Friday, October 18, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 19 SAFAR 1441 / 18 OKTOBER 2019


KEMBALIKAN HATIMU KE MASJID

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾

Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku". (Surah Ibrahim ayat 40)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,


Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa yakni dengan melaksanakan segala perintah Allah, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diminta untuk menumpukan perhatian dan jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat keredaan Allah di dunia dan akhirat. Mimbar pada hari ini ingin mengajak sidang jamaah untuk menghayati khutbah bertajuk; "Kembalikan Hatimu Ke Masjid".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Nama masjid berasal daripada perkataan sa-ja-da yang bererti sujud. Sujud adalah salah satu daripada rukun di dalam solat 5 waktu. Dalam sebuah hadits riwayat Imam Muslim, Rasulullah s.a.w bersabda bahawa saat kita bersujud itulah saat yang paling dekat di antara seorang hamba dengan Tuhannya. Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ

Maksudnya: "Keadaan paling dekat seorang hamba daripada Tuhannya adalah ketika dia sujud. Maka perbanyakkanlah doa". (Hadits riwayat Imam Muslim)

Ini bermakna masjid adalah tempat di mana seseorang hamba berada pada kedudukan paling akrab dengan Allah. Berada di dalam masjid boleh diibaratkan berada di dalam sujud yakni ketika hati dan diri seseorang sangat hampir dengan Allah. Maka salah satu petunjuk keakraban seseorang dengan Allah ialah apabila dirinya buka sahaja sering, malah sentiasa rindu untuk ke masjid.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dalam sebuah lagi hadits riwayat Saiyidina Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda ada 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Salah satunya ialah:

وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِالْمَسَاجِدِ مِنْ شِدَّةِ حُبِّهِ إِيَّاهَا

Maksudnya: "Seseorang yang hatinya selalu terpaut pada masjid, disebabkan rasa cintanya yang mendalam kepada masjid". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Siapakah golongan yang dimaksudkan dalam hadits ini? Mereka ialah golongan yang memakmurkan rumah-rumah Allah dengan ibadah wajib dan amalan-amalan sunat secara istiqamah, terutamanya solat fardu berjamaah. Mereka sangat berdukacita apabila tidak dapat datang ke masjid pada waktu solat berjamaah dan ketika majlis ilmu diadakan. Hati mereka akan bimbang apabila jauh dari masjid.

Bukti hati jauh daripada Allah boleh dilihat pada sikap menjauhi masjid. Semakin jarang, semakin culas dan lalai kita untuk ke masjid, menunjukkan semakin jauhlah hati kita daripada Allah. Semakin jauh hati kita daripada Allah, maka semakin dekatlah hati kita kepada rasa gelisah dan tidak tenteram.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Masjid umpama klinik rohani yang dapat memberi ubat dan penawar bagi hati. Dekat dengan masjid ertinya dekat dengan Allah. Dekat dengan Allah ialah syarat hati menjadi tenang. Namun mengapa hati kita masih jauh dari masjid? Ketahuilah, seseorang boleh hadir ke masjid bukan kerana rumahnya hampir dengan masjid. Sebaliknya, ada orang yang rumahnya jauh dengan masjid tetapi mampu mendatanginya. Ini semua soal hati, yakni sejauh mana hati kita hampir kepada Allah.

Sebenarnya, kerja hadir ke masjid bukanlah "kerja kaki", tetapi "kerja hati". Jika hati hampir dengan Allah, jarak yang jauh akan menjadi dekat. Namun jika hati jauh dengan Allah, jarak masjid yang dekat pun akan terasa jauh.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Para sahabat dan Rasulullah s.a.w sendiri akan ke masjid apabila mempunyai masalah atau cabaran yang besar dalam kehidupan mereka. Pada suatu hari ketika Saiyidina Anas masih hidup, cuaca menjadi kelam. Orang bertanya kepadanya' "Pernahkah tuan melihat perkara seperti ini berlaku semasa hayat Rasulullah?". Saiyidina Anas menjawab, "Aku berlindung dengan Allah, pada masa itu kalau berlaku ribut, kami akan bersegera ke masjid kerana takut kalau-kalau berlaku kiamat".

Saiyidina Abu Darda' juga bercerita; "Apabila angin kencang bertiup, Nabi Muhammad s.a.w akan berasa cemas dan baginda akan pergi ke masjid". Amalan ini jarang dilakukan oleh umat Islam sekarang. Mungkin kerana ramai tidak tahu, amalan berlindung di masjid merupakan salah satu sunnah Nabi s.a.w. Generasi hari ini apabila ditimpa masalah, mereka semakin lari daripada masjid. Mereka akan mengunjungi pusat hiburan untuk menyanyi, menari dan melakukan maksiat yang melalaikan, kononnya untuk mendapatkan ketenangan. Malangnya ketenangan yang dicari malah semakin jauh.

Kebanyakkan manusia hari ini kurang prihatin dengan penyakit-penyakit rohani seperti syirik, sifat-sifat mazmumah, kufur dan munafik, sebaliknya sangat mengambil berat tentang penyakit-penyakit fizikal. Hal ini disebabkan sama ada kita tidak sedar bahawa penyakit rohani itu lebih berbahaya daripada penyakit fizikal ataupun kita sendiri tidak tahu bahawa kita menghidapi penyakit rohani tersebut. Akibatnya, ramai orang yang buat tidak kisah dengan penyakit rohani. Oleh sebab itulah klinik atau hospital lebih ramai dikunjungi orang berbanding masjid. Hanya orang yang benar-benar serius mahu merawat penyakit hatinya sahaja akan mengutamakan masjid. Masjid terpinggir kerana manusia kian meminggirkan kesihatan rohani berbanding kesihatan fizikal.

Jiwa tidak tenang dianggap bebas, tetapi jika badan tidak sihat, manusia akan berasa bimbang dan terus ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan. Padahal penyakit fizikal akibatnya hanyalah kesakitan atau kematian di dunia, tetapi penyakit hati akibatnya bukan sahaja dirasai di dunia tetapi akan berlanjutan hingga ke akhirat. Maka yang mana satukah yang lebih berbahaya?

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah pertama hari ini, marilah kembalikan hati kita ke masjid. Kekuatan masjid bukan terletak pada keindahan hiasan, kecanggihan peralatan atau jumlah kutipan tabung masjid setiap minggu. Kekuatan masjid sebenarnya terletak pada roh manusia yang mengimarahkannya. Keindahan masjid bukanlah pada hiasan luarannnya tetapi pada hati manusia yang berada di dalamnya. Semakin ramai yang hadir melakukan amal kebaikan di dalam masjid, semakin hebat aura yang dipancarkan untuk menarik hati-hati yang lain kembali ke masjid.

Masjid bukan sahaja hidup dengan ibadat solat berjamaah, zikir dan doa sahaja, tetapi juga meriah dengan masjlis ilmu, kebajikan, kesihatan, serta yang lain-lain aktiviti kemasyarakatan. Inilah roh taqwa yang sebenar, sebagai asas dan teras yang membina sebuah masjid yang hebat. Sebagai penutup, marilah kita hayati satu firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran:

ذَٰلِكَ وَمَن يُعَظِّمْ شَعَائِرَ اللَّهِ فَإِنَّهَا مِن تَقْوَى الْقُلُوبِ ﴿٣٢﴾

Maksudnya: "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin". (Surah Al-Hajj ayat 32)

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini.

Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, walau setinggi mana kedudukan kita, walau hidup kita susah tanpa limpahan harta, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita semua mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Pada suatu hari, seorang pemuda yang sedang gelisah hatinya bertemu Saiyidina Ibnu Mas'ud r.a untuk meminta nasihat. Kata Saiyidina Ibnu Mas'ud; "Carilah hatimu di tiga keadaan. Ketika mendengar ayat-ayat Al-Quran dibacakan, di majlis tempat orang berzikir dan pada saat engkau bersendirian di tempat sunyi. Jika kamu tidak temukan hatimu di tempat-tempat ini, maka mohonlah kepada Allah agar diberikan hati yang baru, kerana pada dasarnya engkau tidak lagi mempunyai hati".

Jika kita amati tiga keadaan yang disebitkan tadi - mendengar ayat Al-Quran dibacakan, menghadiri majlis zikir dan berfikir saat bersendirian di tempat sunyi, semuanya ada di dalam masjid. Justeru, jika hati kita gelisah pergilah ke masjid dan carikan tiga perkara itu. Hanya di masjid kita dapat meraih pahala dan ketenangan tanpa berkata apa-apa, tanpa berbuat apa-apa. Yang perlu hanyalah niat. Berniatlah untuk ber'iktikaf nescaya sepanjang berada di dalam masjid, Allah akan kurniakan pahala dengan mudah, dan ketenangan tanpa perlu bersusah payah. Mudah-mudahan kita dan zuriat kita menjadi golongan yang istiqamah hadir ke masjid, setiap kali mendengar azan dilaungkan taanda masuknya waktu solat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment