Friday, December 20, 2019

KHUTBAH JUMAAT TUAN GURU PRESIDEN PAS - 23 RABI'UL AKHIR 1441 / 20 DISEMBER 2019


KEKUASAAN ALLAH DENGAN CAHAYA ISLAM

الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ ۚ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ. أَشْهَدُ أَن لَّا إِلَهَ إِلَّا ٱللَّهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ. وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُهُ، الْبَدْرُ الدُّجَى وَالسِّرَاجُ الْمُنِيرِ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى حَبِيبِنَا وَشَفِيعِنَا وَإِمَامِنَا وَقُدْوَتِنَا مُحَمَّدٍ، الرَّحْمَةُ الْمُهْدَاةُ وَالنِّعْمَةُ الْمُسْدَاةُ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَمَنْ تَبِعَهُۥ وَنَصَرَهُ وَوَالَاهُ. 

أَمَّا بَعْدُ:
فَيَاعِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوْا اللهَ، وَتَزَوَّدُوا فَإِنَّ خَيْرَ الزَّادِ التَّقْوَى، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Wahai hamba-hamba Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan mengikut segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Carilah bekalan, maka sesungguhnya sebaik-baik bekalan itu adalah bertaqwa kepada Allah. Maka sesungguhnya berjaya dan mendapat kemenangan orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudaraku muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita menguatkan keyakinan dan kepercayaan kita kepada Islam sehingga kita mati dalam keadaan Islam serta hidup dan mati bersama dengan Islam, dengan kita menyaksikan kemuliaan Islam yang tidak boleh dihapuskan, ditunjukkan oleh Allah s.w.t sejak kedatangannya sehingga hari ini. Firman Allah Ta'ala:

يُرِيدُونَ لِيُطْفِئُوا نُورَ اللَّهِ بِأَفْوَاهِهِمْ وَاللَّهُ مُتِمُّ نُورِهِ وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ ﴿٨﴾ [سورة الصّف : ٨]

(Maksudnya): Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (agama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian).

Islam yang dimulakan oleh Rasulullah s.a.w Nabi akhir zaman supaya membawa Islam ke seluruh pelusuk dunia, dimulakan di bumi yang kering, bumi yang tidak ada air.

وَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ [سورة إبراهيم : ٣٧] 

(Maksudnya):  Lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak ada tanaman padanya.

Bumi yang tidak sanggup didiami binatang, apatah lagi manusia. Di tempat begitu Islam bermula, di tengah masyarakatnya yang buta huruf Allah membuktikan Kekuasaan dan Kebesaran-Nya bagaimana cahaya Islam ini boleh menembusi kuasa-kuasa besar dunia dan tersebar ke seluruh pelusuk dunia.

Kita menyaksikan perkara ini dihuraikan oleh Rasulullah s.a.w:

بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ. [رواه مسلم]

(Maksudnya): Islam bermula dalam keadaan dagang (asing), dan akan kembali dagang seperti mulanya, maka beruntunglah orang-orang yang dagang (bersama Islam).

Ketika Islam mula dibawa oleh Rasulullah s.a.w, hanya orang-orang msikin dan orang-orang muda yang tidak ada pengalaman yang menjadi pengikut yang paling ramai. Ia bermula dengan beratus orang sahaja. Mereka difitnah dan dikepung segenap penjuru serta dituduh Nabi yang membawa Islam ini gila dan memecah belahkan masyarakat dan ajaran yang sesat, padahal adalah petunjuk daripada Allah s.w.t.

Semua kepungan itu dihancurkan. Cahaya Islam itu terus berkembang. Berlakunya hijrah ke Madinah Al-Munauwarah, dikepung oleh golongan ahli kitab dan kuasa-kuasa besar dunia timur dan barat. Pada adatnya habislah Islam ini dan padamlah cahayanya. Tetapi bukan sahaja cahaya Islam tidak padam, bahkan kuasa besar dunia itu yang padam; jatuh satu demi satu. Islam berkembang di seluruh pelusuk dunia; berduyun-duyun manusia masuk Islam sehingga tersebar ke seluruh benua. Itulah kekuasaan Allah s.w.t. Walaupun perjalanan Islam itu ada pasang dan surut oleh sebab kelemahan umatnya di zaman mutakhir tidak berpegang dengan ajaran Islam, namun Allah tidak mengizinkan cahaya Islam dipadamkan walaupun umatnya dipadamkan; dijatuh, ditumbang dan dihancur leburkan. Allah memberi amaran:

وَإِن تَتَوَلَّوْا يَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ ثُمَّ لَا يَكُونُوا أَمْثَالَكُم ﴿٣٨﴾ [سورة محمد : ٣٨]

(Maksudnya): Dan jika kamu berpaling (daripada beriman, bertaqwa dan berjuang) Dia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.

Maka kepimpinan Islam diambil oleh berbagai-bagai bangsa dalam dunia; bangsa Kurdis, bangsa Turki, bangsa Afghan, bangsa India dan bangsa Afrika. Termasuk juga di alam Melayu dan silih berganti dapat menegakkan ajaran Islam di seluruh pelusuk dunia.

Kita menyaksikan Islam dihancur leburkan apabila tanahairnya dijajah, ditakluk dan dipecah, diperintah, dimamah dan diratah oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam dibunuh di seluruh pelusuk dunia. Namun Allah s.w.t tidak mengizinkan cahaya Islam ini dipadamkan.

Kita menyaksikan Islam dalam keadaan yang sangat dagang sehingga ramai orang Islam yang takut untuk mengaku Islam kerana ditohmah dengan berbagai-bagai tuduhan. Mereka tidak berani untuk menyatakan Islam secara terbuka. Apa yang berlaku masih ramai yang berminat kepada Islam dan masuk Islam secara berduyun-duyun di seluruh pelusuk dunia, walaupun tidak ada kuasa besar yang melindunginya, tidak ada kerajaan yang memayunginya, kekuasaan Allah s.w.t mengatasi segala kekuasaan. Cahaya Islam tidak boleh dipadamkan. Maka yakinlah kita bersama dengan Islam ini.

Apa yang berlaku, gereja-gereja dikosongkan, rumah-rumah ibadat tidak ada penghuni. Sedikit demi sedikit penganutnya meninggalkan rumah ibadat itu. Ajaran yang lain daripada Islam makin hari makin rebah dan pupus satu demi satu. Islam terus tegak, Al-Quran terus dibaca dan ayat-ayatNya dikumandangkan di seluruh pelusuk dunia. Allah membuktikan semua yang lain daripada Islam itu menghancurkan kehidupan manusia. Yang boleh menyelamatkan hanyalah Islam sahaja. Oleh kerana itu, yakinlah kita terhadap Islam. Jangan tinggalkan Islam ini, hendaklah tenggelam timbul bersama Islam dan mati bersama Islam.

أَعُوذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ.
هُوَ الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالْهُدَىٰ وَدِينِ الْحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّينِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ الْمُشْرِكُونَ ﴿٣٣﴾ [سورة التوبة : ٣٣]

(Maksudnya): Dia lah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ بِالْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ، وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِالآيَاتِ وَالْحِكْمَةِ، أَقُولُ قَوْلِى هَذَا وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ.


Teks asal khutbah ini boleh dimuat turun dari pautan ini.

No comments:

Post a Comment