Thursday, July 3, 2014

KHUTBAH JUMAAT - 4 JULAI 2014M / 6 RAMADHAN 1435H


“PUASA: MADRASAH PEMBERSIHAN JIWA”

Khutbah Pertama

الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ ﴿١٨٣﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa”

أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.

Sidang Jumaat yang dikasihi kerana Allah SWT,

Pada hari Jumaat yang berkat dan di dalam masjid yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya dan kepada sidang Jumaat yang menjadi tetamu Allah sekalian marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT khususnya di dalam bulan yang penuh dengan keberkatan ini dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menjadi umat yang terbaik, umat contoh dan memperolehi kebahagian di dunia dan di akhirat serta menjadi insan yang sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang diberi oleh Allah SWT kepada kita.

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Alangkah indahnya bulan rahmat ini yang tidak dapat ditandingi oleh bulan-bulan selainnya. Cahaya yang memancar dari ufuk langit sepanjang Ramadhan yang menjadi sinar harapan dari Ilahi untuk para hamba-Nya yang selama ini jauh dari petunjuknya. Sinar yang menyinari ke dalam jiwa orang-orang beriman di timur dan barat, menyedarkan mereka bahawa Tuhan mereka yang menghalalkan yang halal dan mengharamkan yang haram sesungguhnya telah memberitahu mereka dengan kedatangan bulan yang memberi kesan kepada masyarakat, memberi didikan kepada jiwa, membangkitkan kesedaran kepada sanubari seolah-olah ia musim bunga yang datang saban tahun, datang kepada mereka selepas mereka melalui sebelas bulan di dalam perjalanan hidup yang acapkali bercampur baur di antara syahwat dan syubhat. Maka menimpa mereka dengan sebab tersebut sifat malas, putus asa dan jiwa kosong. Maka datang Ramadhan sekiranya mereka orang yang benar imannya; datang dengan puasa, qiyam, ibadah dan tilawah al-quran agar menyuburkan semula tubuh yang putus asa dan jiwa yang layu, menyalakan jiwa dengan cahaya didikan Ilahi, menyinarinya dengan cahaya penyucian jiwa hingga menjadikannya pada akhirnya - dengan taufik Allah SWT – roh yang sedar, panca indera yang sejahtera dan jiwa yang suci. Maka jadilah hati tersebut hati yang bersedia untuk menghadapi cabaran keimanan di bulan seterusnya.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Ramadhan di sisi mukmin yang berakal merupakan bulan memperbaiki roh dan jiwa, padanya keadaan seseorang berubah. Dari perut penuh kepada perut kosong, dari selesa kepada dahaga, dari memenuhkan keinginan nafsu kepada mengikat dan mengawalnya, daripada lalai dan leka kepada zikir dan quran. Seolah-olah puasa itu merupakan undang-undang Ilahi kepada perut dan syahwat yang mendidiknya dari dalaman. Berapa ramai manusia yang boleh tunduk dan patuh kepada undang-undang ciptaan manusia untuk mengatur kehidupan dunianya sedangkan undang-undang puasa yang datang dari Allah SWT mengandungi rahsia yang sangat hebat untuk menyubur roh dan mendidik jiwa manusia, tidaklah mengetahui hakikat sebenarnya melainkan Sang Pencipta Syariat. Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk ayat 13 dan 14:

إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ ﴿١٣﴾ أَلَا يَعْلَمُ مَنْ خَلَقَ وَهُوَ اللَّطِيفُ الْخَبِيرُ ﴿١٤﴾

Maksudnya “Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. (14) Tidakkah Allah Maha mengetahui apa yang Dia ciptakan, sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!”

Puasa sekiranya dilaksana secara bersungguh-sungguh akan melahirkan persaudaraan Islamiyyah kerana si kaya akan merasa lapar sebagaimana si fakir. Puasa yang sebenar dapat merendahkan sifat takabbur, menghayati sifat sabar dan membuahkan sifat-sifat terpuji di dalam jiwa. Kita sentiasa diuji di dalam hidup sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kesusahan. Ramai manusia yang tidak redho dengan ujian, merasa keluh kesah jiwanya walaupun ditimbuni dengan kemewahan hidup dan pangkat, tidak mengenal bahagia, bahkan memiliki sekeping hati yang tidak pernah merasa puas dan cukup. Maka dengan rahmat Allah SWT datang bulan Ramadhan menjadi tempoh pendidikan dan penyucian jiwa supaya manusia tahu bagaimana untuk merasa tenang dan bahagia, bagaimana untuk mengurangkan ego diri dan mengawal syahwatnya.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Di sini terdapat perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan dan minum. Tiada orang yang mampu mengawasinya setiap masa melainkan Tuhan Penguasa Yang Maha Perkasa. Namun demikian, orang yang berpuasa tetap menahan dirinya dari perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa sehingga dia belajar bagaimana untuk bersabar dan merasai sentiasa diawasi oleh Allah Yang Maha Mengetahui Perkara-perkara Ghaib. Inilah bulan yang penuh keberkatan menjadi madrasah tarbiah yang berterusan selama tiga puluh hari setiap tahun. Maka orang-orang yang ikhlas mengambil pelajaran yang berguna.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ الْقُرْآنِ الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنَيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا، وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ، وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَألْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.


Khutbah Kedua

الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ﴿١٨٥﴾

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah”.

أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ  وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ  الله .
اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ.
أَمَّا بَعْدُ ، فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Sidang Jumaat sekelian,

Kadangkala dikatakan bahawa ramai dari manusia tidak mendapat faedah dari puasa mereka. Mereka ini sebenarnya tidak berpuasa sebagaimana yang telah disyariatkan oleh Allah SWT. Mereka menyambut Ramadhan tanpa persediaan bahkan merasa terbeban dengan kedatangan tetamu mulia ini. Maka apabila tiba waktu berbuka, mereka berlebih-lebihan makan sehingga menjadikan perut itu gudang menyimpan makanan, perut menjadi sakit, pencernaan tidak berfungsi dengan baik, tubuh menjadi lesu kerana makanan yang melebihi had. Kesannya tubuh merasa malas, nafsu kembali menguasai diri, keazaman untuk beribadat menjadi pudar. Tiada lagi kelazatan untuk qiyam dan ibadat, tiada lagi hikmah dan faedah, yang tinggal hanyalah penat dan lelah. Maka apabila bangun keesokannya, maka bangunlah dia dalam keadaan bermalas-malas. Apabila bekerja dia bekerja dengan culas. Tiada lagi kesan dari puasanya melainkan lapar dan dahaga.

Wahai Pengikut Nabi Muhammad SAW,

Inilah bulan yang ditunggu-tunggu. Ia musim hebat yang diwarnai dengan amalan ketaatan dan kebaikan, peluang untuk menghampirkan diri kepada Allah SWT dengan zikir, ibadah, membantu mereka yang memerlukan dan pelbagai amalan lagi. Masa untuk menambah bekalan akhirat, masa untuk menangis menginsafi segala kesalahan dan ketelanjuran yang dilakukan sepanjang hidup, masa untuk berubah ke arah kebaikan, masa untuk istiqamah beragama. Mintalah bantuan dengan penuh khusyu’ dan khudu’ kepada Allah SWT untuk memberikan kita taufik mengerjakan amal-amal soleh, menjadikan bulan ini sebagai musim ketaatan dan penyucian jiwa. Allah azza wajalla sekiranya kehendaki nescaya Dia memberi hidayah kepada seluruh manusia ke jalan yang lurus. Firman Allah SWT dalam surah an-nahl ayat 128:

إِنَّ اللَّهَ مَعَ الَّذِينَ اتَّقَوا وَّالَّذِينَ هُم مُّحْسِنُونَ ﴿١٢٨﴾

“Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ والْمُؤمِنَاتِ، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِهِمْ وَأَلِّفْ بَيْنَ قُلُوْبِهِمْ، وَاجْعَلْ فِى قُلُوْبِهِمُ الإِيْمَانَ وَالحِكْمَةَ، وَثَبِّتْهُمْ عَلَى مِلَّةِ رَسُوْلِ اللهِ صَلَّى اللهِ عَلَيهِ وَسَلَّم. اَللَّهُمَّ أَعِزَّ الإِسْلاَمَ وَالْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الإِسْلاَمَ وَاْلمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ انْصُرِ الدُّعَاةَ وَالْمُجَاهِدِيْنَ، اَللَّهُمَّ دَمِّرِ الْكَفَرَةَ وَالْمُشْرِكِيْنَ، وَأَهْلِكْ أَعْدَائَكَ أَعْدَاءَ الدِّيْنِ، اَللَّهُمَّ عَذِّبِ اْلكَفَرَةَ الَّذِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْ سَبِيْلِكَ، وَيُكَذِّبُوْنَ رُسُلَكَ، وَيُقَاتِلُوْنَ أَوْلِيَائَكَ، اَللَّهُمَّ بَدِّدْ شَمْلَهُمْ وَفَرِّقْ جَمْعَهُمْ، وَزَلْزِلْ أَقْدَامَهُمْ، وَسَلِّطْ عَلَيْهِمْ كَلْبًا مِنْ كِلاَبِكَ، اَللَّهُمَّ يَا مُنْزِلَ الْكِتَابِ، وَيَا مُجْرِيَ السَّحَابِ، وَيَا هَازِمَ الأَحْزَابِ، إِهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ، بِقُدْرَتِكَ وَقُوَّتِكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
اَللَّهُمَّ وَفِّقْ سُلطان نزرين مُعِزُّالدِّين شاه ابن المرحوم سلطان أزلن مُحِبُّ الدِّين شاه اَلْمَغْفُور لَهُ بِمَا تُحِبُّ وَتَرْضَاهُ
رَبَّنَا ءَاتنِاَ فِى الدُّنْياَ حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، وَصَلَّى الله عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى ءَالِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ .
إِنَّ الله يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالأِحْسَانِ، وَإِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ
وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُم لَعَلَّكُم تَذَكَّرُوْنَ .

فَاذْكُرُوْا اللهَ الْعَظِيْمَ يَذْكُرْكُمْ، وَاشْكُرُوهُ عَلَى نِعَمِهِ يَزِدْكُمْ، وَاسْأَلُوْهُ مِنْ فَضْلِهِ يُعْطِكُمْ، وَلَذِكْرُ اللهِ أَكْبَرُ، وَاللهُ يَعْلَمُ مَا تَصْنَعُونَ .


Teks asal khutbah ini boleh juga dimuat turun dari laman sesawang www.4shared.com

No comments:

Post a Comment