Thursday, November 7, 2019

KHUTBAH JUMAAT - 11 RABI'UL AWAL 1441 / 8 NOVEMBER 2019


CINTAI NABI, SYURGA MENANTI

Khutbah Pertama

الْحَمْدُ لِلَّهِ الْقَائِلِ:
قُلْ إِن كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُم مِّنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ ﴿٢٤﴾

Maksudnya: "Katakanlah: "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)". (Surah At-Taubah ayat 24)

أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا  مُحَمَّدًا  عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَالتَّابِعِيْنَ لَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا الله، أُوْصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ. 

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kepada Allah s.w.t dengan sebenar-benar taqwa yakni dengan melaksanakan segala perintah Allah, dan meninggalkan segala larangan-Nya. Sebelum meneruskan khutbah, para jamaah diingatkan agar jangan bercakap-cakap ketika khutbah disampaikan. Mudah-mudahan pahala Jumaat kita tidak sia-sia, dan kita mendapat keredaan Allah di dunia dan akhirat. Bersempena Sambutan Maulidur Rasul esok hari, mimbar akan membicarakan khutbah bertajuk; "Cintai Nabi, Syurga Menanti".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mencintai Nabi s.a.w merupakan salah satu tuntutan yang disyariatkan di dalam Islam. Mencintai baginda hendaklah melebihi cinta kita kepada semua insan yang kita sayangi serta datang dari jiwa yang bersih lagi suci. Telah berlaku satu peristiwa di antara Nabi s.a.w dan Saiyidina 'Umar Al-Khattab r.a yang menggambarkan perihal kecintaan sebenar kita kepada Nabi s.a.w,

عَنْ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ هِشَامٍ، قَالَ: كُنَّا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ آخِذٌ بِيَدِ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ إِلَّا مِنْ نَفْسِي.

Maksudnya: "Daripada 'Abdullah bin Hisyam r.a bahawa beliau berkata: Kami pernah bersama Nabi s.a.w, sementara baginda memegang tangan Saiyidina 'Umar bin Al-Khattab r.a, maka 'Umar berkata kepada baginda: Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai daripada segala sesuatu kecuali diriku sendiri.

فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: لَا وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْكَ مِنْ نَفْسِكَ. فَقَالَ لَهُ عُمَرُ: فَإِنَّهُ الْآنَ وَاللَّهِ لَأَنْتَ أَحَبُّ إِلَيَّ مِنْ نَفْسِي. فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْآنَ يَا عُمَرُ.

Maka Nabi s.a.w bersabda: Tidak, demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, hinggalah kamu lebih mencintai aku daripada dirimu sendiri. 'Umar berkata kepada baginda: Sesungguhnya sekarang engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri. Nabi bersabda: Saat ini wahai 'Umar. (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Dalam sebuah hadits yang lain,

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ

Maksudnya: "Daripada Saiyidina Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat yang jiwaku ad di tangan-Nya, tidak sempurna iman di antara kamu sehingga aku lebih dicintai daripada ibu bapa dan anak-anaknya". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Menyintai Nabi s.a.w bukan sekadar cinta biasa, cinta baginda menatijahkan kemanisan iman. Imam Al-Bukhari telah meriwayatkan daripada Saiyidina Anas bin Malik bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:

ثَلَاثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلَاوَةَ الْإِيمَانِ أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لَا يُحِبُّهُ إِلَّا لِلَّهِ وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُودَ فِي الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يُقْذَفَ فِي النَّارِ

Maksudnya: "Tiga perkara yang akan membuatkan seseorang itu merasai kemanisan iman iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang semata-mata kerana Allah dan dia benci kembali kepada kekufuran sebagaimana dia benci dicampakkan ke dalam api neraka". (Hadits riwayat Imam Al-Bukhari)

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bagaimana pula tanda-tanda orang yang mencintai Nabi s.a.w? Imam Ibnu Hajar rahimahullah di dalam kitabnya Fathul Bari berkata: "Dan di antara tanda cinta Rasulullah s.a.w ialah apabila seseorang diberi pilihan, antara kehilangan nikmat dunia atau kehilangan nikmat memandang wajah Nabi s.a.w, nescaya dia akan merasa lebih berat kehilangan melihat Rasulullah s.a.w berbanding nikmat dunia seluruhnya. Maka orang seperti itu telah mendapat sifat kecintaan sebenar. Dan siapa yang tidak mencapainya maka dia tidak berhak mendapat bahagian daripada buah cinta itu".

Yang demikian itu tidak hanya terbatas pada persoalan cinta sahaja, bahkan dalam membela sunnah dan menegakkan syariat serta melawan para penentang, termasuklah Amar Makruf Nahi Mungkar.

Menurut Imam An-Nawawi rahimahullah, "Termasuk tanda mencintai Nabi adalah membela sunnahnya dan menegakkan syariatnya serta ingin bertemu dengannya. Maka untuk mencapainya, seseorang akan mengarahkan seluruh jiwa dan harta kekayaannya", (Syarah Sahih Muslim)

Berdasarkan kata-kata ulamak ini, terdapat beberapa ciri utama orang yang mencintai Nabi s.a.w iaitu:

1. Mencintai Rasulullah s.a.w melebihi segala yang lain dengan kesangggupan yang tidak berbelah bagi.
2. Melibatkan pengorbanan jiwa dan harta benda.
3. Membela sunnah dan menegakkan syariat dengan sebenar-benarnya.
4. Melawan para penentang Nabi s.a.w.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam menunjukkan cinta kita kepada Rasullah, terdapat perselisihan di kalangan umat Islam dalam memahami kaedah membela sunnah dan menegakkan syariat Nabi s.a.w. Masing-masing mengikut pandangan ulamak berbeza namun agak berkeras dengan pendapat masing-masing dan kurang meraikan perbezaan yang sepatutnya diraikan. Akibatnya umat Islam terus berbalah. Apakah kaedah terbaik menzahiran cinta kita kepada Nabi s.a.w, ketika mana semua sepakat bahawa mencintai Nabi s.a.w adalah tuntutan syariat. Antara yang selalu dibangkitkan adalah 'Sambutan Maulidur Rasul'. Apakah ianya dituntut dan baik ataupun termasuk bida'ah yang dilarang?

Berkata Imam al-Hafiz As-Suyuti rahimahullah di dalam Risalah Husnul Maqsid fi Amalil Maulid: "Amalan maulid Nabi s.a.w dilakukan dalam bentuk perkumpulan manusia, membaca sesuatu daripada ayat Al-Quran, meriwayatkan kisah-kisah yang berkaitan dengan perjuangan awal Rasulullah s.a.w, tanda-tanda kebesaran yang berlaku semasa keputeraan  baginda, kemudian diadakan jamuan makanan. Kemudian mereka pun beredar tanpa membuat apa-apa penambahan yang lain. Amalan ini termasuk di dalam bida'ah hasanah yang diberikan pahala kepada mereka yang menjalankannya. Ini kerana di dalam amalan ini terdapat unsur penghormatan dan pengagungan terhadap taraf Nabi s.a.w, menzahirkan rasa gembira dan sukacita dengan keputeraan Nabi s.a.w".

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mimbar tidak ingin memanjangkan isu ini yang sekian lama diulang bangkitkan. Mimbar hanya ingin menegaskan bahawa umat Islam sepatutnya mengambil pengajaran bahawa Nabi s.a.w sangat berlapang dada dalam menyelesaikan isu perbezaan kefahaman pada perkara khilaf. Umat Islam yang cintakan Nabi s.a.w perlu sentiasa bertasamuh (berlapang dada) pada perkara yang dikhilafi dan berta'awun (bertolong tolongan) pada perkara yang disepakati apabila melibatkan sesama muslim.

Janganlah kita lupakan, sementara kita bersungguh-sungguh memperjuangkan amalan sunnah Nabi s.a.w, kita juga mesti menjaga kesepaduan umat Islam yang juga merupakan perjuangan awal Nabi s.a.w sebelum dapat melaksanakan segala syariat dan ketamadunan Islam. Tanpa kesepakatan, umat Islam yang berpecah akan terus lemah tidak bermaya dan diratah dengan mudah oleh musuh-musuh Islam. Lihatlah ibrah pengajaran yang berlaku di negara Islam yang umatnya berpecah belah, begitu juga di dalam negara bukan Islam yang umatnya lemah, apakah mereka sempat lagi berbincang untuk menguatkan Islam?

Syeikh 'Ali Mahyuddin Al-Qurrahdaghi melalui bukunya Fiqhul Mizan, "Menggambarkan betapa perpecahan umat Islam ini adalah bencana besar akibat gagal memahami nas Al-Quran dalam bentuk yang tepat. Mereka tidak meletakkan mizan (neraca) yang betul apabila membicarakan sesuatu dalil Al-Quran mahupun hadits. Umat Islam berkeras pada perkara furu' (cabang) manakala terlupa bahawa kita mempunyai sangat baik persamaan dalam perkara usul".

Sidang jamaah yang dirahmati Allah,

Umat Islam perlu kembali menghayati kesyumulan ajaran Nabi s.a.w melibatkan kesatuan umat, kesungguhan menegakkan syiar Islam dan kesepakatan memelihara keamanan negara. Tanpa keamanan, semua Maqasid Syariah akan gagal dilaksanakan. Marilah kita bersama-sama teruskan berusaha menzahirkan kecintaan kita kepada Nabi s.a.w dengan pelbagai kaedah selagi mana ianya pada perkara yang tidak dilarang oleh Islam. Perbanyakkanlah berselawat ke atas Nabi s.a.w, bacalah hadits-hadits Nabi s.a.w di masjid, surau mahupun di rumah, bacalah buku Sirah Nabawiyyah, kenali para sahabat Nabi selain amalan-amalan lain yang telah dan sedang kita laksanakan. Apa yang utama, eratkanlah persaudaraan Islam, kuatkanlah pertautan ini demi mengembalikan kegemilangan Islam yang telah dibina oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda. Hayatilah firman Allah s.w.t di akhir Surah Al-Fath:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ ... ﴿٢٩﴾

Maksudnya: "Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir (yang memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam)".

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بالقُرْآنِ العَظِيْمِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ، أَقُولُ قَوْلِي هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ الْأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالْأَمْوَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ، إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Khutbah Kedua

الْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيْرًا كَمَا أَمَرَ.  أَشْهَدُ أَنْ لآ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، وَاَشْهَدُ اَنَّ سَيِّدِيْنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا وَنَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلىَ آلــِهِ وَأَصْحَابِهِ اَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله! اِتَّقُوْا اللهَ وَكُنُواْ مَعَ الصَّادِقِينَ.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Mimbar menyeru para jamaah agar berpegang teguh kepada aqidah Islamiyah Ahlus Sunnah wal Jamaah yang menjadi warisan Rasulullah s.a.w, para sahabat dan tabi'in hingga kepada kita hari ini. Mimbar turut berpesan, jagalah hubungan baik kita dengan Allah dan sesama manusia. Makmurkanlah rumah-rumah Allah dengan istiqamah melakukan ibadah, terutamanya solat fardu berjamaah.

Dirikanlah solat ketika lapang mahupun sempit, sihat ataupun sakit. Walaupun sesibuk mana pun kita bekerja, walau setinggi mana kedudukan kita, walau hidup kita susah tanpa limpahan harta, janganlah sekali-kali kita tinggalkan solat. Mudah-mudahan kita semua mendapat naungan Allah, di dunia dan akhirat.

قَالَ اللهُ تَعَالَى:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا ﴿٥٦﴾ (Surah Al-Ahzab Ayat 56)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَبَارِكْ عَلى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ. 

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ وَاجْعَلْ فِيْ قُلُوْبِهِمُ اْلإِيْمَانَ وَاْلحِكْمَةَ وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.

اللَّهُمَّ أَعِزَّ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اللَّهُمَّ انْصُرِ اْلإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ فِي فَلَسْطِينِ وَفِي كُلِّ مَكَانٍ وَفِي كُلِّ زَمَانٍ.  

Ya Allah, ampunilah dosa seluruh kaum muslimin dan muslimat, mukminin dan mukminat serta kurniakanlah hidayah dan inayah-Mu untuk kami melaksanakan perintah-Mu dan menjauhi larangan-Mu.

Ya Allah, berkatilah hidup hamba-hamba-Mu yang melaksanakan tuntutan zakat dan ibadah wakaf. Lindungilah golongan fuqara' dan masakin daripada kefakiran yang berpanjangan dan jauhkanlah mereka daripada kekufuran.

Ya Allah, Engkau Peliharalah negara Malaysia yang tercinta ini, Engkau Jauhkanlah negara kami daripada bala bencana, wabak penyakit, huru-hara, fitnah dan khianat. Tanamkanlah rasa kasih sayang dan perpaduan di antara kami, semoga dengannya kami sentiasa dapat hidup aman dan sejahtera, makmur dan bahagia, sepanjang zaman.

Ya Allah, kurniakanlah sepenuh taufiq dan hidayah-Mu terhadap Raja kami, Duli Yang Maha mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah al-Maghfurulahu dan Raja Permaisuri Perak Darul Ridzuan Tuanku Zara Salim serta kerabat dan seluruh rakyat jelata.

رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.
عِبَادَ اللهِ، اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِاْلعَدْلِ وَالأِحْسَانِ وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَاْلمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ. فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ وَاشْكُرُوْهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ وَلَذِكْرُاللَّهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ. 


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari sini.

No comments:

Post a Comment