Friday, November 1, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 4 RABI'UL AWAL 1441 / 1 NOVEMBER 2019


PERTAHANKAN JATI DIRI UMAT ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَكْرَمَنَا بِنِعْمَةِ الْإِسْلَامِ وَفَضَّلَنَا كَثِيْرٍ مِنَ الْأُمَمِ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، أَشْرَفِ الْأَنْبِيَاءِ الْمُرْسَلِينَ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالتَّابِعِيْنَ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita mendengar pesanan dan peringatan daripada Allah s.w.t:

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ ۚ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ ۚ أُولَٰئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ ۗ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ﴿٧١﴾ [سورة التوبة : ٧١]

(Maksudnya): Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

Allah s.w.t menjelaskan kewajipan yang besar kepada umat Islam seluruhnya sama ada lelaki atau perempuan supaya bersatu, perkara utama dan penting mempertahankan sakhsiah jati diri umat Islam menjalankan kewajipan menyuruh yang baik dan mencegah kemungkaran, di samping mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan mentaati Allah dan Rasul-Nya. Walaupun yang pertama mentaati Allah dan Rasul, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, tetapi ayat ini mendahulukan kewajipan secara jamaah, menyuruh kepada yang baik dan mencegah kemungkaran untuk memelihara kelebihan umat Islam, memelihara jati diri umat Islam, memelihara kekuatan umat Islam menjadi umat yang baik, contoh kepada manusia yang diarahkan oleh Allah s.w.t:

كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠﴾ [سورة آل عمران : ١١٠]

(Maksudnya): Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.

Allah s.w.t meminta supaya umat Islam menjadi contoh dan tauladan kepada umat yang lain, umat yang terbaik akhlak dan perangai, melaksanakan adil di atas muka bumi Allah s.w.t, menunjukkan rahmat, kebijaksanaan dan kebaikan Allah s.w.t yang berada di dalam agama Islam.

Marilah kita saksikan pada hari ini umat Islam berada dalam keadaan yang sangat lemah. Mereka tidak boleh menjadi contoh kepada umat yang lain. Mereka hanyut bersama-sama dengan kesesatan dan kemungkaran yang dilakukan oleh umat-umat yang lain. Dengan sebab itu mereka gagal untuk menarik manusia kepada Islam, berbeza dengan umat di zaman dahulu. Kita saksikan apabila peniaga-peniaga Islam, pendakwah-pendakwah Islam, pelancung-pelancung Islam, bukan sahaja bala tentera Islam, bila masuk ke mana-mana negara di seluruh pelusuk dunia ini telah berjaya menarik orang-orang bukan Islam masuk Islam dengan jumlah yang besar. Berkembangnya agama Islam tidak sampai satu abad menguasai sebahagian benua Asia, utara Afrika dan selatan Eropah. Wilayah yang sangat luas berjaya menarik orang yang bukan Islam masuk Islam, setelah mereka bermusuh dengan Islam, mereka menjadi orang yang berdamai dengan Islam, sudah tentunya masuk Islam.

Apa yang berlaku pada hari ini, kita gagal dalam membina diri kita sendiri dengan ajaran Islam, maka kita gagal untuk menarik orang lain masuk Islam.

Marilah kita membina kekuatan umat ini dengan perintah Allah s.w.t, dengan kekuatan agama Islam. Dia memberi kemuliaan kepada kita, kemuliaan di dunia dan di akhirat, sekiranya kita meninggalkan ajaran Islam, bukan sahaja kita berdosa, bahkan kita menjadi umat yang hina dan dihukum oleh Allah pada hari akhirat.

Marilah kita menghisab diri kita dan menghisab umat kita serta membetulkan keadaan supaya kembali kepada Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ ۚ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ ﴿١٠٤﴾ [سورة آل عمران : ١٠٤]

(Maksudnya): Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment