Friday, October 11, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 12 SAFAR 1441 / 11 OKTOBER 2019


ZAKAT : MEMBINA HAYAT MEMBUAH BERKAT

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
وَمِنْهُم مَّن يَلْمِزُكَ فِي الصَّدَقَاتِ فَإِنْ أُعْطُوا مِنْهَا رَضُوا وَإِن لَّمْ يُعْطَوْا مِنْهَا إِذَا هُمْ يَسْخَطُونَ ﴿٥٨﴾

Maksudnya: "Dan di antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (menurut kehendak mereka), mereka suka (dan memandangnya adil); dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah". (Surah At-Taubah ayat 58)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa yakni dengan melaksanakan segala perintah Allah, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diingatkan agar jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita memperoleh keredaan Allah di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari ini  mengajak sidang jamaah agar menghayati khutbah bertajuk; "Zakat : Membina Hayat Membuah Berkat".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Selepas kewajipan solat, Allah mensyariatkan pula kewajipan zakat kepada manusia. Bermula sejak umat terdahulu, syariat ini diteruskan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w. Firman Allah s.w.t:

فَإِن تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ ۗ وَنُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ ﴿١١﴾

Maksudnya: "Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seagama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui". (Surah At-Taubah ayat 11)

Namun syariat zakat dipandang sinis oleh sebahagian golongan kaya sejak zaman dahulu, seperti Qarun yang hidup sezaman dengan Nabi Musa a.s. Sebahagian orang Islam, ada yang merasa lega dan gembira jika hartanya dapat dielak dari dizakatkan, laksana terlepas dari hukuman dan denda. Padahal, zakat bukan bertujuan menghukum pemilik harta atau mengurangi harta yang dimilikinya. Tetapi ia bertujuan supaya golongan kaya turut berkongsi kekayaan dengan anggota masyarakat di sekelilingnya. Perasaan yang sepatutnya wujud ialah sedih jika hartanya belum cukup nisab, laksana pemilik ladang yang sedih melihat semua tanamannya dimakan ulat.

Sebaliknya, jika harta yang dimiliki cukup syarat untuk dizakatkan, ia sangat gembira dan bersyukur. Laksana pemilik ladang yang tersenyum melihat tanamannya segar dan berbuah lebat. Ia hampir-hampir tidak sabar untuk menuainya. Demikianlah sifat orang beriman dan berharta. Ia menunggu-nunggu saat untuk menunaikan zakatnya. Bahkan harta yang dikeluarkan sebagai zakat itu, akan diganti semula oleh Allah dari jalan yang tidak disedari. Barangkali Allah menghendaki rezeki seseorang yang miskin, berada dalam simpanan orang-orang kaya. Apabila mereka berzakat, maka mengalirlah rezeki itu kepada yang berhak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Selepas Nabi s.a.w wafat, muncul golongan murtad yang mengaku nabi (padahal ia palsu), dan enggan membayar zakat. Saiyidina Abu Bakar r.a sebagai khalifah menyusun bala tentera untuk memerangi mereka. Tindakan ini dibantah oleh Saiyidina 'Umar Al-Khattab atas alasan mereka hanya enggan membayar zakat tetapi mereka masih mengucap kalimah syahadah dan menunaikan solat. Lalu Abu Bakar menjawab:

وَاللَّهِ لَأُقَاتِلَنَّ مَنْ فَرَّقَ بَيْنَ الصَّلَاةِ وَالزَّكَاةِ، فَإِنَّ الزَّكَاةَ حَقُّ الْمَالِ، وَاللَّهِ لَوْ مَنَعُونِي عَنَاقًا كَانُوا يُؤَدُّونَهَا إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَقَاتَلْتُهُمْ عَلَى مَنْعِهَا.

Maksudnya: "Demi Allah, aku pasti akan memerangi sesiapa yang memisahkan antara solat dan zakat, sesungguhnya zakat adalah kewajipan bagi yang berharta. Demi Allah! Jika mereka enggan memberikan anak kambing yang mereka biasa berikan kepada Rasulullah s.a.w sebagai zakat, maka aku akan perangi mereka atas keengganan mereka itu". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Allah mengancam keras terhadap orang yang meninggalkan kewajipan zakat melalui sabda Nabi-Nya:

مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ ثُمَّ يَقُولُ أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ ثُمَّ تَلَا:
وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِن فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَّهُم ۖ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَّهُمْ ۖ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ ﴿١٨٠﴾

Maksudnya: "Barangsiapa diberi harta oleh Allah, lalu dia tidak menunaikan zakatnya, nescaya pada hari kiamat kelak hartanya ditukar menjadi seekor ular jantan (kulit kepalanya seperti membengkak kerana di kepalanya terkumpul banyak racun), yang berbisa dua taring di mulutnya. Ular itu dikalungkan di lehernya pada hari kiamat. Ular itu menggigitnya dengan kedua taringnya lalu berkata; Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu, kemudian baginda s.a.w membaca ayat 180 dari Surah Ali-'Imran yang bermaksud: Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang telah Allah berikan kepada mereka dari kurniaan-Nya menyangka bahawa perbuatan itu baik bagi mereka. Sebenarnya kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka. Harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya kelak pada hari kiamat. Dan kepunyaan Allah lah segala warisan (yang ada) di langit dan di bumi. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Terdapat kekeliruan dalam kalangan umat Islam hari ini apabila diminta untuk menunaikan kewajipan berzakat, lalu dijawabnya bahawa mereka sudah menderma ke surau, masjid dan rumah anak yatim. Sedangkan itu tidak termasuk zakat dan keduanya tidaklah sama.

Derma adalah pemberian kebajikan yang mengharap keredaan Allah s.w.t dan pahala semata-mata. Ia adalah amalan sunat dan tidak berdosa jika tidak dilakukan. Waktu dan jumlahnya pula tidak ditentukan. Sedangkan zakat adalah wajib. Waktunya telah ditentukan apabila cukupnya haul dan jumlahnya yang wajib dibayar menurut syarak adakah 2.5%. Meninggalkannya berdosa dan dijanjikan azab yang pedih. Oleh itu orang yang sudah bersedekah tetap wajib menunaikan zakat. Seperti orang yang banyak mendirikan solat sunat, tetapi masih wajib menunaikan solat fardu 5 waktu.

Terdapat sebahagian muslim yang membayar zakat dengan jumlah yang dianggarkan sahaja, tanpa mengira jumlah yang tepat. Sedangkan Allah dan rasul-Nya mengajarkan kiraan yang tepat. Terdapat pula orang yang membayar zakat terus kepada fakir miskin. Alasan mereka membayar terus kepada asnaf akan lebih memuaskan hatinya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pengurusan dan pelaksanaan ibadat zakat di negeri Perak telah diletakkan di bawah pengawasan Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) sebagai pihak yang berautoriti. Tujuannya agar semua sumber zakat dapat dikumpulkan dan diagihkan ke setiap daerah di negeri ini secara tepat kepada asnaf-asnaf yang layak. Itulah sunnah yang diajar oleh Rasulullah s.a.w dan dilaksanakan oleh para khalifah Islam. Ketika Nabi s.a.w mengutus Mu'az bin Jabal ke Yaman, baginda berpesan:

"Beritahu kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan dari sebahagian harta-harta mereka untuk dizakatkan, Ia diambil dari orang kaya untuk diagihkan kepada golongan fakir miskin dalam kalangan mereka. Apabila mereka mentaatimu dalam hal ini, maka peliharalah kehormatan harta mereka dan takutlah akan doa-doa orang yang teraniaya. Sesungguhnya tidak ada penghalang di antara doa-doa mereka itu dengan Allah s.w.t". (Hadits riwayat Muttafaqun 'alaih)

Imam Ibnu Hajar mengulas di dalam kitab beliau Fathul Bari; "Hadits ini dijadikan sandaran dan dalil bahawa pentadbir zakat adalah bertanggungjawab untuk mengumpulkan dan membahagikan zakat".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Nisab bagi zakat harta adalah 85 gram emas atau harganya RM17,000. Maka semua orang Islam yang memiliki harta, wajib menilai hartanya seperti emas, wang simpanan, perniagaan dan saham. Begitu juga wajib dinilai pengeluaran wang dari KWSP, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Koperasi Polis. Jika harta-harta ini mencecah RM17,000, maka wajib dizakatkan kepada Majlis Agama Islam Perak, di pejabat Baitul Mal berdekatan atau amil bertauliah. Firman Allah s.w.t:

وَلِكُلٍّ وِجْهَةٌ هُوَ مُوَلِّيهَا ۖ فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ ۚ أَيْنَ مَا تَكُونُوا يَأْتِ بِكُمُ اللَّهُ جَمِيعًا ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ ﴿١٤٨﴾

Maksudnya: "Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (Surah Al-Baqarah ayat 148)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment