Friday, October 25, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 26 SAFAR 1441 / 25 OKTOBER 2019


AKIDAH TERAS KEKUATAN DIRI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
إِنَّ الدِّينَ عِندَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ ۗ وَمَا اخْتَلَفَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ إِلَّا مِن بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْعِلْمُ بَغْيًا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِآيَاتِ اللَّهِ فَإِنَّ اللَّهَ سَرِيعُ الْحِسَابِ ﴿١٩﴾

Maksudnya: "Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih (mengenai agama Islam dan enggan menerimanya) melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah tentang kebenarannya; (perselisihan itu pula) semata-mata kerana hasad dengki yang ada dalam kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya". (Surah Ali-'Imran ayat 19)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa yakni dengan melaksanakan segala perintah Allah, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diminta untuk menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat keredaan Allah di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari ini ingin mengajak sidang jamaah untuk menghayati khutbah bertajuk; "Akidah Teras Kekuatan Diri".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t kerana memberi kita peluang untuk meneruskan semangat dakwah Rasulullah s.a.w, menuju prestasi dan kualiti yang lebih baik, serta membina hubungan yang akrab dengan Allah s.w.t. Semangat dakwah telah berjaya mengangkat kejayaan Rasulullah s.a.w dalam membangunkan aspek keinsanan, kenegaraan dan ketamadunan ummah dengan berpaksikan akidah yang teguh. Inilah yang menjadi aspirasi kita dalam memastikan kelangsungan agenda perpaduan, keamanan dan kemakmuran negara ini. Tanpa akidah, semua ini akan menjadi sia-sia dan terjadi banyak kerosakan. Maksud akidah atau disebut juga sebagai iman ialah satu ikatan atau janji yang kukuh. Ia adalah satu kepercayaan yang tersimpul kukuh di dalam jiwa sehingga tidak boleh terungkai sekali-kali sebagaimana yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w bahawa iman itu bukanlah hanya bercita-cita tetapi apa yang teguh di dalam hati dan dibuktikan dengan amal anggota badan. Imam Asy-Syafi'e rahimahullah menyatakan bahawa iman itu tiga perkara; "Berikrar dengan lidah, membenarkan dengan hati dan beramal dengan anggota badan". Firman Allah Ta'ala:

وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رَّسُولٍ إِلَّا نُوحِي إِلَيْهِ أَنَّهُ لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنَا فَاعْبُدُونِ ﴿٢٥﴾

Maksudnya: "Dan Kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pun melainkan Kami wahyukan kepadanya: "Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Aku; oleh itu, beribadatlah kamu kepadaKu". (Surah Al-Anbiyak ayat 25)

Akidah merupakan asas atau dalam keimanan seseorang muslim. Ia menjadi simpulan ('uqdatun) yang kukuh dalam hati seseorang umat Islam mengenai keimanan kepada Allah s.w.t dan ajaran Islam yang disampaikan melalui Rasulullah s.a.w. Asas ini dibina berdasar kepercayaan dan keimanan dengan hati pada rukun iman yang meliputi; (1) Kepercayaan kepada Allah, (2) Kepercayaan kepada Rasul, (3) Kepercayaan kepada Malaikat, (4) Kepercayaan kepada Kitab, (5) Kepercayaan kepada Qada' dan Qadar, dan (6) Kepercayaan kepada Hari Kiamat. Dalam memastikan seseorang muslim itu mukmin, mereka dikehendaki mempercayai kepada semua keenam-enam elemen ini tanpa pilihan. Kekurangan satu daripadanya boleh menatijahkan seseorang itu gugur akidah atau tidak beriman.

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Menyedari hakikat ini, adalah sangat penting untuk kita meletakkan soal akidah sebagai satu keutamaan dalam seluruh aktiviti kehidupan diri, keluarga dan masyarakat. Namun dalam era kini, masyarakat kita tenat dengan pelbagai gejala dan kes yang kian meningkat saban hari. Terdapat fenomena di mana sebahagian daripada masyarakat Islam yang kurang jelas dalam melihat peranan akidah malah lebih cenderung menerima ilmu akidah sebagai ilmu yang bersifat teori semata-mata.

Akidah memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan perjalanan hidup seseorang. Akidah juga adalah penggerak dalam mencorakkan kehidupan seseorang muslim. Akidah yang lemah mengakibatkan seseorang itu mudah dipengaruhi dengan gaya hidup negatif dan merosakkan. Berdasarkan penelitian secara kasar, mereka yang tidak memiliki akidah yang jelas dan terpesong akan menghadapi pelbagai masalah dalam kehidupan dan terdedah kepada pelbagai kemungkaran seperti melakukan jenayah, terlibat dalam gejala keruntuhan moral dan lain-lain.

Dalam memastikan dan memelihara akidah umat Islam di negeri Perak khususnya, kerajaan sentiasa memandang serius dan komited dalam menguatkuasakan undang-undang yang sedang berkuatkuasa di negeri ini seperti Enakmen Syariah Negeri Perak 1992. Terdapat lebih kurang 10 jenis kesalahan berkaitan akidah dan juga maruah agama. Sebagai contoh, Seksyen 8 dalam enakmen tersebut adalah berkenaan dengan pemujaan, sesiapa yang memuja atau menyebabkan dipuja, mana-mana pantai, pokok, padang, kubur, hutan, bukit atau apa-apa benda lain atau mana-mana orang dengan apa jua cara atau bagi apa-apa tujuan yang berlawanan dengan hukum syarak, orang itu boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM5000 dan penjara tidak melebihi 3 tahun. Begitu juga yang terdapat dalam Seksyen 9 berkaitan dengan ajaran ataupun amalan salah. Ia menyebut, sesiapa yang mengajar agama, menghuraikan perkara agama kepada seseorang atau sekumpulan orang di tempat awam atau sebaliknya atau menjalankan sesuatu upacara atau sesuatu perbuatan perbuatan yang berlawanan dengan syarak adalah bersalah dan apabila disabitkan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM5000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali dan segala dokumen serta peralatan yang berkaitan dengan sabitnya itu hendaklah dirampas dan dimusnahkan. Selain itu, Seksyen 11 pula memperuntukkan denda yang sama untuk sesiapa yang mengaku dirinya atau orang lain itu Nabi, Imam Mahdi atau Wali.

Contoh terakhir pula berkenaan dengan Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak yang menyebut, sesiapa dengan perkataan, sama ada secara lisan atau bertulis, atau dengan apa-apa perbuatan, aktiviti atau kelakuan, atau dengan apa cara jua pun mencela atau menghina atau cuba mencela atau menghina agama Islam; ataupun orang itu mempersenda, mengajuk atau mengejek-ngejek akan amalan atau upacara yang berkaitan dengan agama Islam, adalah bersalah atas suatu kesalahan dan hendaklah, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM3000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Implikasi terhadap masyarakat sudah pastinya akan memberi kesan buruk, bukan sahaja kepada individu tetapi dipercayai mampu mencetuskan kebinasaan terhadap agama dan negara. Malah akan  menyebabkan munculnya kumpulan pelampau dan boleh bertindak ganas, antaranya boleh menubuhkan pasukan militan kerana berlaku penyelewengan akidah. Tambahan pula, kecelaruan pasti akan berlaku terhadap masyarakat awam, institusi keluarga dan akhirnya akan berlaku kepincangan institusi kemasyarakatan, ekonomi dan negara. Hal ini jelas, membuktikan sesetengah umat Islam kita memandang ringan soal akidah yang akhirnya membawa kepada keruntuhan akhlak peribadi muslim tersebut.

Marilah kita bersama-sama bersatu dalam memperkukuhkan akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah bagi meneruskan kesinambungan kecemerlangan generasi Islam yang terdahulu. Mudah-mudahan dengan kesatuan tersebut kita mampu untuk menangkis sebarang ancaman terhadap akidah yang pelbagai bentuk dan menimpa umat Islam hari ini. Mengakhiri khutbah hari ini, marilah kita hayati kesimpulan daripada khutbah seperti berikut:

Pertama: Akidah yang mantap memainkan peranan penting dalam mencorakkan kejayaan umat Islam.
Kedua: Penerapan nilai-nilai akidah dalam segenap kehidupan perlu dititik beratkan dalam menghadapi cabaran semasa khususnya dalam era globalisasi kini yang begitu mencabar.
Ketiga: Kekuatan akidah yang telah dizahirkan oleh baginda Nabi s.a.w dan para sahabatnya hendaklah dipelihara sepanjang masa.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, walau setinggi mana kedudukan kita, walau hidup kita susah tanpa limpahan harta, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita semua mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment