Friday, October 4, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 5 SAFAR 1441 / 4 OKTOBER 2019


TAMADUN DUNIA YANG MEMUSNAHKAN

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنزَلَ عَلَىٰ عَبْدِهِ الْكِتَابَ لِيَكُونَ لِلْعَالَمِينَ نَذِيرًا. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، أَرْسَلَهُ اللهُ بَشِيْرًا وَنَذِيْرًا بَيْنَ يَدَيِ السَّاعَةِ، فَأَدَّى الْأَمَنَةَ، وَبَلَّغَ الرِّسَالَةَ، وَنَصَحَ لِلْأُمَّةَ وَجَاهَدَ فِى اللهِ حَقَّ جِهَادِهِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ، وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ.

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar amaran daripada Allah s.w.t di dalam kitab-Nya:

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ ﴿٦﴾ إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ ﴿٧﴾ الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ ﴿٨﴾ وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ ﴿٩﴾ وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ ﴿١٠﴾ الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ ﴿١١﴾ فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ ﴿١٢﴾ فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ ﴿١٣﴾ إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ ﴿١٤﴾ [سورة الفجر : ١٤-٦]

(Maksudnya): (Kami tetap akan membinasakan orang-orang yang menentangmu wahai Muhammad), tidakkah engkau perhatikan, bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum Aad (yang kufur derhaka). Iaitu penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi tiangnya, (sesuai dengan penduduknya). Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di segala negeri (pada zamannya)? Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh? (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan bencana di negeri-negeri itu. Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka berbagai paluan azab; Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (terutama balasan akhirat).

Ditunjukkan tamadun umat di zaman dahulu yang hebat dengan kekayaan dan kekuatan yang ada pada mereka seperti mendirikan bangunan-bangunan yang besar dan mempunyai bala tentera yang ramai. Begitulah tamadun yang disaksikan oleh orang-orang Arab yang membaca Al-Quran dalam perjalanan mereka ke timur dan barat. Seluruh manusia menyaksikan tamadun-tamadun yang lain yang didirikan oleh manusia menjadi kunjungan para pelancong hari ini seperti tamadun bangunan kerajaan Babylon dan tamadun Tembok Besar China yang hebat sehingga menjadi perkara yang menakjubkan dunia.

Ramai daripada kalangan manusia melupai bagaimana tamadun itu didirikan di atas kezaliman dengan membunuh dan memperhambakan rakyat, merompak harta kekayaan negara dan membiarkan rakyat hidup merempat untuk mendirikan kekayaan dan kebesaran.

Allah mengutuskan rasul-rasul 'alaihimus solatu wassalam mengingatkan mereka semua supaya kembali kepada Allah, sedar dan insaf dan jangan lupa daratan dengan tidak mengira halal dan haram dalam kehidupan dunia serta jangan tamak dan haloba. Ketahuilah, perjalanan hidup manusia menemui kematian dan hari akhirat, tetapi mereka semua tidak peduli kepada nabi-nabi dan rasul-rasul itu. Ada yang membunuh nabi-nabi, memenjarakan nabi-nabi, membunuh pengikut nabi-nabi dan menzalimi orang yang bersama dengan rasul. Mereka diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat, tetapi mereka terus degil. Lalu Allah membinasakan mereka dalam sekelip mata.

Begitulah tamadun yang kemudian daripadanya, termasuk tamadun orang Islam sendiri yang diberi kemenangan oleh Allah s.w.t seperti di Sepanyol, di Baghdad dan lain-lain lagi. Mereka mendirikan istana-istana yang besar sehingga lupa halal dan haram, lupakan rakyat dan lupakan amanah yang diwajibkan oleh Allah s.w.t. Di mana mereka semua sekarang?

Semua tamadun yang didirikan atas dasar kezaliman dengan merompak dan menyamun ini dikekalkan di atas muka bumi untuk disaksikan oleh manusia.

Namun Allah s.w.t mengizinkan kerajaan Islam yang adil mendirikan tamadun yang hebat. Nabi Sulaiman a.s yang memerintah dunia menguasai manusia, jin dan binatang, mendirikan bangunan-bangunan yang hebat juga, tetapi taat kepada Allah s.w.t, memerintah dengan adil, sedar dan insaf serta berzikir di hadapan Allah.

... هَٰذَا مِن فَضْلِ رَبِّي لِيَبْلُوَنِي أَأَشْكُرُ أَمْ أَكْفُرُ ۖ ... ﴿٤٠﴾ [سورة النمل : ٤٠]

(Maksudnya): Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberian-Nya.

Di mana jasa-jasa mereka dikenang dan disebut di dalam Kitab Allah, dibaca riwayatnya yang baik. Mengapa Allah menghilangkan kesan-kesan bangunan mereka? Untuk menjadi iktibar kepada manusia, bahawa yang penting adalah amal yang soleh bukan bangunan-bangunan itu.

Hari ini kita menyaksikan tamadun Barat yang hebat mencipta senjata-senjata yang canggih, mencipta roket ke angkasa lepas sehingga mendakwa mendarat di bulan, mengesan cakerawala di langit dan menggali perut bumi. Semuanya itu bagi menunjukkan kekuatan mereka seolah-olah tiada siapa yang boleh melawan mereka. Allah memberi ujian kepada mereka semua. Sebagaimana tamadun-tamadun terdahulu dimusnahkan oleh Allah, percayalah tamadun moden ini juga akan dimusnahkan oleh Allah.

Kita menyaksikan kemusnahan dan keruntuhan itu sedang berlaku ini seperti Allah menunjukkan cuaca dunia yang tidak menentu, kehidupan berhawa nafsu tanpa mengira lelaki dan perempuan, tersebarnya penyakit-penyakit yang berjangkit dan bencana alam di sana sini akibat kerja tangan-tangan mereka sendiri. Ia sebagai amaran yang diberi oleh Allah s.w.t.

Bagi umat Islam, hendaklah sedar dan insaf supaya mereka beristiqamah dan berpegang dengan Islam dalam semua keadaan walaupun seluruh manusia dalam keadaan kemusnahan dan kerosakan. Apa lagi di zaman berpegang dengan Islam ini sakit laksana berpegang dengan bara api. Fadilatnya sangat besar di sisi Allah s.w.t.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَالْعَصْرِ ﴿١﴾ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ ﴿٢﴾ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ ﴿٣﴾ [سورة العصر : ٣-١]

(Maksudnya): Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment