Thursday, October 3, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 5 SAFAR 1441 / 4 OKTOBER 2019


BERSATU MEMPERKASA EKONOMI ISLAM

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي بَيَّنَ لَنَا الحَلَالَ وَالْحرَامَ، وَشَرَعَ لَنَا الأَحْكَامَ لِصَلَاحِ الأُمَمِ.
أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ سَيِّدُ الأَنَامِ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa yakni dengan melaksanakan segala perintah Allah, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, mimbar ingin mengingatkan para jamaah agar jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan kita memperoleh keredaan Allah di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk; "Bersatu Memperkasa Ekonomi Ummah".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sebagai khalifah di muka bumi, kita bertanggungjawab memakmurkan dunia dan bekerja untuk mencapai keredaan Allah. Ilmu yang kita perolehi, tenaga empat kerat yang kita miliki, hakikatnya adalah kurniaan Allah. Jika kita tidak memanfaatkan ia sepenuhnya, maka sia-sialah kehidupan kita di dunia ini. Saiyidina Az-Zubair bin Al-'Awwam meriwayatkan dalam sebuah hadits, beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:


لَأَنْ يَأْخُذَ أَحَدُكُمْ حَبْلَهُ فَيَأْتِيَ بِحُزْمَةِ الْحَطَبِ عَلَى ظَهْرِهِ فَيَبِيعَهَا فَيَكُفَّ اللَّهُ بِهَا وَجْهَهُ خَيْرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَسْأَلَ النَّاسَ أَعْطَوْهُ أَوْ مَنَعُوهُ

Maksudnya: "Sesiapa di antara kamu yang mencari kayu api, kemudian dibawa di atas belakangnya lalu dijual maka Allah akan memelihara mukanya, itu adalah lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada manusia, sama ada mereka memberi atau menolaknya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Di antara pekerjaan yang baik dan digalakkan oleh Islam ialah berniaga. Perniagaan merupakan amalan fardu kifayah yang dapat memajukan ekonomi ummah. Tanpa kekuatan ekonomi, kesejahteraan hidup umat Islam tidak akan tercapai dengan sempurna. Firman Allah s.w.t dalam Surah An-Nisa' ayat 29:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ ... ﴿٢٩﴾

Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan harta kamu di antara kamu dengan cara yang tidak jujur (batil), melainkan hendaklah ia dengan jalan perniagaan yang diredai dalam kalangan kamu...".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Rasulullah s.a.w sendiri merupakan seorang saudagar yang berjaya. Baginda melibatkan diri dalam bidang perniagaan sejak kecil. Ketika berusia 12 tahun, baginda telah belajar berniaga dan pada usia 25 tahun, baginda membawa barang dagangan hingga ke negara Syam. Sebahagian besar para sahabat Rasulullah s.a.w juga berkecimpung dalam bidang perniagaan, contohnya Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq dan Saiyidina 'Uthman bin 'Affan radiAllahu 'anhuma.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Bidang perniagaan adalah salah satu tuntutan fardu kifayah. Adalah wajib bagi tiap-tiap kumpulan masyarakat mewujudkan ramai peniaga untuk menampung keperluan mereka. Andainya tidak ada peniaga Islam atau bilangan belum mencukupi, maka seluruh masyarakat akan menanggung dosa. Oleh itu anggota masyarakat di kawasan itu perlu menambah bilangan peniaga ke tahap sempurna dan memuaskan.

Walaupun sekarang sudah ramai orang muslim yang menceburkan diri dalam bidang perniagaan, namun jumlahnya masih kurang memberikan kesan kepada kekuatan ekonomi umat Islam. Kita masih bergantung kepada produk atau perkhidmatan daripada orang bukan Islam dalam kehidupan kita sehari-hari. Lantaran kita tidak bersatu padu membangunkan ekonomi kita sendiri, maka kita mudah ditindas, diperdaya dan dipermain-mainkan. Menyedari hakikat ini, kita perlulah kembali berganding bahu menyusun strategi yang lebih teratur, demi membina kekuatan ekonomi di negara yang kita cintai ini. Semoga kita terhindar daripada bahaya kehinaan seperti yang disebutkan di dalam Al-Quran:


ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِّنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِّنَ النَّاسِ ...  ﴿١١٢﴾

Maksudnya: "Akan ditimpa kehinaan ke atas mereka itu di mana sahaja mereka berada, kecuali mereka yang menghubungkan diri dengan Allah dan menghubungkan diri sesama manusia...". (Surah Ali-'Imran ayat 112)

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Kemunduran ekonomi umat Islam pada hari ini perlu ditangani dengan bijaksana. Allah s.w.t tidak akan mengubah nasib kita sehingga kita mengubah diri kita sendiri.

Seringkali kita dapati sebahagian orang-orang Islam yang masih dalam keadaan leka, berangan-angan, berseronok-seronok begitu sahaja, gemar menganjurkan majlis-majlis hiburan dan pesta yang merugikan masa, tenaga, wang serta merosakkan akhlak dan budaya bangsa. Pada ketika inilah, pihak lain mengambil kesempatan untuk mengaut kekayaan dan menguasai sumber ekonomi negara. Akibatnya, kita terus ketinggalan di belakang, ibarat kata pepatah: "Ayam mati di kepuk padi, itik mati haus di air".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Islam menuntut umatnya untuk berusaha memperkasa ekonomi dengan mengeluarkan dan membekalkan produk buatan sendiri. Hal ini kerana umat Islam lebih mengetahui hukum-hukum dan penyediaan sesuatu produk tersebut. Rasulullah s.a.w pernah memuji kaum Al-Asy'ariyyin yang menolong sesama mereka ketika susah. Sabda baginda:


إِنَّ الْأَشْعَرِيِّينَ إِذَا أَرْمَلُوا فِي الْغَزْوِ أَوْ قَلَّ طَعَامُ عِيَالِهِمْ بِالْمَدِينَةِ جَمَعُوا مَا كَانَ عِنْدَهُمْ فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ ثُمَّ اقْتَسَمُوهُ بَيْنَهُمْ فِي إِنَاءٍ وَاحِدٍ بِالسَّوِيَّةِ فَهُمْ مِنِّي وَأَنَا مِنْهُمْ

Maksudnya: "Sesungguhnya kaum Al-Asy'ariyyin apabila keluar berperang atau kekurangan makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam sangat perlu mengambil pengajaran daripada hadits ini jika kita ingin membina semula kekuatan ekonomi umat Islam. Ketika ekonomi umat Islam jauh ketinggalan, sikap mengutamakan barangan muslim adalah satu tuntutan. Dalam masa yang sama, Islam tidak menafikan hak dan penglibatan orang bukan Islam dalam berjual beli, dengan syarat mereka mematuhi hukum dan etika pengeluaran sesuatu produk barangan atau perkhidmatan.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Seorang peniaga muslim yang ingin berjaya perlu memiliki akhlak Islam yang terpuji. Anggapan yang salah seperti - mahu untung banyak mestilah pandai menipu, jika asyik mengira dosa pahala sahaja pasti rugi - semua ini perlulah dijauhi. Patuhilah beberapa peraturan yang ditetapkan Islam, antaranya:

1. Jangan melakukan jual beli yang haram seperti terlibat dengan riba.
2. Jangan mengurangkan timbangan dan sukatan, menipu, tidak menunaikan janji atau tidak membayar hutang.
3. Orang Islam perlu mengutamakan barang keperluan daripada peniaga muslim. Tujuannya untuk memupuk semangat perpaduan umat, bersatu padu memperkukuh ekonomi dan memenuhi tuntutan ajaran Islam.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Sudah tiba masanya untuk setiap umat Islam bertindak. Marilah kita ubah sikap kita dan cara hidup yang merugikan. Tidak ada orang lain yang akan menyelamatkan umat ini melainan atas kesedaran umat Islam sendiri. Kita perlu berani membuang sifat-sifat yang merugikan dan bekerja kuat untuk mencapai kejayaan, sebagaimana firman Allah s.w.t:


وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ ۖ ... ﴿١٠٥﴾

Maksudnya: "Katakanlah (wahai Muhammad) beramallah kamu semua, nescaya Allah, rasul-Nya dan orang-orang mukmin akan melihat apa yang kamu kerjakan...". (Surah At-Taubah ayat 105)


بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah. Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Abul Hasan 'Ali An-Nadawi, seorang ulamak hebat pernah menulis di dalam bukunya yang bertajuk Maza Khosirol 'Alam Binhitotil Muslimin? (Apakah kerugian dunia disebabkan kemunduran umat Islam?), kata beliau:

"Sepatutnya dunia Arab dan dunia Islam mampu menguasai dunia perniagaan, hartanah, pendidikan dan industri. Bangsa ini sepatutnya tidak boleh memakai melainkan apa yang tumbuh di buminya dan ditenun dengan tangannya.

Sesungguhnya dunia Arab akan terus gagal menyaingi Barat selagi mereka memerlukan Barat dalam soal harta, pakaian dan barangan. Tidak ada pen yang digunakan untuk menandatangani sesuatu perjanjian dengan Barat, melainkan pen itu dibuat di Barat. Tidaj ada senjata yang digunakan untuk memerangi Barat, melainkan senjata itu dibuat di Barat.

Adalah memalukan, apabila umat Arab tidak dapat mengambil manfaat daripada sumber kekayaan mereka sendiri. Adalah memalukan, apabila air kehidupan yang mengalir di dalam urat mereka, akhirnya sampai ke tubuh orang lain".

Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada kata-kata ini. Kuasa membeli yang besar terletak di tangan umat Islam. Setiap muslim dituntut untuk mengutamakan produk-produk saudara muslimnya kerana ini adalah salah satu bentuk tolong menolong yang berpahala. Setiap daripada kita adalah satu juzuk daripada umat ini, janganlah kita melupakan tanggungjawab ukhuwwah Islamiyyah sesama kita.


قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment