusnya bersama-sama memacu kemakmuran bermula wujudnya negara berdaulat sehingga ke hari ini.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tidak dapat dinafikan, keunikan sistem pemerintahan dan Perlembagaan Negara pasca kemerdekaan, menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keamanan negara. Kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Raja Berperlembagaan yang berperanan sebagai Ketua Negara, yakni Pemerintah dan Ketua Agama Islam di negeri-negeri khasnya, dan di negara kita amnya.

Menelusuri sejarah perjuangan masyarakat melayu menentang penjajahan British, Raja-Raja Melayu didesak dan dipaksa untuk bersetuju dengan penubuhan Malayan Union. Namun akhirnya Raja-Raja Melayu dan rakyat jelata bersama-sama memulau majlis pengisytiharan penubuhan Malayan Union yang seterusnya gagal dilaksanakan.

Raja-Raja Melayu juga telah menjadi payung keamanan negara dalam tempoh yang begitu lama. Bermulanya sejarah Kerajaan Kesultanan Melayu Melaka, hinggalah kepada zaman pemerintahan Raja Berperlembagaan pada hari ini. Kelangsungan ini adalah hasil jalinan kesepaduan antara rakyat dan Raja-Raja Melayu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Islam dan keamanan adalah dua hal yang tidak dapat dipisahkan. Ini kerana falsafah pengertian Islam itu sendiri bermaksud aman dan damai. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Anfal ayat 61:

۞ وَإِن جَنَحُوا لِلسَّلْمِ فَاجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ﴿٦١﴾

Maksudnya: "Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".

Justeru dalam menuju kepada keamanan dan kemakmuran negara, formula tasamuh dan ta'ayush hendaklah difahami dan dilaksanakan. Dalam Islam, konsep ta'ayush atau kita hidup bersama dengan masyarakat yang berbeza bangsa, berbeza agama, berbeza keturunan dalam keadaan menjaga keharmonian sesama kita. Manakala konsep tasamuh pula kita berlapang dada atas perbezaan pendapat dan fahaman sesama muslim.

Kerana itu kita sentiasa digalakkan bertolong-tolongan pada perkara-perkara yang kita sepakati, manakala kita bertolak ansur pada perkara yang kita khilafi. Kewajipan ini tentulah menjadi keutamaan demi mewujudkan sebuah negara yang kekal aman dan makmur sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Baqarah ayat 126:

وَإِذْ قَالَ إِبْرَاهِيمُ رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا... ﴿١٢٦﴾

Maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Makkah) ini, negeri yang aman sentosa...". (Surah Al-Baqarah ayat 126)

Menerusi doa Nabi Ibrahim a.s di dalam ayat ini, dapat kita fahami bahawa keamanan adalah teras penting dalam kesejahteraan sesebuah negara.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Keamanan juga merupakan unsur penting dalam memenuhi Maqasid Syari'ah atau matlamat serta tujuan sesuatu peraturan syariat. Prinsip-prinsip Maqasid Syari'ah seperti memelihara agama, memelihara akal, memelihara jiwa, memelihara harta dan memelihara keturunan tidak dapat dilaksanakan tanpa keamanan. Negara yang bergolak tidak akan mampu untuk memelihara maqasid tersebut. Apatah lagi untuk melaksanakan syi'ar-syi'ar Islam yang lebih besar. Dengan keamanan, maka kesyumulan ajaran Islam akan jelas terpancar dalam semua aspek kehidupan, duniawi dan ukhrawi.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Pada sambutan Ma'al Hijrah peringkat negeri Perak yang lalu, Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulah bertitah tentang kepentingan memelihara keamanan dan kesejahteraan negara. Memetik titah baginda:

"Majoriti warga di negara ini cintakan keamanan. Apakah kemenangan yang mahu diperoleh oleh sebahagian mereka yang bergelar pemimpin, bersaing mempamerkan ego masing-masing, sehingga sanggup meletakkan nilai diri sebegini rendah, dalam hasrat mencari pengaruh dan sokongan politik. Apakah kepuasan yang bakal dihirup, sekiranya darah warga membasahi bumi, mayat bergelimpangan, bangunan terbakar, dan kenderaan hangus dijilat api. Suhu panas ini wajib segera diturunkan. Perbuatan menyalakan api perkauman, perbuatan meniupkan bara permusuhan antara agama, wajib dihentikan tanpa berlengah. Undang-undang wajib didaulatkan supaya keselamatan nyawa, keselamatan harta benda warga yang tidak berdosa, terjamin dilindungi".

Selanjutnya, pada Persidangan Jawatankuasa Qaryah peringkat negeri Perak baru-baru ini, baginda Tuanku Sultan sekali lagi mengingatkan rakyat jelata tentang kepentingan memelihara keamanan. Titah baginda:

"Para pemegang amanah yang diberikan tanggungjawab mengurus masjid di negeri Perak, wajib memahami falsafah kewujudan serta peranan utama masjid, sebagai institusi menyatu padukan umat, institusi yang wajib dimuliakan - institusi yang wajib diimarahkan - institusi yang wajib dilindungi daripada sebarang perbuatan dan percakapan yang boleh menodai kesuciannya. Ahli-ahli jawatankuasa qaryah hendaklah membantu beta pada setiap masa melindungi masjid daripada dicemari oleh aktiviti yang boleh memecah belahkan ahli-ahli qaryah. Sedarilah! Musuh utama yang berpotensi besar mencemari masjid dan memecah belahkan umat ialah kegiatan politik berpuak secara keterlaluan".

Begitulah dua petikan titah Tuanku yang wajar kita renungi dan ambil iktibar. Melalui keamanan, Islam akan dilihat sebagai agama yang mementingkan kesejahteraan kepada seluruh manusia dan kehidupan. Ini bertepatan dengan sebuah firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Anbiya' ayat 107:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِّلْعَالَمِينَ ﴿١٠٧﴾

Maksudnya: "Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama hari ini, kita selaku rakyat hendaklah akur dan taat dengan nasihat Sultan demi keamanan dan kesejahteraan bersama. Kita berdoa semoga Allah s.w.t terus melimpahi penduduk negeri ini dengan nikmat berterusan dan keberkatan dalam kehidupan.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita semua mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, bersempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulah kali yang ke-63, Engkau lanjutkanlah usia baginda dalam rahmat serta berkat agar baginda dapat terus memerintah dengan penuh keadilan dan terus memayungi dan memimpin keamanan rakyat. Kurniakanlah taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat Diraja dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment